Zulin Aziz Puas alun lagu sendiri


Bergelar anak seni tidak pernah mengehadkan Zulin Aziz untuk terus meneroka pelbagai cabang baru.

Pelakon, pengacara, penyampai radio, pelawak dan penyanyi ini tidak pernah berhenti untuk mengembangkan kanvas seninya. Terbaru, dia bakal muncul dengan satu lagi single baru.

“Insya-Allah, bulan ini saya akan lancarkan single kedua berjudul Keliru. Ia karya ciptaan saya sendiri,” katanya.

Menurut Zulin, setiap karya yang dihasilkannya bukan untuk mendapatkan keuntungan atau populariti semata-mata. Ia lebih kepada kepuasan diri dan memenuhi permintaan peminat.

“Ada beberapa peminat menghubungi saya menerusi media sosial dan minta saya menyanyikan semula lagu pilihan mereka.

“Bila difikirkan semula, ada baiknya saya hasilkan lagu sendiri dan berikan sesuatu kepada mereka untuk disimpan,” katanya.

Tambah Zulin, kalau untuk mengaut keuntungan semata-mata, dia tidak perlu memuat naik lagu itu ke YouTube.



“Walaupun belum dilancarkan secara rasmi, saya kongsikan lagu ini menerusi Instagram serta muat naik ke YouTube. Saya tak dapat apa-apa keuntungan pun dari situ,” katanya lagi.

Beralih perkembangan lain, Zulin masih menggalas tugas sebagai penyampai radio Suria FM.

“Ini tahun kedua saya berkhidmat di Suria FM dan belum ada perancangan sama ada mahu menyambung kontrak atau sebaliknya.

“Selain itu, saya juga mengacarakan majlis tertutup dan korporat sekiranya ada kelapangan,” katanya.



Terikat dengan stesen radio tidak membataskan pintu rezekinya sebaliknya Zulin gembira apabila dirinya diterima baik semua pihak.

“Bekerja di Suria FM tidak mengehadkan pergerakan saya. Saya masih menerima tawaran daripada stesen lain seperti Media Prima dan Astro.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada stesen televisyen kerana beri peluang kepada saya. Ahad lalu, saya menjadi pengacara belakang pentas untuk Anugerah Juara Lagu 32,” katanya.

Zulin juga memaklumkan dia baru selesai menjalani penggambaran drama bersiri Cekelat Tak Semanis Honey untuk siaran Astro.

“Selain saya, pelakon lain yang menjayakan drama ini ialah Siti Nordiana dan Fikry Ibrahim. Insya-Allah, ia akan ditayangkan Mac depan,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post