Biarpun pelakon Elvina Mohamad baru hendak bertatih dalam dunia lakonan, wanita berusia 23 tahun itu membuat keputusan berani apabila membulatkan hati untuk bernikah dengan kekasihnya yang juga seorang usahawan muda, Datuk Haniff Borhan, 32, pada 18 Mac ini.
Bakal memegang status Datin, Elvina yang ditemui pada sidang akhbar pengumuman perkahwinannya baru-baru ini bagaimanapun menafikan harta dan darjat antara sebab dia bersetuju untuk bergelar isteri pada usia muda.
Sebaliknya, dia amat tertarik dengan karakter bakal suaminya. Mereka telah berkenalan dan bercinta sebelum lelaki itu dikurniakan pangkat Datuk.
Tambah Elvina, dia terlebih dahulu telah dirisik oleh keluarga bakal suami pada 6 Oktober tahun lalu sebelum merancang untuk berkahwin. Majlis pernikahan akan dilangsungkan Ahad ini dan resepsi pada 24 Mac bakal diadakan di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur.
KOSMO!: Mengapakah Elvina bersetuju untuk berkahwin pada usia muda sedangkan kerjaya seni masih belum stabil?
Elvina: Bagi saya, sudah jodoh dan sampai masanya. Sebenarnya kami telah berkenalan selama dua tahun dan bercinta selama setahun. Sepanjang tempoh itu, Haniff banyak kali bercakap soal kahwin dan saya tidak ambil serius.
Namun, selepas melihat kesungguhannya dan dirisik pada 6 Oktober tahun lalu, akhirnya saya bersetuju. Lagipun tidak elok lambatkan perkara yang baik.
Bagaimanakah penerimaan orang sekeliling terhadap keputusan anda?
Pada mulanya ramai yang membantah dan terkejut apabila saya beritahu mahu berkahwin terutama pihak pengurusan dan rakan artis seperti Fasha Sandha.
Bagi mereka, usia saya terlalu muda dan perjalanan dalam bidang seni masih panjang. Saya baru hendak bertapak sebagai pelakon, nama pun masih belum stabil.
Namun, setelah diterangkan secara terperinci akhirnya mereka memberikan sokongan. Perkahwinan bukan penamat untuk kerjaya lakonan saya.
Apakah komen anda apabila didakwa berkahwin kerana harta dan darjat?
Dakwaan itu tidak benar. Saya mengenalinya dua tahun lalu. Kami mula bercinta pada tahun lepas dan ketika itu dia belum bergelar Datuk lagi. Kami serasi dalam banyak perkara dan paling penting dia sangat memahami kerjaya saya sebagai pelakon. Saya jatuh cinta dengannya kerana dia amat menghormati wanita.
Adakah anda bersedia untuk bergelar isteri pada usia muda?
Sudah tentu bersedia, jika tidak masakan saya terima lamarannya. Walaupun perbezaan usia sebanyak 10 tahun, ia bukan satu halangan untuk kami. Muda tidak bermakna saya tidak bersedia dan tidak matang.
Bagaimana dengan kerjaya lakonan anda selepas berkahwin?
Alhamdulillah sejak bercinta sehingga hari ini, Haniff sangat memahami minat saya terhadap lakonan. Walaupun selepas bergelar isteri kelak, Haniff memberi kebenaran untuk saya meneruskan kerjaya seni seperti biasa. Malah, dua hari selepas bersanding saya akan terus memasuki set penggambaran drama bersiri Bila Tuhan Berbisik yang turut dibintangi Datuk Awie dan Hazama.
Setakat ini bagaimanakah persiapan perkahwinan anda?
Semuanya hampir siap walaupun perancangan untuk berkahwin dibuat dalam tempoh sebulan lebih sahaja. Memang dilihat seperti tergesa-gesa tetapi hanya pada tarikh 18 Mac jadual saya kosong. Jadi, kami terus memilih tarikh tersebut, tiada sebab lain.
Boleh kongsikan jumlah wang hantaran yang bakal anda terima?
Bagi saya, ia terlalu peribadi untuk dikongsi, jadi biarlah rahsia. Saya cuma harap majlis pernikahan yang akan berlangsung pada 18 Mac dan resepsi 24 Mac ini di Hotel Royale Chulan akan berjalan dengan lancar. Doakan yang terbaik buat kami berdua.