Matlamat rock Awie, Dragon Malaya


Meskipun gah sebagai vokalis kumpulan rock terkenal Wings, penyanyi Datuk Awie juga sebenarnya sangat sinonim dengan sebuah lagi kumpulan rock, Dragon Malaya.

Sedikit sejarah ringkas, kumpulan yang turut dianggotai Eddie daripada Def Gab C dan XPDC, Lan Taro serta Pae (Projek Pistol dan Search) itu mula ditubuhkan sejak tahun 2000.

Namun, sewaktu awal penubuhannya dahulu, Dragon Malaya dianggotai oleh Kid Search (gitar), CD Silkhannaz (gitar), Yus May (bass) dan Jojet (dram).

Kali terakhir mereka tampil dengan persembahan adalah sekitar Februari lalu menerusi penganjuran konsert Wilayah International Motofest 2018 yang berlangsung di Dataran Merdeka.

Kini Dragon Malaya semakin galak memeriahkan industri hiburan negara apabila tampil menerusi persembahan Konsert Datuk Awie & Dragon Malaya yang dijadualkan berlangsung pada 28 Oktober depan.

Persembahan yang diadakan di House @GTower di ibu kota itu merupakan anjuran syarikat Virtuosity dan MPC Event. Ia mampu memuatkan seramai 1,000 orang penonton pada satu-satu masa.

Menurut Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, beliau mahu persembahan pada malam itu nanti mampu menyemarakkan kembali kehangatan muzik rock Melayu yang suatu ketika dahulu pernah mendominasi industri hiburan tanah air.

“Pada mulanya penganjur mahu saya mengadakan persembahan secara solo. Bagaimanapun, jujur dikatakan saya bosan dan janggal kalau bersendirian di atas pentas. Jadi saya putuskan untuk ajak kawan-kawan sekali.

“Bagi saya, wang ringgit bukan lagi satu persoalan sebab sekarang apa yang dicari adalah kepuasan. Kami cuma mahu memeriahkan dan menaikkan kembali muzik rock seperti dahulu,” ujarnya ketika ditemui pada majlis sidang media penganjuran konsert berkenaan baru-baru ini.



Kegemilangan

Pada malam persembahan, Awie akan menyampaikan beberapa buah lagu daripada album solo beliau, antaranya Kuda Tiga Kaki, Tinggal Satu Peluru, Tragedi Oktober, Penjara Janji dan Otak.

Nyata teruja dengan persembahan yang akan datang, Awie menyifatkan perhimpunan kembali mereka pada malam itu mampu mengimbau kenangan dan kegemilangan era muzik rock suatu ketika dahulu.

“Saya tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang. Namun, kepada peminat yang hadir nanti, saya mahu mereka menikmati persembahan ini secara menyeluruh.

“Inilah waktunya untuk kami mengimbas nostalgia ketika muzik rock mula-mula bertapak di negara ini,” katanya.

Bukan sekadar mahu mengembalikan nostalgia kegemilangan arena rock, namun Awie dan Dragon Malaya punya misi tersendiri menerusi penganjuran konsert pada malam itu nanti.

Mereka akan menyampaikan tribute kepada muzik era 1980-an tidak kira untuk kumpulan Melayu atau Inggeris yang menjadi pengaruh besar dalam gerakan muzik rock di negara ini.

“Dalam perancangan kami, lagu-lagu yang dipersembahkan pada malam itu mahu diubah suai dengan menyuntik muzik daripada kumpulan Scorpion, Iron Maiden dan beberapa lagi buah kumpulan terkenal lain.

“Jadi, datanglah dan lihat persembahan kami kerana sangat rugi kalau tidak menonton aksi daripada barisan pemuzik handalan dan legenda yang ada di Malaysia ini,” kata Awie yang tidak menolak kemungkinan akan bermain gitar pada malam persembahan.

Selain itu, persembahan pada malam tersebut turut menyaksikan kemunculan kumpulan Hillary Ang Project yang akan beraksi dalam acara pembukaan.

Tiket persembahan yang bakal berlangsung selama satu jam setengah itu dijual pada harga RM120. Namun, bagi 400 pembelian terawal, ia dijual pada harga RM100.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi MPC di talian 012-6503 252, Virtousity (012-2679 323) atau House (012-5757 971)

Post a Comment

Previous Post Next Post