PENYANYI yang juga pelakon ini berbesar hati selepas pihak Suhan Movie ingin mengangkat kisah hidupnya menerusi telefilem.
Tidak gusar persepsi orang ramai, Mark Adam berharap telemovie yang memaparkan kisah sebenar kehidupannya nanti dapat memberi inspirasi kepada orang ramai.
Telemovie berjudul Mark dan Anna yang turut dibintangi oleh Mark sendiri itu akan ditayangkan pada Hari Raya ketiga nanti.
“Ini kali pertama saya menjadi hero di dalam drama, malah cerita berkenaan diinspirasikan daripada kisah sebenar hidup saya.
“Saya tidak kisah berkongsi mengenai kisah hidup saya kepada orang ramai sebab ada benda yang kita perlu kongsikan untuk orang tahu dan mendapat motivasi,” ujarnya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan tayangan program Hari Raya Astro di Hotel Majestic baru-baru ini.
Bagi Mark atau nama Islamnya Fikri Mark Adam, dia juga mendapat motivasi daripada kisah hidup bintang yang disayanginya seperti Michael Jackson dan Elvis Presley.
Maka, tatkala Mark dipelawa pihak Suhan Movie untuk menerbitkan kisah hidupnya, penyanyi lagu Berat itu tidak menolak, malah berbesar hati menerimanya.
Penyanyi lagu Berat itu juga berharap agar telemovie terbitan Suhan Movies itu nanti dapat mendekatkan lagi dirinya dengan peminat.
“Sebelum ini saya ada berkongsi mengenai kisah hidup ketika ditemu bual stesen radio Sinar FM, tak sangka pula Datuk Rosyam Nor berminat untuk menjadikan ia dalam bentuk telemovie. Dia mahu menerbitkan cerita saya dan dijadikan inspirasi untuk orang lain,” jelasnya mengenai telemovie yang turut dibintangi oleh Ozlynn dan juga Shuib Sepahtu itu.
Telemovie bergenre komedi itu nanti akan memapar kisah hidup Mark yang berasal daripada keluarga susah.
Dia yang berasal dari Filipina itu akhirnya mengambil keputusan untuk merantau ke Malaysia 15 tahun lalu demi mencari kerja dan membantu keluarga susahnya.
Siapa sangka, Mark yang sudah 14 tahun memeluk Islam dan berkahwin dengan wanita tempatan itu mempunyai bakat sebagai penyanyi, guru vokal, penulis lirik dan pelakon.
Malah, kerana memiliki gaya percakapan yang lucu dan mampu mengundang ketawa orang ramai, Mark kini juga digelar sebagai pelawak.
“Saya tidak kisah buat apa sahaja untuk orang bahagia dan tersenyum. Sebabnya, saya seorang penghibur. Saya boleh menyanyi dan sekarang sangat minat untuk berlakon serta menjadi pelawak,” ujarnya yang mengaku akan cuba memperbaiki cara percakapannya yang pelat menjadi lebih lancar.
Masih menjadikan karier nyanyiannya sebagai keutamaan, Mark bersyukur kerana dapat berpuasa penuh setiap tahun.
Malah, selama 15 tahun menjalani ibadah tersebut, Mark sudah terbiasa untuk bangun sahur dan menikmati bulan mulia itu bersama keluarganya.
“Alhamdulillah, setiap tahun, saya akan berpuasa penuh dengan isteri. Ini tahun ke-15 saya berpuasa. Jadi, sudah biasa. Paling penting kena bangun sahur untuk kekal bertenaga sepanjang hari,” kongsinya yang menyukai sambal ayam dan rendang daging air tangan ibu mertuanya.
Dalam perkembangan lain, Mark juga bakal muncul dengan album keduanya pada tahun depan.