
Bercita-cita bergelar penerbit suatu hari nanti, Diana Danielle memilih untuk menggunakan dana pengajian daripada FINAS sebanyak RM50,000 untuk mengikuti kursus penerbitan di New York Film Academy cawangan Los Angeles, AS pada Julai tahun depan.
Lebih sedekad berkecimpung dalam dunia hiburan, Diana Danielle tidak pernah merasakan ilmunya di dalam dunia lakonan sudah mencukupi.
Merancang untuk bergelar penerbit pada masa hadapan, isteri kepada pelakon, Farid Kamil teruja untuk menyambung pengajian.
Teraju utama drama episod Raisha 2 itu akan berkelana ke Los Angeles (LA), Amerika Syarikat (AS) selama kira-kira dua bulan pada tahun depan bagi mengikuti kelas penerbitan.
Pernah merantau di negara Uncle Sam sekitar 10 tahun lalu, lebih menarik pengajiannya di New York Film Academy di LA, kali ini tanpa perlu berjauhan dengan keluarga.
KOSMO!: Selepas 10 tahun Diana akan kembali ke AS. Kali ini anda akan menetap di sana bersama keluarga. Boleh kongsikan agenda Diana di sana?
DIANA DANIELLE: Saya akan ke LA untuk menyambung pengajian dalam tempoh dua bulan di sana. Kali ini saya tidak berseorangan. Saya akan angkut satu keluarga tinggal bersama dengan saya.
Kira-kira 10 tahun lalu, saya telah pun merantau ke sana. Kunjungan pada kali ini istimewa kerana bersama keluarga.
Bilakah anda dijangka berangkat ke LA untuk mengikuti pengajian. Bagaimana pula kerjaya seni di tanah air?
Mengikut perancangan, saya perlu berada di sana antara Julai hingga Oktober tahun depan. Jadi saya akan bertolak bersama keluarga dalam tempoh tersebut.
Saya telah membuat perancangan rapi tentang perjalanan seni di sini sepanjang berada di LA. Akan ada drama lakonan saya bersiaran pada tahun depan.
Jika sebelum ini anda mengikuti kursus jangka pendek selama sebulan dalam jurusan lakonan, apakah pula kursus yang diikuti pada tahun depan?
Saya akan mengikuti kursus penerbitan. Cuma saya akan menampung sedikit perbelanjaan kerana menambah tempoh pembelajaran menjadi dua bulan.
Seperti sedia maklum, saya telah menerima dana daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sebanyak RM50,000 dan akan menggunakan sepenuhnya dana tersebut untuk pengajian kali ini.
Ia adalah imbuhan kemenangan saya sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Hanyut pada Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) tahun lalu.
Kenapa anda memilih kursus penerbitan? Lazimnya, pelakon terarah untuk bergelar pengarah?
Farid lebih sesuai jadi pengarah kerana dia lebih arif tentang seni. Biar saya jaga bahagian duit.
Menyentuh mengenai Farid, mengapa anda dilihat jarang berlakon bersama suami?
Saya dan Farid tidak boleh bekerjasama dalam lakonan. Kami berdua tidak boleh dekat dalam satu set. Tetapi jika Farid uruskan perkara lain dan saya ada peranan lain, kami boleh berkerjasama. Umpamanya saya penerbit dan saya minta Farid jadi pengarah, itu okey.