Fizz dan isterinya, Almy menantikan kelahiran anak kedua Oktober depan.
TAHUN ini mungkin masa yang cukup bermakna buat pasangan pelakon, Fizz Fairuz dan isterinya, Almy Nadia dalam kehidupan berkeluarga. Dua tahun melayari rumah tangga, kehidupan mereka cukup bahagia. Apatah lagi, mereka sudah dikurniakan puteri sulung, Nur Afrina Ariana yang kini sudah menginjak usia setahun lima bulan.
Sememangnya, hari-hari mereka menjadi lebih bahagia dengan hadirnya puteri yang menjadi pengarang jantung hati buat mereka berdua. Bahkan tahun ini sekali lagi pasangan itu akan menerima kehadiran orang baharu yang akan menjadi penguat ikatan kepada hubungan yang sudah terbina.
“Usia kandungan Almy sudah lima bulan. Insya-Allah, jika ikut jangkaan Almy akan bersalin anak kedua pada bulan Oktober nanti,” kata Fizz kepada Sensasi Bintang baru-baru ini.
Sudah pasti, pasangan itu cukup teruja untuk menyambut kelahiran anak kedua mereka. Memandangkan Fizz sudah memiliki seorang puteri, katanya, jelas sekali di sudut hatinya, dia mengimpikan seorang anak lelaki pula. Bagaimanapun, sehingga kini, katanya, jantina anak dalam kandungan belum dapat dikenal pasti
“Kalau ikutkan memang teringin untuk menimang anak lelaki pula. Maklumlah, anak pertama sudah perempuan. Jadi, seronok kalau boleh dapat anak sepasang. Kami sudah buat imbasan pada kandungan, tetapi masih belum nampak lagi jantinanya. Malu nak tunjuk mungkin.
“Apa yang penting adalah kesihatan bayi yang akan lahir itu nanti. Pada saya, cukup sifat dan sihat semuanya, sudah syukur alhamdulillah. Kalau ada anak lelaki, senang ada juga kawan nak ajak bergusti,” seloroh aktor berusia 37 tahun itu.
Menurut Fizz, dia juga bersyukur kerana Almy tidak mengalami alahan yang teruk berbanding ketika dia mengandungkan anak sulung mereka.
“Alhamdulillah, dia tidak mengalami alahan yang teruk seperti yang pertama dahulu. Dia juga akan mengikuti program untuk satu produk penjagaan diri ketika usia kandungannya enam bulan sehingga selepas lahir.
“Perlukan penjagaan yang betul baik daripada aspek penyusuan ataupun sewaktu dia pantang nanti,” katanya yang kini sibuk dengan perniagaan kurta di bawah jenama FizzFairuz by Binqareem.
Menurut Fizz, buat masa sekarang dia membuka tapak jualan di Skypark, Subang, Selangor sehingga 14 Julai ini.
“Insya-Allah, saya ada terfikir untuk membuka gerai nanti di tempat baharu di Uptown Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.
“Tempat itu masih lagi baharu. Cuma ia cukup unik kerana pada siangnya, kawasan itu akan dijadikan bazar Ramadan, tetapi pada sebelah malamnya pula akan dibuka tapak berniaga Uptown.
“Mungkin saya akan jual kurta dan sambal hitam di situ nanti. Jadi, mereka juga boleh cari barang kelengkapan raya di situ,” katanya yang memberitahu Uptown itu akan dibuka setiap hari bermula pukul 10 malam sehingga 3 pagi.