
Bimbang dan berdebar namun dalam masa sama teruja, demikian tiga gelombang perasaan yang berkocak dalam hati pelakon berkulit mulus, Uqasha Senrose saat menghitung hari untuk terbang menunaikan ibadah umrah menjelang hujung bulan ini.
Ditemui pada sesi fotografi drama bersiri terbaharu lakonannya, Spanar Jaya X di Sri Pentas TV3, Bandar Utama baru-baru ini, terpampang jelas riak wajah yang agak gusar saat berbicara soal persiapannya ke Tanah Suci.
Tidak langsung menafikan dirinya takut untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci kerana tidak cukup pengetahuan dalam soal ibadah, pemilik nama sebenar Nik Zarith Uqasha Nik Sen itu mengakui, sedang mengikuti kelas agama bagi mempersiapkan diri. Dia juga tidak malu mengakui kekurangan diri.
Bakal disertai bersama Rosmizai Mohd. Noor dan dua adiknya, Nelydia Senrose dan Raysha Rizrose sepanjang 26 Disember ini sehingga 7 Januari depan ke Tanah Suci, Uqasha berharap pengalaman pertamanya ke Mekah dan Madinah akan dipermudahkan.
“Diakui, sekarang saya masih berasa gementar dan sedang bertatih perlahan-lahan mengikuti kelas-kelas agama bagi menambah ilmu tentang apa yang boleh serta tidak boleh dilakukan sepanjang berada di Tanah Suci kelak.
“Namun, Mama (panggilan untuk ibu) memberikan keyakinan bahawa apabila setibanya di sana kelak, perasaan itu akan hilang dan saya akan jatuh cinta dengan semua hal mengenai Mekah serta Madinah,” ceritanya sambil tersenyum.
Pujukan ibu
Disoal, apakah yang membuatkan pintu hatinya terbuka untuk sama-sama menunaikan ibadah umrah, pelakon Hero Seorang Cinderella itu berkata, sindiran yang dilemparkan si ibu membuatkan dirinya tersentak.
Sejujurnya, kata pemilik mata bundar itu, sudah setahun ibu memujuknya untuk ke Mekah namun sering ditolak dengan pelbagai alasan klise seperti kepadatan jadual kerja atau sudah mempunyai perancangan lain untuk bercuti.
Tatkala sekali menerima ajakan bersulam dengan kata-kata sindiran seperti ke Tanah Suci lebih afdal serta bermanfaat berbanding bercuti ke negara lain, Uqasha tiada penolakan.
“Mama menempelak saya, mengapa boleh mengumpul duit untuk ke London, Australia dan sebagainya tetapi tidak mahu jejakkan kaki ke Mekah sedangkan saya masih muda serta berkemampuan.
“Malah Nelydia juga memaksa saya mengambil cuti awal daripada jadual penggambaran sambil memberitahu, inilah masanya untuk menghabiskan masa dengan keluarga sambil beribadat bersama-sama. Lagipun umrah cuma dua minggu, jadi saya turutkan sahaja permintaan mereka,” terangnya panjang lebar.
Sempat diusik, adakah ada doa tentang jodoh akan dipanjatkan sepanjang berada di depan Kaabah kelak, wanita berusia 26 tahun itu mengangguk perlahan tetapi pantas menambah, soal sebegitu bukanlah niat utamanya berangkat ke Mekah.
“Saya pun tidak tahu apa yang akan saya doakan. Apa yang saya tidak sabar sekarang adalah untuk merasai pengalaman tiba di rumah Allah terlebih dahulu. Kata orang, ia suatu perasaan yang luar biasa, soal doa atau apa sahaja yang baik-baik pasti saya doakan, bukan hanya jodoh,” tegasnya.
Enggan fikir
Kebiasaannya, apabila golongan selebriti pulang daripada menunaikan umrah, peminat akan mengharapkan perubahan drastik berlaku pada diri mereka, tidak kira dari segi pemakaian, penampilan atau perbuatan.
Mengulas berhubung persoalan sedemikian, Uqasha secara terus-terang menyatakan pendiriannya. Dia enggan membebankan fikiran dengan anggapan orang kerana tidak mahu niat beribadah akan terganggu.
Berpegang pada prinsip berubah kerana kemahuan sendiri dan bukan sekadar untuk memuaskan hati masyarakat sekeliling, banyak yang dipelajarinya sejak berdepan keputusan menanggalkan hijab sekitar dua tahun lalu.
“Saya tidak mahu berubah kerana takutkan pandangan orang. Saya pernah lakukannya sekali (berhijab) dan akhirnya, ia tidak berpanjangan. Jadi, berilah peluang kepada saya untuk beribadah dengan tenang dan doakan sahaja yang baik-baik.
“Selagi apa yang saya lakukan tidak melampaui batas dan keluarga boleh menerimanya, itu sudah memadai. Jahat atau baik seseorang itu bukanlah diukur sama ada dia sudah mengerjakan umrah atau penampilan luaran. Itu hanya pandangan fizikal sedangkan yang penting adalah hati,” tuturnya lembut sebelum menyimpul perbualan.
Bakal menunaikan ibadah umrah hujung bulan ini, pelakon Uqasha Senrose enggan memikirkan persepsi orang tentang niatnya. Dia hanya mahu fokus terhadap perjalanan menjadi tetamu Allah di Tanah Suci.