Min Yasmin bukan kejar populariti


Min Yasmin melancarkan album solo, Min Yasmin: Pangarap di Filipina.

Biarpun semakin laris di Filipina, Min Yasmin mengakui bukan mudah untuk mencipta nama di sana.

Tambahan pula, artis berusia 29 tahun ini perlu bersaing dengan ramai penyanyi tempatan yang hebat.

Bagaimanapun, Min berpendapat seseorang artis itu perlulah giat menghasilkan sesebuah produk atau album untuk terus kekal bertahan.

“Saya rasa sebagai artis, kita kena keluarkan produk dan bukan hanya sibuk dengan kontroversi atau mengejar populariti semata-mata.

“Kita kenalah tunjukkan apakah produk yang kita kerana ia merupakan hasil titik peluh kita,” katanya pada Sinar Harian ketika ditemui selepas pelancaran album solonya, Min Yasmin: Pangarap di The Manila Polo Club, Filipina, baru-baru ini.

Album solo itu merupakan album ketiganya selepas kejayaan dua album kolaborasinya bersama penyanyi Filipina, Nikki Bacolod.

Malah, katanya, album terbitan Julfekar Music ini mengandungi 14 lagu melibatkan lima bahasa iaitu Tagalog, Tausug, Sama, Inggeris dan Melayu.

“Macam kita sendiri, ada target yang telah ditetapkan syarikat iaitu sekurang-kurangnya sebuah album dalam setahun.

“Tapi, selepas ini, kita juga merancang untuk mengeluarkan sebuah album berbahasa Melayu dan ia telah pun siap hampir 80 peratus,” katanya.





Kuasai pelbagai bahasa

Tambah Min, album solonya itu diterbitkan hasil kerjasama suaminya, Julfekar dan Vehnee Saturno yang mencipta lagu popular, Kahit Konting Awa dan Bakit Pa.

“Alhamdulillah, saya tak sangka dia berminat nak buat lagu untuk saya. Kita tak minta lagu daripada dia, tapi dia sendiri yang nak bagi dan ia sebenarnya bukan mudah.

“Lagipun, dia juga tak pernah bekerjasama dengan penyanyi dari Malaysia.

“Sama seperti Julfekar, dia juga seorang yang tegas dan banyak membantu dari segi sebutan dan penghayatan lagu,” katanya.

Bukan itu sahaja, katanya, album itu turut mendapat sentuhan daripada komposer terkenal tempatan iaitu Raz Tawasil Itum (Tagalog), Nelson Dino (Tausug) dan Andhee Basion (Sama).

“Tujuan saya selitkan pelbagai bahasa ini kerana saya mahu terus menawan hati peminat tempatan.

“Sebenarnya, kebanyakan masyarakat tempatan berinteraksi dalam Bahasa Inggeris tapi hampir 90 peratus bahasa mereka saya faham cuma apabila mahu bercakap ia agak lambat sikit.

“Tapi, saya ada plan ambil kelas bahasa dari semasa ke semasa. Jadi, saya perlu cari masa untuk belajar agar mudah menguasainya,” katanya yang berhasrat mengadakan konsert solo di Filipina.

Meskipun selesa berulang-alik, Min tetap menaruh impian untuk lebih dikenali di tanah air sendiri.

“Mungkin saya belum mendapat tempat di negara sendiri, tapi sebagai penyanyi saya nak orang lihat hasil kerja seni saya.

“Bagi saya, populariti itu nombor dua dan tiada istilah kecewa dalam hidup saya. Biarlah orang judge hasil kerja saya dulu sama ada bagus atau tidak.

“Saya juga nak cabar diri sendiri dengan membuat sesuatu yang tidak dijangka. Insya-ALLAH, jika ada rezeki, mudah-mudahan saya akan mendapat tempat di Malaysia,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post