Pelakon Zul Ariffin mengakui para peminat suka menggandingkan namanya dengan heroin yang terlibat dalam drama lakonannya.
Katan Zul, apabila drama tersebut mendapat sambutan, akan wujudlah hashtag tertentu yang merujuk kepada pasangan hero dan heroin yang terlibat dalam drama tersebut sebagaimana yang sering dilaluinya sebelum ini.
Terbaharu, peminat mewujudkan #Zulofa yang merujuk kepada drama terbaru lakonan Zul dan Neelofa, Ti Amo Sweetheart 100 Hari yang baharu sahaja tamat penggambaran.
“Sebenarnya perkara ini dah lama berlaku pada saya, semenjak drama Rindu Awak 200% lagi dan kemudiannya diikuti dengan drama-drama saya yang lain selepas itu.
“Peminat akan wujudkan hashtag gabung nama hero-heroin bila drama tersebut dapat sambutan dan menarik perhatian mereka di mana ia adalah di luar kawalan kami para pelakon.
“Apa yang saya boleh kawal adalah kerja saya. Buat kerja saya dengan profesional, tiada gosip, tiada kontroversi dan tiada apa-apa yang boleh mengganggu perjalanan penggambaran tersebut,” tegas Zul yang sibuk di lokasi penggambaran sehingga hujung tahun ini.
Menurut Zul lagi, untuk mengelakkan sebarang masalah timbul dengan rakan gandingan, dia selalunya akan berbincang terlebih dahulu tentang apa yang boleh atau tidak untuk dilakukan keserasian mereka tidak terganggu.
“Selalunya setiap pelakon terutamanya wanita, ada polisi atau prinsip-prinsip tertentu yang mereka pegang.
“Jadi sebelum memulakan penggambaran, saya akan berbincang mengenainya agar semua orang selesa dan dapat fokus kerja dengan baik.
“Saya hormat privasi orang lain dan takkan promosikan benda-benda yang boleh mencetuskan sesuatu yang akan memberikan impak negatif kepada diri sendiri mahupun orang lain,” kata Zul.