Niena Baharun Kenal suami di BBM


Lebih dua minggu mendiamkan diri selepas berita mengenai pernikahannya dengan jejaka bernama Aliff Firdaus Datuk Abdul Hadi dilakukan secara se­nyap, akhirnya pelakon jelita, Niena Baharun membuka mulut mengenai perkahwinannya.

Bukan sengaja mahu merahsiakan mengenai berita pernikahan tersebut, sebaliknya, pelakon berusia 25 tahun itu memberi­tahu, ia merupakan permintaan suaminya untuk tidak menghebohkannya.

“Sebenarnya, pihak keluarga suami sudah masuk merisik kira-kira setahun lalu. Memang kalau boleh, suami enggan menghebohkan perkara ini (perkahwinan) kepada umum. Lagipun, segala persiapan yang dilakukan dalam masa singkat kerana keputusan dibuat pada saat-saat akhir. Kami pun tidak bertunang.

“Sepatutnya, majlis pernikahan berlangsung tahun lalu, tetapi di­sebabkan saya berdepan dengan kekangan masa bekerja, jadi perkara itu tertangguh. Ikutkan memang keluarga minta percepatkan majlis,” kongsinya kepada Sensasi Bintang ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut pelakon drama Sa­yangku Kapten Mukhriz itu, majlis pernikahan yang berlangsung di Kota Bharu, Kelantan diadakan untuk saudara dan kenalan rapat.

“Jadi, satu majlis resepsi lain pada Sabtu depan akan berlangsung di Kuala Lumpur. Kenalan jauh yang tidak hadir di Kelantan, dapat da­­tang ke majlis di ibu negara,” katanya yang memberitahu majlis itu bertemakan tradisional Melayu.



Berkongsi detik perkenalan de­ngan suaminya yang merupakan seorang ahli perniagaan, kata Niena, mereka mula berkawan menerusi aplikasi Blackberry Messenger (BBM).

“Kami sudah berkawan selama enam tahun. Pada mulanya, dia merupakan kenalan saya di BBM, tetapi tidak pernah berjumpa. Kemudian selepas pertemuan dengannya, hubungan kami kekal hingga kini,” katanya yang memberitahu, suaminya tujuh tahun lebih tua da­ripadanya.

Buat masa ini kata Niena, dia dan suami tidak berkesempatan untuk berbulan madu. Ini kerana, suaminya terikat dengan kerja.

“Selepas nikah tempoh hari pun dia sudah kembali bekerja. Jadi, tak terfikir untuk berbulan madu buat masa ini. Cuma, insya-Allah jika diberi keizinan saya dan suami merancang nak pergi bulan madu di Mekah. Kalau boleh dapat mengerjakan ibadah haji sekali gus lebih baik,” kongsinya.



Ditanya mengenai karier lakonannya, kata Niena, suaminya tidak mempunyai halangan untuk membenarkan dirinya untuk meneruskan kerjaya sebagai seorang anak seni. Bagaimanapun, buat masa ini, Niena tidak mempunyai sebarang perancangan tetap lagi mengenai dunia lakonan selepas berkahwin.

“Kalau ikutkan suami mahu saya menjalankan bisnes sahaja. Cuma, saya pun tidak ada perancangan tetap lagi selepas kahwin. Saya sebolehnya memang mahu bekerja. Lagipun, sayang pula nak tinggalkan dunia lakonan.

“Apapun, perkara itu perlu dipertimbangkan. Kalau jauh lokasi penggambaran, suami mungkin tidak izinkan. Kalau setakat di Kuala Lumpur tidak menjadi masalah,” kongsinya yang mengakui fokus utamanya kini adalah menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri.

Post a Comment

Previous Post Next Post