
Biarpun dua dekad berada dalam industri hiburan tanah air, tidak keterlaluan untuk mengatakan anak seni bernama Liyana Jasmay masih lagi kekal relevan dalam industri.
Bukan apa, jika sesetengah nama pelaku seni lain ibarat tenggelam timbul dalam radar penuh glamor, namun ia berbeza dengan wanita berusia 30 tahun ini biarpun dirinya jarang dipalit kontroversi murahan yang dikatakan mampu mengangkat seseorang anak seni itu.
Namun, bukan mudah untuk kekal relevan kalau tidak kenal erti perih jerih.
Buktinya, sejak menubuhkan syarikat produksi yang diberi nama, Mermaid Studio pada 2011, Liyana terpaksa menguruskan banyak perkara, bukan sekadar untuk karier lakonannya, tetapi kerja-kerja di sebalik tabir.
Jelas anak kelahiran Kuantan, Pahang ini, dia kini lebih memberikan fokus kepada pembikinan filem, pengarahan dan berlakon.
“Saya akan terus melakukan kerja-kerja ini sehingga sampai satu tahap sudah tidak mampu lagi,” ujarnya ringkas.
Ditanya mengenai tidakkah dia berasa penat untuk menguruskan semua perkara dalam satu-satu masa, Liyana mengakui, dirinya berasa letih tetapi demi minat yang mendalam dalam dunia seni, dia teruskan juga apa yang telah dirancang sebelum ini.
“Sudah tentu penat tetapi saya percaya setiap usaha keras pasti akan membuahkan hasil.
“Lagipun, saya amat meminati bidang seni,” ujarnya yang kini mengarahkan satu program berbentuk penggambaran yang bersiaran di Astro Naura (saluran 125) iaitu Hijab Journey.
Bercakap mengenai program yang disiarkan setiap Isnin bermula pada 17 Disember lalu pada pukul 11 malam itu, kata Liyana, Hijab Journey merupakan program pengembaraan kedua yang diarahkannya.
“Ia merupakan program penggambaran arahan kedua saya selepas Fly Us To Asia yang masih belum ditayangkan lagi.
“Program ini mengenai pencarian wanita Muslim yang berjaya di seluruh dunia. Misinya adalah untuk memberitahu dan membuka mata penonton tentang wanita Muslim yang berani dan tidak gentar dengan cabaran dan persepsi,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, kongsi anak seni yang mula menceburkan diri dalam industri sejak tahun 1997 itu lagi, dia juga bakal terlibat dengan beberapa projek terbaharu termasuk filem Bella & Jamie yang bakal menemui penonton pada 31 Januari depan.