Haqiem Rusli terasa hati


Dalam kalangan penyanyi baru atau Budak Baru Nak Up (BBNU), nama Haqiem Rusli dianggap istimewa kerana muncul dengan lagu sedap seperti Segalanya dan Tergantung Sepi.

Pada masa sama, ada segelintir pihak memandang sinis penyanyi BBNU sekali gus menyifatkan mereka tidak boleh menyanyi dengan bagus.

Bercakap mengenai perkara itu, Haqiem, 20, mengakui dia terasa hati dengan tindakan netizen yang keterlaluan mengkritik rakan-rakannya.

Antara penyanyi BBNU yang sering menjadi mangsa buli siber ialah Aiman Tino, Sufian Suhaimi, As’ad Motawh dan Irfan Haris.

“Kalau bercakap mengenai rakan penyanyi BBNU, saya memang akan bela mereka.

“Bukan saja saya, malah rakan lain dihina teruk. Saya baca setiap komen di YouTube. Jadi, saya akan mempertahankan kawan-kawan.

“Bagi saya, netizen tidak pandai jaga hati orang lain. Mereka main kutuk saja.Cuba kalau mereka yang nyanyi lagu Aiman Tino, pasti tidak sesedap Aiman. Bagi saya suara rakan-rakan saya unik.

“Tidak semestinya menyanyi kena nada tinggi baru sedap didengar. Dalam perkara ini, ia bergantung kepada muzik yang diketengahkan,” katanya.



Haqiem turut mempertahankan dirinya yang sebelum ini dikatakan tidak boleh menyanyi secara langsung dan perlu menurunkan ‘key’ lagu Tergantung Sepi jika menjayakan persembahan.

“Sebenarnya, ramai anggap penyanyi kena tarik tinggi untuk sedap. Di Barat, penyanyi yang menyanyikan muzik ‘country’ seperti Taylor Swift boleh saja nyanyi sedap.

“Di Malaysia, mentaliti peminat kalau penyanyi menyampaikan lagu nada tinggi baru sedap. Penyanyi yang nyanyi biasa-biasa dianggap sebaliknya. Sedangkan, dalam ilmu muzik ia merangkumi semua. Apa yang penting penghayatan lirik dan melodi.

“Kalau dapat lagu bagus dan ditambah ‘feel’ ketika menyanyi, pasti persembahan itu menarik dan dapat pujian.

“Begitu juga sebaliknya. Jadi, saya tidak setuju dikatakan hanya menyanyi dengan nada tinggi saja sedap didengar,” katanya.



Duet dengan Faizal Tahir

Haqiem yang mendapat tempat ketiga pada Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL 32) baru-baru ini menyatakan hasrat mahu berduet dengan penyanyi Faizal Tahir.

“Abang Faizal Tahir idola saya. Saya hormati bakat dan kebolehannya. Dulu, saya ingin jadi sepertinya yang boleh menyanyi dan mencipta lagu.

“Alhamdulillah, dengan inspirasinya saya dapat jadi komposer dan beraksi di AJL. Setiap persembahan Faizal saya kaji. Jadi, kalau dapat berduet dengannya, saya berasa sangat terharu,” katanya.

Dalam masa sama, Haqiem yang kini muncul dengan lagu Jatuh Bangun turut merancang menghasilkan single dengan rakan penyanyi BBNU lain.

Selain itu, Haqiem juga bakal muncul dengan single balada tidak lama lagi yang dianggap amat istimewa.

“Single pertama dan kedua saya pilih genre balada. Lagu ketiga pula rancak. Jadi, untuk lagu keempat saya kembali kepada balada. Ini memang perancangan saya kerana tidak mahu peminat bosan.

“Saya mahu buktikan boleh menyanyi lagu genre lain. Daripada situ, peminat boleh menilai. Saya percaya, setiap lagu ada pengikut tersendiri. Jika ada pelbagai genre, peminat boleh pilih mana yang mereka suka,” katanya.

Mengulas kejayaan meraih tempat ketiga di AJL32, Haqiem mengakui ia diluar jangkaannya.

“Saya tidak sasarkan kemenangan. Saya buat ikhlas untuk peminat, ibu bapa dan syarikat rakaman. Asal mereka puas hati, itu sudah bagus. Apabila menang, saya bersyukur.

“Saya orang muda yang datang dari kampung. Jadi, apabila sampai ke tahap ini, saya bersyukur,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post