Bisik Pada Langit: daripada telefilem ke layar perak


Keluarga Siti Hajar terkejut mendengar perkhabaran duka berhubung tragedi kecelakaan jalan raya yang menimpanya.

Pada asalnya, repertoir berjudul Bisik Pada Langit sentuhan sutradara tersohor, Kabir Bhatia ini sekadar berbentuk telefilem dan sepatutnya telah pun menemui penonton di saluran eksklusif, Astro First sekitar penghujung tahun lepas.

Cuma mungkin benar kata orang, sesuatu yang indah itu wajar dikongsi semua orang menerusi medium yang lebih besar. Atas sebab itu, Bisik Pada Langit akhirnya diangkat ke layar perak sekali gus dapat dihayati sepenuhnya oleh penonton di pawagam bermula Khamis depan.

Ini bukan sekadar kisah cinta sesama manusia yang bersulamkan air mata. Kendatipun jarang tema kekeluargaan seperti ini dijadikan pilihan buat majoriti penggiat filem, ia tetap mendapat tempat dalam kalangan audiens yang bukan semata-mata mahu mendambakan naskhah ringan di pawagam.

Sementelahan pula, bukan semua orang memahami dan menghargai setiap pengorbanan orang tua kesayangan khususnya seorang bapa yang menyimpan 1,001 rasa dalam bungkam. Dalam erti kata mudah, ibu bapa yang kehilangan anak lebih dahsyat kedukaannya berbanding anak yang kehilangan ibu bapa.

Memahami bahasa seni Kabir juga terlalu indah untuk diterjemah dengan setiap jalinan bentuk aksara. Lihat saja repertoir sentuhan sutradara itu selama ini, sekali gus membakar adrenalin penonton untuk menyelami sengsara jiwa serta berperang dengan air mata bagi menyaksikan sendiri filem terbitan Astro dan Nusantara Seni Karya Sdn. Bhd. yang dipersembahkan oleh syarikat produksi, Filmscape di pawagam.


Kabir (kiri) cukup terkenal dengan sikapnya yang teliti dan terperinci setiap kali duduk di bangku sutradara.

Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, pihaknya memiliki sebab tersendiri mengapa naskhah Bisik Pada Langit yang pada mulanya berbentuk telefilem itu akhirnya diangkat ke layar perak.

“Kami berasakan bahawa Bisik Pada Langit layak diangkat ke layar perak kerana kualitinya, tambahan pula karya sebegini jarang dipersembahkan dalam industri perfileman tempatan.

“Dengan kehadiran filem ini di layar perak, kami berharap ia dapat menawarkan lebih variasi untuk genre filem tempatan, sekali gus meletakkan tahap perfileman tanah air setapak ke hadapan,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.

Khairul Anwar memberitahu, Bisik Pada Langit bukan saja memiliki kekuatan dari sudut jalan cerita serta sinematografi yang menarik, malahan ia turut diperkuatkan dengan lakonan mantap setiap barisan pelakon seperti Jalil Hamid, Ummi Nazeera, Beto Kusyairy, Datin Fadilah Mansor, Na’im Daniel, Erwin Dawson dan ramai lagi.

“Filem ini memaparkan elemen yang berteraskan kekuatan hubungan dalam kekeluargaan, permainan emosi yang pasti mampu menggolak hati penonton serta suntikan beberapa plot yang berbeza berbanding kebiasaan seperti faktor dramatik dalam setiap babak.

“Konsep sinematografi yang menekankan pelbagai aspek artistik hasil sentuhan pengarah fotografi tersohor tanah air, Norhanisham Muhammad sepanjang menjalani penggambaran di Labu, Negeri Sembilan dan Perth, Australia juga menjadi kekuatan filem ini,” ceritanya lagi.

Kabir pula memberitahu, dia tidak pernah meletakkan sebarang signatur arakian untaian naskhah berskrip mantap serta sinematografi spektakular seakan-akan sudah menjadi kudap-kudapan buatnya setiap kali berkarya.


Ummi (kiri) dan Erwin (kanan) fokus mendengar taklimat Kabir ketika sesi penggambaran sebelum ini.

“Saya puas melihat reaksi penonton, jadi ia sesuatu yang patut dibalas dengan sesuatu yang bagus untuk mereka saksikan di pawagam,” ujarnya.

Dalam pada itu, kehadiran Jalil dalam Bisik Pada Langit pastinya bukan sekadar satu persembahan pantomim kendatipun watak bapa lazimnya dipotretkan sebagai seorang insan tanpa dialog konkrit, apatah lagi bermain dengan reaksi wajah berbeza selama ini.

Sebaliknya, Jalil mahu mengajak audiens supaya bersama-sama merenung sejenak bagaimanakah untuk menjadi bapa sebenarnya ketika menyaksikan filem berkenaan.

“Saya bukannya cuba mempengaruhi dan mendidik penonton supaya menjadi bapa sebegitu seperti mana yang dipotretkan dalam filem ini.

“Cuma sekurang-kurangnya, penonton dapat berfikir sama ada perlu atau tidak seorang bapa menanggung segala-galanya,” ungkapnya.

Jalil memberitahu, dia cukup tertarik dengan skrip selain tidak berdepan masalah berbangkit kerana pernah bekerja sama dengan Kabir sebelum ini.

“Sudah tentu, saya berdebar-debar menantikan reaksi penonton sama ada watak sedemikian boleh diterima khalayak ataupun tidak,” ujarnya.

Ummi pula memberitahu, dia benar-benar kagum dengan kesungguhan Kabir yang cukup teliti dan terperinci setiap kali duduk di bangku sutradara sejak sekian lama.

“Mesej yang cuba disampaikan benar-benar meresap dalam jiwa terutamanya apabila melihat nilai pengorbanan dan kekeluargaan menerusi filem ini,” katanya.

Filem Bisik Pada Langit yang mengangkat kisah kekeluargaan selain diwarnai aspek ketulusan sebuah persahabatan, cinta dan ketentuan takdir yang telah tersurat dilihat mengupas naratif pengorbanan seorang bapa, Rosli (lakonan Jalil) yang begitu menyayangi anak perempuannya, Siti Hajar (Ummi).

Disebabkan itu, abang Siti Hajar, Zaidi (Beto) dan adiknya, Ikram (Na’im) juga terpaksa berkorban semata-mata demi memastikan cita-cita Siti Hajar untuk melanjutkan pelajaran di Perth, Australia dapat direalisasikan.

Cuma, malapetaka mula menimpa apabila Siti Hajar koma dan kritikal apabila terlibat dalam satu kecelakaan motosikal berkuasa tinggi di Perth. Lebih meremukkan hati Rosli, dia hanya mengetahui hobi anak kesayangan itu setelah segala-galanya terjadi, selain berhasrat untuk segera ke Perth untuk bertemu Siti Hajar tidak kira apa jua rintangan yang bakal menantinya.

Adakah Rosli sudah terlewat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada anaknya? Jangan lupa untuk saksikan Bisik Pada Langit serta bersedia untuk bergenang air mata di pawagam bermula Khamis depan, selain menguar-uarkan #BisikPadaLangit pada laman sosial sebagai tanda sokongan kepada filem ini.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post