ZETTY bakal meraikan Aidilfitri bersama keluarganya di Jengka, Pahang.
BELUM pun setahun bergelar artis sebaik menyertai program Mentor Milenia awal tahun ini, protege Azlan & The Typewriter, Zetty tiba-tiba dipalit kontroversi apabila dikatakan memiliki hubungan rapat dengan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk.
Khuatir situasi itu menimbulkan persoalan khalayak, Zetty atau nama sebenarnya Nur Izzati Mohd. Rashid, 23, sebaliknya menjelaskan, hubungannya dengan Datuk berkenaan sebenarnya sekadar bersifat profesional apabila dilantik menjadi duta minyak wangi jenama Aeen Zubeida selama setahun baru-baru ini.
“Sebenarnya, Datuk itu merupakan kenalan sebelum bergelar artis lagi, keluarga juga saling mengenali antara satu sama lain.
“Jadi, tidak timbul sebarang isu berhubung perkara itu. Sebagai duta, saya juga terlibat dalam setiap bentuk promosi selain menggunakan minyak wangi Aeen Zubeida sebagai kegunaan harian,” katanya kepada Sensasi Bintang.
Mengulas lanjut, Zetty juga menafikan dakwaan kononnya dia mendapat tajaan lumayan sebaik menerima lamaran ahli perniagaan berkenaan sebagai duta produk Aeen Zubeida selama setahun.
“Cukuplah jika saya katakan saya berpuas hati dengan bayaran yang diterima, tambahan pula saya masih dianggap baharu dalam bidang ini.
“Saya akui terdapat perbincangan antara pihak Aeen Zubeida dan pengurusan berhubung soal bisnes, cuma terpulang kepada pihak pengurusan untuk mengadakan perbincangan lanjut termasuk tajaan untuk merakam album dan sebagainya,” jelas Zetty lagi.
Dalam pada itu, Zetty juga menafikan perubahan fizikalnya berpunca gara-gara ‘makan hati’ selepas kisah percintaannya dengan pemain bola sepak Kelantan, Wan Zack Haikal Wan Noor terkandas di pertengahan jalan sebelum ini.
“Saya cuma mahukan berat badan yang ideal, alhamdulillah, kini susut empat kilogram (kg) berbanding 52kg sebelum ini.
“Berhubung soal jodoh, saya menyerahkannya kepada Yang Maha Esa. Hendak kata serik untuk bercinta dengan pemain bola sepak pun tidak boleh juga. Mana tahu ia memang takdir.
“Buat masa ini, saya selesa berkawan dengan sesiapa,” ujarnya yang turut bercadang untuk kembali menyambung pengajiannya yang berbaki satu semester dalam jurusan Muzik di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam selepas ini.
Menyentuh mengenai perkembangan karier, Zetty ternyata teruja apabila berlakon buat julung kalinya dalam telefilem sempena temasya Sukan Olimpik 2016 berjudul Hero Raya yang dijangka disiarkan pada Aidilfitri nanti.
“Dalam telefilem terbitan Unit Sukan RTM itu, saya bakal bergandingan bersama Fahrin Ahmad, selain beberapa atlet negara yang akan ke temasya Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil pada Ogos depan.
“Ia satu pengalaman baharu yang cukup berharga buat saya. Sejujurnya, ia memang agak memenatkan berbanding nyanyian.
“Pada mulanya, agak kekok juga di depan kamera, cuma tak salah untuk mengembangkan bakat dalam cabang berbeza,” katanya yang akan menyambut Aidilfitri bersama keluarganya di Jengka, Pahang.
Pada masa sama, anak sulung daripada dua adik-beradik itu juga bakal merakamkan single pertamanya dalam masa terdekat.
“Lagu itu bergenre modern rock, cuma masih terlalu awal untuk saya memperincikan lagu berkenaan kerana belum memasuki studio rakaman.
“Cuma, saya percaya Azlan pasti akan membantu saya memberikan yang terbaik, semoga lagu itu diterima ramai selepas ini,” jelasnya.
Bagi yang ingin mengetahui perkembangan karier Zetty bolehlah mengikutinya di akaun Instagram
@zettymentor dan juga Twitter iaitu @zzatirashid.