Nama Farisha Irwayu, 48, bukanlah asing lagi terutamanya pada era 1990-an dan wajahnya sering kali menghiasi drama TV menerusi slot Spektra.
Drama bersiri Pendekar tentunya menggamit nostalgia yang buat pelakon ini kerana pada zaman kegemilangan produksi HVD itu, dia berpeluang berlakon drama aksi yang memberi pendedahan yang cukup berbeza.
Begitu juga dengan drama, Ros Anita yang berjaya menaikkan namanya menerusi gandingan bersama pelakon Fauziah Ahmad Daud sehingga diulang siar beberapa kali atas permintaan ramai.
Mengimbas kembali perjalanannya dalam bidang seni, Farisha mula bergelar pelakon selepas terpilih menerusi sesi uji bakat anjuran Double Vision untuk telefilem Cinta Untuk Disewa pada 1992.
“Sesi tersebut dikendalikan pengarah Roslan Hussien dan pelakon Ebby Saiful yang sangat serius sehinggakan saya rasa macam tak ada peluang untuk terpilih, tapi tak sangka pula percubaan itu berjaya. Saya dipilih membintangi telefilem itu bergandingan dengan arwah Ery Malik.
Katanya, itulah permulaan kerjaya lakonannya sehingga dia mengambil keputusan berhenti dari kerjaya tetap sebagai kakitangan bank.
Selain minat dan kecenderungannya kepada dunia seni, Farisha mengakui faktor bayaran juga menjadi tarikan utama dia menceburi bidang lakonan secara sepenuh masa.
“Saya menerima bayaran pertama berjumlah RM900 yang melibatkan penggambaran selama 10 hari dan jumlah itu melebihi gaji sebulan saya ketika bekerja tetap.
“Pada mulanya saya hanya ingin berlakon secara sambilan sahaja, tetapi apabila banyak tawaran masuk dan jadual penggambaran yang tidak menentu, saya perlu memilih salah satu dan akhirnya tekad berlakon sepenuh masa,” ujar Farisha.
Dalam pada itu, sebelum bergelar pelakon, Farisha adalah penari menerusi kumpulan Tags Dancers dan pernah mengiringi persembahan ramai artis popular tanah air ketika itu.
“Saya jadi penari ketika masih bersekolah lagi dan pernah menyertai Kompleks Budaya Negara menerusi pelbagai persembahan kebudayaan. Saya pernah jadi penari latar kepada beberapa penyanyi popular seperti Mazuin Hamzah, Zur Eda dan ND Lala,” imbasnya.
Terlibat kemalangan ngeri
Bagaimanapun bidang tarian tidak diteruskan kerana terikat dengan komitmen kerjanya.
Sepanjang 25 tahun bergelar anak seni, Farisha sehingga kini telah berlakon lebih 100 drama dan masih aktif sehingga kini.
Antara dram lakonannya ialah Ros Anita, Hawa, Waris Kasih, Cinta 11 Syarat, Duda Pujaan Dara dan beberapa lagi yang belum disiarkan termasuk Cinta Hati Batu dan Zahir Tak Terucap.
Berkongsi pengalamannya dalam tempoh itu, Farisha yang juga anak kelahiran Kuala Lumpur ini mengakui disiplin menjadi antara perkara utama yang menjadi pegangan kebanyakan artis pada era itu.
Pelakon ini juga berpendapat suasana dan cara bekerja dulu dan kini sangat berbeza kerana pelakon mahupun produksinya sangat mementingkan disiplin.
“Kalau call time pukul lapan, maka semua orang akan berada di tempat tersebut pada waktu yang dijanjikan tanpa sebarang alasan, malah ada yang juga yang datang lebih awal daripada itu.
“Bagi mereka yang pernah berlakon dengan HVD, mungkin masih ingat di mana kami perlu berada di pejabat HVD di Cheras setiap hari pada pukul 6 pagi untuk dimekapkan sebelum masing-masing bergerak ke set penggambaran.
“Masuk set, masing-masing sudah berada dalam karakter dan bukan baru nak hafal skrip, tanya pasal watak dan sebagainya hingga menyusahkan pihak lain yang bekerja secara profesional,” katanya.
Mengakui melalui banyak kenangan pahit manis sepanjang bergelar pelakon, Farisha ternyata tidak dapat melupakan tragedi kemalangan yang menimpanya pada 7 November 1997 ketika dalam perjalanan menjalani penggambaran di Kelantan.
Kejadian kira-kira jam 2 pagi itu membabitkan van yang dinaiki bersama salah seorang pelakon tambahan terjatuh dalam gaung mengakibatkan mereka tidak sedarkan diri manakala pemandunya hanya cedera ringan.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana usianya masih panjang walaupun cedera teruk di bahagian tengkuk dan mengalami luka pada muka dan badan sehingga dirawat selama tiga bulan di hospital tetapi rakan pelakonnya mengalami lumpuh.
Selepas pulih dari kecederaan, Farisha kembali berlakon dan masih aktif sehingga ke hari ini menerusi drama-drama terbaru lakonannya.
“Walaupun nama saya bukanlah segah pelakon popular lain, namun saya berpuas hati kerana masih lagi berada dalam industri dan aktif berlakon sehingga hari ini.
Selain berlakon, ibu kepada dua anak, Nur Iddzadatul Namira, 28, dan Ahmad Khairan, 17, juga aktif dalam bidang perniagaan.
“Saya ada buat bisnes secara kecil-kecilan menjual minyak wangi dan tudung apabila tidak terikat dengan jadual berlakon,” katanya yang juga ahli Gabungan Tranformasi Anak Seni (GTAS).