Majlis pernikahan Maznah dan suami diadakan secara sederhana di kediaman keluarganya dan bertemakan tradisional nusantara.
Personaliiti dan pengacara popular, Maznah Zolkifli mengesahkan bahawa dirinya bakal menamatkan zaman bujang bersama jejaka pilihan hati, Shahril Datuk Hamidi di kediaman keluarganya pada hari ini.
Maznah yang kini bergiat aktif dengan aktiviti kemasyarakatan memberitahu, majlis ijab kabul itu bakal diadakan secara sederhana di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur serta bertemakan busana tradisional nusantara.
“Alhamdulillah, saya cukup terharu dan menganggap ini semua rezeki daripada Allah apabila tidak mengharapkan sesuatu keduniaan.
“Ini satu rahmat yang saya sendiri tidak jangkakan dan berharap supaya segalanya dipermudahkan,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.
Ketika mengimbau semula pertemuan bersama Shahril yang juga cucu bekas Menteri Belia dan Sukan, Allahyarham Tan Sri Senu Abdul Rahman, Maznah menjelaskan, segala-galanya bermula apabila mereka menyertai satu kem motivasi berbentuk ilmiah selama tiga hari di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Ramadan lepas.
Duta Belia Negara 2003 ini masih bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan meskipun seakan-akan menyepikan diri daripada radar dunia hiburan.
Duta Belia Negara 2003 itu memberitahu, dia kemudiannya didatangi oleh seorang ustaz yang memaklumkan hasrat Shahril untuk menyunting dirinya sebagai seorang isteri yang sah.
“Pada mulanya, saya memang tidak mengetahui latar belakang bakal suami, namun dia bersungguh-sungguh termasuk memberikan al-Quran sebagai tanda perkenalan.
“Setelah mengenali hati budi masing-masing dengan lebih lanjut selepas itu, kami kemudiannya bertunang pada penghujung Syawal lepas sebelum membuat keputusan untuk bernikah esok (hari ini).
“Mengikut perancangan awal, kami sebenarnya bercadang untuk mengadakan majlis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, namun membuat keputusan untuk mengadakannya di rumah saja apabila memikirkan ada ahli keluarga yang sudah tua dan tidak sihat,” ceritanya lagi.
Menurut bekas pengacara program Muzik-Muzik itu, dia menyifatkan perkahwinan ini sebagai petunjuk daripada Allah, selain teruja untuk menempuh fasa baharu dalam kehidupan sebagai seorang isteri.
“Proses perkenalan kami juga berjalan lancar serta mendapat restu keluarga kedua-dua belah pihak.
“Pada masa sama, saya juga menyifatkan perkahwinan ini sebagai satu penyatuan dua buah keluarga lantaran perjuangan nenek moyang kami yang terlibat secara tidak langsung pada zaman kemerdekaan.
“Sejujurnya, saya terharu dengan kebesaran Allah dan aturannya juga sangat cantik. Wallahualam,” ujarnya seraya menoktah bicara.