Menjadi atlet Malaysia pertama yang kisah hidupnya diangkat ke layar perak, ada banyak perkara menarik. Diceritakan dalam bentuk filem biopik Lee Chong Wei, naskhah berdurasi sekitar 110 minit memaparkan kesungguhan Datuk Wira Lee Chong Wei mengabdikan diri dalam sukan badminton.
Antara pengisian yang menarik, terdapat babak yang membawa khalayak menyelami kisah hidup beliau ketika lingkungan usia kanak-kanak yang ‘berhalusinasi’ menggunakan kuali bagi memenuhi keinginannya memiliki sebatang raket.
Nyata mimpi sewaktu beliau berusia 10 tahun itu untuk menjadi pemain badminton profesional, sekali gus wakil negara, bukan sekadar khayalan mahupun keinginan sementara.
Bukan sekadar terpuruk dalam liga jaguh kampung, nama Lee Chong Wei mekar harum dengan menjuarai pelbagai kejohanan badminton serta 10 kali mendominasi gelaran juara Terbuka Malaysia bermula pada tahun 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012, 2013, dan 2014.
Meskipun tidak diceritakan secara keseluruhan, namun bahagian penting dalam hidup atlet berusia 36 tahun itu diterjemahkan secara terperinci menerusi lakonan pendatang baharu, Tosh Chan.
Hal itu tampak jelas sewaktu babak Chong Wei menjalani latihan di Akademi Badminton Kebangsaan dan pergolakan emosi saat beliau berdepan dengan kekecewaan kerana mengalami kesukaran untuk bermain badminton akibat kecederaan lutut, yang pada masa sama terpaksa memutuskan hubungan dengan kekasihnya, Datin Wong Mew Choo lakonan Ashley Hua.
Gelora emosi remaja yang gemar memberontak telah mematangkan Chong Wei dalam menilai keputusan tanpa perlu mengikut perasaan. Sebaliknya beliau mengambil pendekatan, setiap rintangan tersebut dijadikan sebagai pembakar semangat untuk terus berjaya.
Bagi Chong Wei, Tosh bukan sekadar memiliki rupa paras yang seakan sama tetapi beliau sendiri tidak menafikan berasa bangga dengan pelakon berusia 23 tahun itu termasuk kesungguhan menghidupkan watak sebagai jaguh badminton di layar perak.
Dipertontonkan kepada khalayak pada Jumaat lalu, Tayangan Perdana Sedunia filem Lee Chong Wei di Stadium Nasional, Bukit Jalil menyaksikan lebih 20,000 orang penonton hadir.
Jumlah tersebut lantas menjadikan tayangan berkenaan tersenarai dalam Malaysia Book of Records dan Asia Book of Records dengan jumlah penonton paling ramai serta dipancarkan menerusi layar gergasi LED berukuran 40 meter panjang dan 17 meter tinggi.
Acara tersebut turut menyaksikan kehadiran Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (Bam), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.
Acara tersebut dianjurkan oleh CD Pictures dan Sky Events dengan kerjasama Mahu Pictures.
Inspirasi
Bukan sekadar untuk menyaksikan sendiri kemunculan Chong Wei secara dekat tetapi semangat dan sokongan khalayak terhadap lapangan sukan tanah air secara tidak langsung menyemarakkan semangat perpaduan antara kaum di Malaysia.
“Saya berasa gembira, berbangga dan terharu apabila rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dapat berkumpul bersama untuk menonton sebuah filem.
“Ini tidak ubah seperti suatu penghormatan dan kalian telah menjadi pembakar semangat buat saya untuk terus berusaha agar dapat mengharumkan nama negara selain mengharapkan filem berkenaan memberi inspirasi kepada generasi akan datang,” kongsi pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu.
Mengulas mengenai babak beliau bersama seorang kanak-kanak lakonan Rykal Iskandar merenung bulu tangkis yang berada di atas jaring pada bahagian awal dan akhir cerita, lelaki kelahiran Bagan Serai, Perak itu menjelaskan, ia merupakan kiasan atau metafora mengenai kesungguhan.
Katanya, meskipun khalayak menilai dirinya sudah cukup terbaik tetapi beliau tetap yakin bahawa suatu hari nanti pasti akan ada pelapis baharu yang menggantinya.
“Ramai yang mengatakan pencapaian saya sekarang adalah sudah terbaik. Hakikatnya, tidak. Saya percaya generasi akan datang mampu menjadi jauh lebih baik daripada ini (dirinya),” tuturnya optimis.
Sokongan
Bapa kepada dua cahaya mata itu turut tidak henti mengucapkan terima kasih kepada khalayak yang hadir memberi sokongan terhadap filem tersebut.
Chong Wei turut berharap sokongan khalayak terhadap filem berkenaan bukan bersifat komersial semata-mata tetapi ia juga dapat menjadi pendorong kepada golongan belia untuk melibatkan diri dengan sukan badminton.
Tidak dinafikan, permainan sudut kamera dan sinematografi seakan menyaksikan perlawanan sebenar antara dirinya dengan musuh tradisi, Lin Dan iaitu pemain dari China telah mencetuskan rasa suspen dalam kalangan penonton.
“Sepanjang kerjaya bermain badminton, belum pernah penonton seramai 20,000 hadir menyaksikan perlawanan saya,” ujarnya selain berharap agar khalayak terus memberi sokongan terhadap filem tersebut yang akan memulakan tayangan di pawagam pada 15 Mac ini.
Permulaan
Pertama kali terlibat dalam bidang lakonan, jejaka kelahiran Johor Bahru, Tosh mengakui bukan mudah membawakan watak individu yang dikenali selain merupakan wira negara.
Tambahan, dia sendiri masih hijau dalam industri hiburan tanah air saat membintangi filem arahan Teng Bee dan menjadi karya sulung lakonannya di layar perak.
Berbangga kerana diberi peluang membawa peranan sebagai jaguh badminton negara, Tosh mengharapkan filem tersebut menjadi batu loncatan buatnya serius dalam bidang lakonan.
“Sewaktu menjayakan filem ini, saya berlatih selama sebulan supaya nampak mahir bermain badminton. Saya juga banyak melakukan kajian terhadap corak permainan dan cara percakapan Chong Wei terutama ketika ditemu bual di YouTube.
“Memandangkan cerita ini banyak menyelitkan unsur kekeluargaan, saya juga ‘dilarang’ untuk berjumpa dengan keluarga sekitar tiga bulan sepanjang proses latihan dan penggambaran.
“Perkara itu secara tidak langsung membantu saya untuk lebih mendalami watak terutama melibatkan babak emosi,” jelas Tosh bersungguh-sungguh.
Pada masa sama, Tosh juga tidak menolak untuk serius dalam bidang lakonan dengan mengikuti kelas lakonan termasuk menceburi pasaran industri Melayu.
Filem terbitan CB Pictures dengan kerjasama Mahu Pictures itu turut membariskan pelakon seperti Datuk Rosyam Nor yang menggalas peranan sebagai Datuk Misbun Sidek, Mark Lee, Yeo Yann, Jake Eng, Freddie Wong, Datuk Norman Pang, Wilson Tin, Jacky Kam, Ling Big Yong.
Filem tersebut disampaikan dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Mandarin dan Hokkien. Ia akan ditayangkan di Hong Kong, Thailand dan Macau, China.