Peluang kedua Fareez Zain


Kalau rezeki sudah tertulis, tiada apa pun boleh menghalang. Begitu juga rezeki penyanyi baru Mohd Fareez Ezmir Zen, 29, atau nama pentasnya, Fareez Zain.

Anak jati Kuala Lumpur ini pernah diberi peluang menyanyikan lagu ciptaan rakan baiknya berjudul Tak Pernah Bersatu pada 2014.

“Awalnya, lagu ini dibuat kerana ada permintaan daripada sebuah syarikat produksi yang mahu memuatkannya sebagai OST drama tempatan.

“Kebetulan rakan saya yang mencipta lagu itu meminta saya menyanyikannya,” kata Fareez.

Pun begitu, hasrat itu terbantut selepas selesai merakam lagu kerana syarikat produksi didakwa sudah mendapatkan khidmat penyanyi dan komposer lain.

Enggan membazirkan masa, dia dan rakan cuba menembusi beberapa stesen radio tempatan.

Lulusan Sarjana Sumber Manusia dari Universiti Lim Kok Wing ini berkata, hampir setahun lagu itu dimainkan di radio dan dipersembahkannya di tempat terbuka secara busking dan di majlis tertutup.

Malangnya disebabkan kurang promosi, lagu itu ‘terkubur’ begitu sahaja.



“Sebagai penyanyi pastinya lebih puas hati kalau lagu kita diputarkan di stesen radio atau TV. Namun, saya akur tidak mudah untuk masuk radio.

“Saya bersyukur diberi peluang sekali lagi apabila lagu kedua, Nanti Dulu bakal dijadikan OST filem Surf This Love,” katanya.

Kongsinya, video muzik lagu ciptaan Azhar Aizudin itu sudah pun dimuat naik ke YouTube sejak 8 Februari lalu.

Fareez berkata, peluang itu mengembalikan semangatnya selepas lagu pertama lalu gagal mendapat tempat.



Katanya, disebabkan itu, dia giat menjalani promosi melalui media sosial serta medium perdana agar kegagalan lalu tidak berulang.

Ditanya perancangan selepas ini, Fareez mahu tampil dengan single ketiga sekiranya Nanti Dulu berjaya.

“Sepatutnya lagu Nanti Dulu dijadikan single ketiga dan single ketiga yang dirancang selepas ini adalah single kedua. Tapi penerbit filem berkenan dengan lagu Nanti Dulu.

“Disebabkan itu saya tukar. Kalau ada rezeki, sebelum penghujung tahun ini keluarlah single ketiga,” katanya gembira.

Filem Surf This Love: Gelora Juara mendapat sentuhan sutradara Wan Hafiz Wan Hussin yang pernah mengarah filem Puaka Balai Gombak, Mat Tudung dan Tok Mudim.

Filem bergenre komedi drama yang akan menemui penonton pada 22 Februari ini dibintangi Syukri Yahya, Ardell Aryana, Cristina Suzanne, Josiah Hogan dan Mustaqim Bahadon.

Post a Comment

Previous Post Next Post