Sinonim dengan watak lelaki Korea, Nazim Othman menganggap ia sebagai satu jenama tersendiri terhadap karier seninya.
Mengakui pernah rimas, namun selebriti berusia 34 tahun ini bagaimanapun begitu menghargai dengan kepercayaan yang diberikan.
“Orang suka atau tak, saya berjaya lakukannya. Walaupun orang cakap negatif, saya lihatnya dari sudut positif.
“Lagipun, saya lakukannya bukan hanya kerana kerja tetapi juga minat selain sebagai sumber pendapatan saya,” katanya pada Sinar Harian selepas ditemui selepas pelancaran telenovela, Mona Lisa.
Sehubungan itu, katanya, sebagai pelakon adalah menjadi tanggungjawabnya untuk melakukan sehabis baik.
“Jadi, buat apa saya nak pening kepala memikirkan orang yang tak suka saya, biarlah nak kata rimas ke poyo.
“Tak apalah, cakaplah selagi boleh. End of the day, saya sedar saya ada tanggungjawab dalam hidup saya tersendiri. Dan... apa yang saya perlu buat adalah fokus,” katanya.
Terbaharu, Nazim tampil dalam naskhah yang diadaptasi daripada drama Korea popular, The Women’s Room iaitu Mona Lisa.
Malah, suami kepada pelakon, Bella Dally ini juga mengakui bersedia untuk menerima sebarang kritikan terhadap lakonannya itu.
“Semua sedia maklum, Mona Lisa adalah telenovela adaptasi drama Korea, jadi saya tahu mesti ada yang akan buat perbandingan.
“Jujurnya, saya tak takut bila itu perbandingan berlaku kerana saya juga ada cara tersendiri dalam menjayakan karakter tersebut,” katanya.
Selain Nazim, telenovela arahan Shahrulezad Mohameddin itu turut dibintangi Zara Zya, Mona Allen dan Hafreez Adam.
Ia bakal disiarkan pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang di saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135) bermula 20 Mac depan.