INI bukan soal siapa membayangi sesiapa. Di antara figura bernama Risteena Munim dan adiknya, Ruhainies Farehah, masing-masing punya pesona yang berbeza.
Biar percikan glamor kini seakan-akan lebih menyimbahi perjalanan Ruhainies berbanding dirinya, tidak sekelumit pun perasaan cemburu menggamit jiwa Risteena yang terlebih dulu mengetuk pintu dunia seni yang penuh pancaroba.
Sebaliknya, pemilik nama sebenar Nur Risteena Munim Zainul Ilyas itu menyifatkan ia sebagai persaingan sihat lantaran tidak pernah memburu populariti sejak sekian lama.
“Tidak timbul soal iri hati jika Ruhainies lebih popular. Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya, ada juga ahli keluarga dalam bidang yang sama.
“Buat apa popular jika tiada sebarang tawaran kerja. Sejujurnya, saya tumpang gembira buat adik yang kini sama-sama mencari makan dalam industri ini,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.
Tidak hairanlah, Risteena, 27, juga sudah cukup masak dengan senario yang terpaksa dihadapi Ruhainies termasuk dilabel sebagai pelakon ‘kayu’ dan sebagainya.
“Semasa mula-mula berlakon empat tahun lepas, saya juga pernah dilabel sedemikian seperti mana Ruhainies. Ia normal apabila dikritik, tambahan pula kami bukan dilahirkan sebagai pelakon.
“Prinsip saya mudah, masing-masing sewajarnya diberikan peluang untuk belajar. Yang paling penting, saya tidak berdepan masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana pengarah,” getusnya menguntum senyum.
Sedar atau tidak, Risteena juga tidak menganggap setiap yang tercetus sebagai satu konflik berat untuk dihadam sebagai anak seni.
“Saya harus sentiasa bersedia untuk berdepan mana-mana gosip sebaik menjejakkan kaki dalam industri ini. Alhamdulillah, buat masa ini belum terkena tempias gosip yang keterlaluan.
“Senang cerita, saya enggan naik kerana kontroversi kerana ia lebih cepat jatuh sebenarnya. Biarlah saya diingati kerana watak, mudah-mudahan tidak dimamah gosip sampai bila-bila,” ceritanya lagi.
Ungkap Risteena, dia juga pernah ditebak soalan sama ada dia dan Ruhainies benar-benar adik-beradik lantaran nama yang berbeza.
“Ada yang menyangka Munim itu nama bapa, sedangkan ia sebenarnya nama saya. Jadi, ada juga yang bertanya berhubung soal itu lantaran adik dikenali sebagai Ruhainies Farehah, bukannya Ruhainies Munim,” ungkapnya.
Proses memilih
FILEM terbaharu lakonan Risteena, Anak Mami Nasi Kandaq bakal menjengah pawagam tempatan pada Aidilfitri nanti.
Bakal menginjak usia 27 tahun pada 19 November depan, pastinya gadis ini tidak terkecuali daripada berdepan asakan mana-mana pihak bila masanya dia bakal menyulam pelamin bahagia dan ini jawapan jujur Risteena.
“Tiada yang benar-benar istimewa, saya berkawan dengan sesiapa sahaja. Saya percaya jodoh akan datang sendiri.
“Bukan apa, ia memang persoalan yang lazim ditanya ketika sudah melangkau usia seperti ini. Buat masa ini, saya berkawan dengan sesiapa sahaja kerana dalam proses memilih dan mengenal hati budi masing-masing.
“Sejujurnya, saya juga tidak kisah dalam menentukan kriteria tertentu berhubung soal teman lelaki,” getusnya mohon dimengerti.
Fobia
PEJAM celik, Risteena sudah berlakon dalam empat buah filem meskipun baru empat tahun bergelar pelakon.
Dalam pada itu, jenis-jenis fobia seperti katsaridaphobia, claustrophobia dan achluophobia seakan-akan mewarnai kehidupan Risteena.
“Saya memang takut berada di dalam lif dan di tempat gelap. Selain itu, saya juga boleh demam dibuatnya angkara lipas. Pendek kata, saya memang penakut sebenarnya,” ujarnya melentur tawa di bibir.
Pada masa sama, anak kedua daripada lima adik-beradik ini turut memiliki tabiat suka menyiat kulit bibirnya yang selalu merekah kekeringan.
“Mana-mana kru produksi juga sudah masak dengan tabiat saya nan satu ini,” jelasnya yang memasang impian untuk bergelar hos suatu hari nanti.
Debaran menjelang Aidilfitri
DRAMATIS ini menyifatkan dirinya sebagai seorang yang penakut, namun pada masa sama cukup manja.
Menyentuh mengenai perkembangan kariernya, Risteena mengakui berdebar-debar menanti penerimaan peminat terhadap filem terbaharu lakonannya, Anak Mami Nasi Kandaq arahan Prof. Datuk A. Razak Mohaideen yang dijangka menjengah pawagam pada 1 Syawal nanti.
“Ini merupakan filem keempat saya selepas empat tahun menceburkan diri dalam bidang lakonan. Jadi, saya harap ia mendapat sambutan positif meskipun ditayangkan pada musim Aidilfitri.
“Saya menjayakan watak sebagai Fitri dan akan bergandingan dengan Fasha Sandha, Amelia Natasha, Ezzaty Abdullah dan Elisya Sandha dalam filem berkenaan,” ujarnya.
Selain itu, Risteena juga teruja dengan karakternya sebagai seorang pengintip bernama Linda dalam drama Spy Lah Sangat arahan Johan Bahar yang mula disiarkan di saluran HyppTV sejak 8 Jun lepas.
“Ini watak yang dinanti-nantikan memandangkan pertama kali saya menjayakan watak aksi sehingga lebam-lebam badan dibuatnya.
“Ia sesuatu yang mengujakan kerana Linda terpaksa menyamar pelbagai watak seperti tukang urut, bibik dan macam-macam lagi,” katanya yang bergandingan bersama Zain Hamid, Haeriyanto Hassan dan Fadlan Hazim dalam drama 30 episod terbitan KL Motion Pictures itu.
Alang-alang bercerita mengenai Aidilfitri, Risteena turut belum membuat keputusan sama ada untuk mengadakan rumah terbuka buat peminat di Kepala Batas, Pulau Pinang ataupun di ibu negara.
“Saya pernah menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri pada tahun kedua bergelar artis, jadi tidak tahu hendak buat di mana pada tahun ini.
“Berhubung juadah, sudah tentu saya tidak sabar untuk menjamah ayam masak merah dan rendang daging bersama nasi impit, ketupat palas dan lemang selain seronok memberikan duit raya kepada anak-anak buah.
“Cuma, kemeriahan Syawal sedikit pudar sebaik kehilangan nenek, Ramunah Ali, 70, yang meninggal dunia dua tahun lepas pada bulan Ramadan,” ujarnya seraya menoktah bicara.