Hael Husaini dan Azhar Osman, Hael tiada masalah


Sudah setahun kumpulan duo Azhael yang terdiri daripada Hael Husaini dan Azhar Osman membawa haluan sendiri. Sedar atau tidak, sepanjang tempoh tersebut, banyak perubahan yang dilalui oleh dua anak muda berbakat itu khususnya dalam kerjaya pilihan masing-masing.

Mengikut skop komersial, Hael dilihat begitu menjadi dengan single perdananya, Jampi. Selain menjadi kegemaran ramai dan pernah menduduki carta muzik untuk jangka masa lama, lagu tersebut juga dinobatkan sebagai juara menerusi Anugerah Juara Lagu Ke-32 yang berlangsung beberapa minggu lalu.

Pada masa yang sama, Hael turut meluaskan pengaruhnya sebagai penulis lagu apabila karya ciptaannya bersama Ezra Kong seperti Pematah Hati nyanyian Nabila Razali serta Nisan Cinta (Siti Nordiana dan Jaclyn Victor) mendapat sambutan baik dalam kalangan khalayak.

Lain pula cerita dengan Azhar yang suhu popularitinya tidak sepanas bekas rakan seperjuangan.

Sepanjang tahun lalu, Azhar cuba mencari tapak untuk membina nama sebagai penyanyi solo menerusi program nyanyian Akademi Fantasia Megastar. Namun, perancangannya gagal apabila tersingkir pada minggu ketiga pertandingan.

Menyaksikan pencapaian berbeza daripada dua individu yang pernah bergerak secara berkumpulan itu, ramai mengatakan bahawa Azhar tidak ‘sebulu’ dengan Hael. Ada juga yang mendakwa Azhar cemburu, terutama selepas Hael menang besar dalam AJL32 baru-baru ini.

Berpeluang bertemu dengannya pada majlis resepsi penyampai radio Fizi Ali dan pelakon Shakilla Khoriri di Maju Tower, Kuala Lumpur baru-baru ini, Azhar menafikan khabar angin tersebut.

Jelas lelaki berusia 29 tahun itu, hubungannya bersama Hael masih dalam keadaan baik dan dia tidak pernah cemburu dengan apa yang diraih Hael setakat ini.





Menurut Azhar, dia dan Hael sentiasa berhubungan dan memberi sokongan jika salah seorang daripada mereka sedang berhadapan dengan acara-acara besar.

KOSMO!: Azhar, ada pihak yang mendakwa anda cemburu dengan kejayaan diraih oleh Hael sepanjang tempoh bergerak secara solo. Benarkah?

AZHAR: Tidak sama sekali. Saya tidak pernah cemburu dengan kejayaannya. Ketika bersama Azhael, saya sentiasa melihat potensinya sebagai penyanyi solo dan komposer berbakat. Sekarang, Hael membuktikan bahawa dia telah berjaya sebagai seorang penyanyi dan secara jujur, saya tumpang gembira dengan kejayaannya.

Adakah anda telah memutuskan hubungan dengan Hael selepas berpecah?

Saya dan Hael masih berbalas mesej. Sebagai contoh, saya akan memberi kata-kata semangat kepada Hael jika dia mahu mengadakan persembahan berskala besar. Begitu juga dengan dia. Justeru, bagaimana boleh timbul isu bergaduh dan cemburu, saya sendiri tidak tahu.

Apakah reaksi anda apabila ada yang mengatakan hubungan anda dan Hael tidak baik?

Sejujurnya, saya sedikit keliru apabila menerima tuduhan seperti itu. Barangkali, orang kita suka bercakap sebarangan dan membuat spekulasi, walhal kami baik-baik sahaja.

Melihat pada graf kejayaan lagu Jampi, adakah anda terbuka untuk bekerjasama dan menyanyikan lagu ciptaan Hael pada masa akan datang?

Saya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Hael. Namun, bukan dalam masa yang terdekat.

Hal ini disebabkan saya masih sedang mempertimbangkan tawaran untuk bernaung bawah label FMC Music.

Bagaimanapun, jika ada tawaran menyanyi di atas pentas secara duet, saya tidak akan menolak.

Adakah anda masih aktif berlakon?

Ya, saya masih aktif berlakon dan akan cuba menyeimbangkan dua bidang ini secara sama rata. Selepas drama Isteriku Mem Besar, saya masih sedang dalam perbincangan untuk drama bersiri seterusnya. Namun, tawaran tersebut masih belum rasmi.

Post a Comment

Previous Post Next Post