Azhan Rani mahu tutup buku karakter ustaz




Amat sinonim dengan watak ustaz dalam kalangan penonton selepas menjayakan watak Ustaz Syed Hamadi dalam drama rantaian Nur, pelakon Azhan Rani mulai diserang perasaan gusar andai menimbulkan kebosanan terhadapnya.

Menurut Azhan atau nama lengkapnya Azhan Abdul Rani, 42, dia bimbang sekiranya ada peminat mula menyampah melihat karakter sama lakonannya.

“Mungkin selepas ini saya kena berhenti buat sementara waktu daripada membawa watak sebagai ustaz kerana sedar khalayak akan menyampah kalau watak sama dilakonkan secara berterusan.

“Biarpun selepas ini masih ada kerja lakonan saya sebagai ustaz tetapi watak-watak sebegitu harus dikurangkan. Takut nanti orang menyampah tengok saya bawa watak yang sama dan ada pula yang kata saya tidak boleh bawa watak lain,” katanya ketika ditemui! Kosmo! usai tayangan filem Kalla Hidup Atau Mati baru-baru ini.

Azhan bagaimanapun mendedahkan, tetap akan menjayakan watak serupa menerusi drama Nur 2 bakal memulakan menjalani penggambaran pada Disember depan. Dia bahkan melakonkan watak sebagai ustaz menerusi drama bersiri 13 Khurafat yang masih dalam penggambaran.

“Alhamdulillah, rezeki memang tidak putus-putus selepas Nur. Namun saya tidak akan hanya mendabik dada dan akan terus melahirkan lakonan yang lebih bermutu,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon drama bersiri original iFlix, KL Gangster Underworld berkenaan tetap bersyukur apabila perjalanan kariernya masih dipermudahkan.


“Alhamdulillah, Allah permudahkan perjalanan karier seni saya. Segala tawaran berlakon ini bukan diatur oleh saya tetapi. Semuanya terjadi secara kebetulan namun ia adalah Tuhan,” katanya ringkas.

Mengulas lanjut, Azhan ingin terus melakonkan watak-watak lebih mencabar dalam naskhah drama mahupun filem.

“Dalam filem Kalla, saya melakonkan watak seorang anggota polis dan saya kira, ia merupakan watak yang berlainan daripada apa yang pernah ditonjolkan sebelum ini.

“Selepas ini, kalau ditawarkan watak lelaki lembut atau pondan, saya bersedia untuk menjayakannya kerana kalau boleh saya mahu dikenali sebagai pelakon yang versatil,” tuturnya yang bakal muncul dengan siri eksklusif baharu Astro, Sembil9n tidak lama lagi.

Ditanya kembali mengenai watak ustaz yang begitu lazim dengan dirinya, Azhan terpanggil berbicara lanjut tentang ‘kepercayaan’ masyarakat terhadap golongan ulama.

“Banyak kes melibatkan golongan ustaz yang mencemarkan nama baik golongan agam sejak akhir-akhir ini. Namun saya harus ingatkan, bukan semua ustaz bersikap sebegitu (penunggang agama).

“Pada masa sama, golongan ustaz yang tidak menjalankan tugas dengan baik harus dibanteras dengan sewajarnya oleh kerajaan untuk memulih dan mendapatkan semula kepercayaan khalayak,” jelasnya.

Kalla Hidup Atau Mati arahan oleh Alan Smithee bakal menemui peminat filem tempatan bermula 11 Oktober ini (esok). Filem yang dibarisi pelakon handalan seperti Faizal Hussein, Farali Khan, Vanidah Imran dan ramai lagi itu juga bakal ditayangkan di Brunei dan Singapura.

Bergenre drama thriller, filem terbitan Little Film terbabit sarat dengan elemen tipu muslihat, konflik, aksi, pertempuran dan pengintipan serta menyentuh isu keselamatan negara.




Post a Comment

Previous Post Next Post