Ezzaty Abdullah Derita sakit nanah payu dara


Ekoran terlalu ramai yang bertanya, pelakon popular, Ezzaty Abdullah mengambil keputusan untuk berkongsi pengalaman mengenai penyakit Breast Abcess (nanah payu dara) yang dialaminya.

Pengalaman itu diceritakannya menerusi laman Instagramnya @ezzatyabdullah.

“Post ini kerana terlalu ramai yang DM (direct mesaage) saya tanya tentang ni.

“Saya bukanlah pakar. Saya cuma bercakap melalui pengalaman saja. Boleh berjumpa doktor untuk tahu lebih lanjut,” tulisnya.

Katanya, penyakit itu dihadapi selepas beberapa hari mengalami masalah bengkak susu kerana melahirkan bayi pertamanya, Harum Dalia pada 6 Disember lalu.

“Breast abcess yang saya alami berpunca daripada susu tersumbat dan menjadi bengkak susu. Kemudian bila dibiarkan lama ia menjadi nanah.

“Tak sama seperti bengkak susu biasa. Sakitnya berganda-ganda daripada bengkak susu,” tulisnya di Instagram (IG).

Akibatnya, pelakon berusia 28 tahun mengakui menderita menahan sakit selama tiga minggu.

“Macam-macam cara saya cuba yang ada dalam google ‘cara atasi bengkak susu’ tapi semua tak berhasil.

“Nasihat dari bidan yang mengurut saya di kampung juga saya dah buat dan cuba tapi tetap gagal. Sampai saya dah bosan dan muak dengar orang suruh saya tuam air panas la, sejuk la, letak kobis la sebab semua itu tak jalan dah.






Gambar rajah yang diperolehi dari IG @ezzatyabdullah

“Tiga minggu saya menderita bengkak susu dan cuba cara-cara tradisional tapi semuanya sia-sia sampailah saya terkena breast abcess,” tulisnya.

Susulan itu, pelakon drama bersiri Uda & Dara ini terpaksa menjalani pembedahan di sebuah pusat perubatan swasta pada 29 Januari lalu.

“Kalaulah saya terus berjumpa doktor mesti perkara itu takkan berlaku.

“Banyak cara doktor boleh selamatkan kalau saya pergi jumpa doktor lebih awal,” tulisnya.

Sehubungan itu, Ezzaty menggesa agar masyarakat terutama ibu-ibu agar segera menjalani pemeriksaan kesihatan sekiranya berlaku masalah sama.

“Nasihat saya kepada semua ibu-ibu di luar sana, please terus berjumpa doktor pakar kalau lebih dari dua hari bengkak susu tak surut.

“Bukan saya tak bagi dengar nasihat dan ikut cara orang tua-tua tapi saya dah alaminya. Bukan semua orang boleh surut bengkak dengan cara-cara itu.

“Kalau dah lebih dua hari tolonglah pergi jumpa doktor pakar. Jangan tangguh dan cuba lagi cara tradisional itu. Semua itu dah tak boleh pakai lagi,” tegasnya.

Ini kerana, isteri kepada pelakon Azwan Kombos ini tidak mahu orang lain mengalami nasib yang sama sepertinya.

“Kalau boleh saya tak nak ibu-ibu kena macam yang saya kena. Sakitnya ALLAH saja yang tahu.

“Derita pengalaman paling pahit dalam hidup saya dan ibu-ibu yang pernah lalui pembedahan breast abcess ni biarlah kami saja yang rasa,” kongsinya.

Post a Comment

Previous Post Next Post