Perginya permata Irama Malaysia, Pak Ngah


Teman anak didik - Pak Ngah turut menemani Siti pada Konsert Lentera Timur di Istana Budaya pada tahun 2013.

Cindai. Sepotong judul lagu yang bukan sahaja ringkas sebutannya, malah turut mempunyai makna yang sangat mendalam. Membawa maksud kain sutera dengan corak berbunga-bunga, barangkali itu metafora yang cuba disampaikan oleh Pak Ngah sewaktu menggarap lagu berentak Irama Malaysia yang dinyanyikan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza sekitar 21 tahun lalu.

Selain melodi dan lirik yang memberikan impak luar biasa dalam kalangan pendengar, suara emas Siti juga menjadi pemanis buat lagu berkenaan, sehingga menjulang karya agung itu sebagai lagu terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-13.

Masih segar dalam ingatan, Siti pada ketika itu yang masih berusia 19 tahun menggayakan busana tradisional negeri Perak berona jingga, lengkap dengan sanggul emas di kepala buat pertama kali mengalunkan lagu irama Malaysia di pentas berprestij tersebut.

Kelibat Pak Ngah atau nama sebenarnya, Datuk Suhaimi Mohd. Zain bermain akordion turut dilihat mengiringi persembahan tersebut. Meriah dan penuh berwarna-warni.

Begitulah gelagat tokoh seni yang seorang ini apabila setiap kali lagu ciptaannya dipersembahkan pada acara-acara besar. Disebabkan semangatnya yang cukup besar dalam memperjuangkan Irama Malaysia, nama-nama penyanyi didikannya seperti Siti dan Noraniza Idris cemerlang sehingga ke hari ini.

Dalam satu temu bual beberapa tahun lalu, Pak Ngah mengakui, lagu beliau sebenarnya sudah popular apabila lagu hari raya bertajuk Nostalgia Aidilfitri nyanyian Allahyarham Sharifah Aini diminati, namun pada masa itu, nama Pak Ngah belum dikenali ramai.

Katanya, album Ala Dondang milik Noraniza Idris dan Cindai yang dibikin khusus buat Siti adalah peluru yang telah meledakkan namanya dalam persada seni.

Walaupun saban waktu muzik bergenre moden datang silih berganti, namun, disebabkan karya-karya beliau yang bertaraf ikonik seperti Cindai, Nirmala, Balqis, Dikir Puteri dan Hati Kama, masih ada kelompok anak seni yang teguh memperjuangkan muzik pusaka negara itu.

Ironi, Pak Ngah bermula dalam industri hiburan bukan sebagai seorang komposer. Beliau terlebih dulu mencuri peluang menjadi sebahagian daripada pelaku seni dengan memegang jawatan sebagai pereka bunyi dalam filem Puteri pada tahun 1987. Kemahirannya kemudian digunakan untuk beberapa filem lain sehingga peluang datang kepadanya untuk menjadi penulis lirik, komposer, sekali gus penerbit album.

Menariknya, lelaki yang begitu cekap bermain gitar ini mencelah dalam timbunan lagu bergenre Pop dan Balada menerusi sentuhan magisnya untuk lagu-lagu berentak etnik kreatif dan Irama Malaysia pada sekitar tahun 1990-an. Hal itu telah menjadikan namanya harum dan disegani, sementalah, belum ada hasil tangannya yang gagal memikat peminat dalam pelbagai generasi.

Di sebalik muzik yang diciptakannya juga, beliau menyelitkan pelbagai genre yang menjadi kegemarannya. Ia termasuklah mengetengahkan muzik ghazal, muzik zapin, muzik hadrah, muzik rodat, malah muzik lawak jenaka yang disampaikan menerusi lagu ciptaannya. Genre-genre sedemikian dapat didengar dalam lagu seperti Seri Balas dendangan Allahyarham Sharifah Aini, Yayadan (Noraniza Idris) atau Samrah Mentari nyanyian Datuk Jamal Abdillah.

Hakikatnya, hasil tangan Pak Ngah bukan sekadar kepada nota-nota muzik di atas kertas yang kemudian dizahirkan oleh barisan penyanyi yang bertuah. Sebaliknya, sebagai pelaku seni yang begitu prolifik dan disegani, khidmatnya sering digunakan sebagai pengarah muzik untuk acara-acara atau program berskala mega di Malaysia.

Pernah menjadi pengarah muzik untuk Pembukaan dan Penutupan Sukan SEA di Kuala Lumpur pada tahun 1980 dan menjayakan Perayaan Sambutan Ambang Merdeka dan Perarakan Raksasa Sempena 50 Tahun Merdeka, Pak Ngah juga pernah diberi penghormatan untuk mengisi kerusi juri bagi program dangdut popular di Indonesia, D’Academy Asia musim pertama.



Sakit Jantung

Menghembuskan nafas terakhir di Rumah Sakit Provinsi Kepri Tanjung Pinang, Indonesia akibat serangan jantung pada pukul 3.05 minit petang semalam, pemergian permata negara berusia 60 tahun itu memayung rasa duka rakyat Malaysia, khususnya pelantun suara yang pernah menyanyikan karya-karya agungnya sebelum ini.

Siti yang sudah menganggap beliau seperti ayahnya menyifatkan pemergian lelaki kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur itu sebagai kehilangan yang cukup besar dalam industri.

“Pemergian beliau merupakan satu kehilangan yang sangat besar dalam industri seni, memandangkan beliau banyak menghasilkan karya berkualiti tinggi,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selain Siti, bintang muda yang dapat bekerjasama dengannya, Wany Hasrita memberitahu, dia bertuah kerana berpeluang merakamkan dua buah lagu ciptaan Pak Ngah yang merupakan satu penghormatan besar untuknya.

“Saya berasa sangat bertuah dapat bekerjasama dengan Pak Ngah. Sewaktu ditawarkan menyanyi lagu Ewah Ewah ciptaan beliau, saya sungguh teruja. Maklumlah, beliau merupakan komposer yang tersohor manakala saya pula masih baru.

“Namun, selang beberapa bulan, tidak sangka Pak Ngah menawarkan sebuah lagi lagu kepada saya berjudul Semarak Syawal sempena hari raya tahun ini.

“Biarpun mengenali Pak Ngah dalam tempoh waktu yang singkat, saya beruntung kerana dapat berkolaborasi dengannya. Insya-Allah, saya akan terus menyanyikan lagu-lagu Irama Malaysia bagi meneruskan perjuangan beliau,” ujar Wany.

Merupakan pejuang Irama Malaysia dan etnik kreatif sejati, dalam kebanyakan temu bualnya bersama media massa, Pak Ngah kerap menitipkan pesanan ini sepanjang hayatnya. Beliau bimbang jika irama sebegini mati ditelan zaman kerana tidak diperjuangkan.

“Saya sedar tugas memajukan atau memartabatkan Irama Malaysia bukanlah suatu kerja yang mudah. Tugas membawa dan menunjang budaya seni ini perlulah dipikul bersama. Tidak kira orang perseorangan ataupun badan-badan berkumpulan.

“Saya berharap perjuangan untuk memartabatkan muzik tradisional ini dapat diteruskan oleh generasi akan datang,” ujarnya dalam satu temu bual pada tahun 2014.

Malah, dalam temu bualnya bersama Kosmo! pada tahun lalu sewaktu terbabit menjadi penerbit dalam program program realiti 3 Juara, beliau menegaskan: “Saya memang mengharapkan agar Irama Malaysia dapat diketengahkan semula. Kita sendiri pun dapat lihat sudah lama Irama Malaysia ini orang tak tengok dan dengar. Lebih-lebih lagi selepas tiada kategori khusus untuk Irama Malaysia pada Anugerah Juara Lagu.”

Justeru, besar harapan kita untuk melihat ada pejuang tegar Irama Malaysia yang akan menyambung legasi Pak Ngah selepas pemergiannya. Sayang juga, jika suatu hari nanti lagu-lagu berentak Irama Malaysia kembali merajai industri muzik tempatan, Pak Ngah sudah tiada untuk meraikan rasa gembira itu.

Al Fatihah, Pak Ngah.

Post a Comment

Previous Post Next Post