Membuat perubahan dari segi penampilan, Zara Zya mengakui segelintir masyarakat sukar untuk menerima walaupun ia dilakukan atas dasar kerja semata-mata.
Terbaharu, pelakon berusia 33 tahun ini dihentam teruk gara-gara mewarnakan rambutnya.
“Mereka dah biasa lihat saya dengan watak bertudung dan rambut hitam dalam setiap drama lakonan saya.
“Jadi, bila saya buat pembaharuan, saya dikecam hebat. Adalah lebih sebulan saya dihentam,” katanya.
Jelasnya, tindakan mewarnakan rambut adalah bagi memenuhi tuntutan watak menerusi telenovela, Mona Lisa.
“Saya mahu buat kelainan selepas lama tak muncul di kaca TV.
“Jadi, saya memuat naik foto dengan penampilan baharu di Instagram (IG) beserta kapsyen namun masih lagi ada yang tak memahaminya.
“Tapi, inilah pengorbanan saya untuk berlakon dalam telenovela ini,” katanya.
Pun begitu, pemilik nama sebenar Zainurul Razia Mohd Zainuddin ini sedar setiap kecaman yang diterima hadir daripada golongan remaja dan masih bersekolah.
Zara muncul dalam telenovela adaptasi Korea, Mona Lisa di samping Nazim Othman, Mona Allen dan Hafreez Adam bermula 20 Mac depan.
Ia bakal menemui penonton di saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135), setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang.