Sarah Suhairi tetap dambakan ilmu




Tidak pernah terfikir dalam benak wanita bersosok kecil molek, Sarah Suhairi itu untuk bergelar penyanyi. Bahkan, jauh sekali dia terdetik untuk pergi sejauh apa yang dimilikinya pada hari ini dalam tempoh yang cukup singkat.

Bagaimanapun, siapa sangka nyanyian yang dianggap sekadar suka-suka sebagai hobi suatu masa dahulu, kini menjadi sebahagian perkara utama dalam hidupnya. Hidupnya total berubah.

Pernah muncul dengan single Pedih pada April lalu yang kini mencatatkan 5.3 juta jumlah tontonan di YouTube, nama Sarah kemudian mendadak naik selepas diangkat sebagai juara program realiti, Big Stage.

“Sejujurnya, semasa saya bersekolah dahulu, tak pernah sangka akan sampai di tahap begini, jauh sekali terfikir akan jadi penyanyi. Asalnya, menyanyi hanyalah sekadar hobi memandangkan ibu bapa saya tidak galakkan saya nak jadi penyanyi semasa masih bersekolah.

“Bahkan, kalau nak tahu, saya juga tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan nyanyian pada zaman kanak-kanak. Jadi, apa yang saya fikir, selepas tamat persekolahan, hanya untuk sambung belajar. Tak sangka rezeki lain pula yang datang,” kongsinya kepada Sensasi Bintang ketika ditemui dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.

Juruukur bahan

Pada awalnya, penyanyi yang mempunyai pengikut lebih setengah juta di Instagram itu mengakui dirinya berada dalam dilema. Tidak tahu sama ada keputusan jalan hidup mana yang perlu dipilihnya, sama ada nyanyian atau meneruskan pengajian.

“Dahulu saya sendiri berasa ragu-ragu. Berkira-kira sama ada mahu teruskan bidang nyanyian atau belajar. Namun, peluang yang ada bukan senang-senang nak datang, jadi, saya pilih jalan ini (menyanyi).

“Lagipun, saya percaya setiap orang ada rezeki masing-masing. Insya-Allah saya akan menyambung juga pelajaran nanti, tetapi bukan dalam masa terdekat ini,” cerita penyanyi berusia 18 tahun itu.

Jauh di sudut hati, Sarah memberitahu, dia sebenarnya pernah terbit rasa cemburu apabila melihat rakan-rakan sebaya di sekelilingnya yang lain bakal mengikuti pengajian di peringkat ijazah pada tahun depan.

Kata Sarah, walaupun sudah bergelar penyanyi dan memperoleh pendapatan sendiri pada usia muda, dia tidak menafikan bahawa dirinya masih perlukan kelulusan akademik demi masa depan yang lebih terjamin.

“Bidang nyanyian ini ada pasang surutnya. Walaupun sekarang, saya sudah pegang duit, ia bukanlah satu jaminan yang kukuh untuk masa depan. Saya masih perlukan ilmu dan kelulusan pendidikan.

“Kalau lihat kawan-kawan yang akan mulakan pengajian di universiti, mestilah saya cemburu. Bagaimanapun, saya tidak pernah menyesal dengan keputusan yang dibuat ini.

“Apabila tiba masa saya pula, saya berhasrat untuk menyambung pengajian dalam jurusan juruukur bahan,” kongsi anak kedua daripada empat beradik itu.

Jelasnya, minat dalam bidang tersebut terbit selepas dia sebelum ini membantu urusan bisnes bapanya yang juga merupakan seorang kontraktor.

“Selepas habis sekolah saya ada bekerja sambilan dengan ayah menguruskan tender. Saya belajar daripadanya. Jadi, daripada situ saya minat untuk menceburi bidang juruukur bahan.

“Walaupun pada masa itu terpaksa kerja lebih masa sehingga 11 malam, tetapi seronok kerana timbul rasa minat,” ceritanya.

Berdikari

Kata Sarah lagi, dia akui ada kawan-kawan di sekeliling merasakan hidupnya beruntung. Ini kerana, sekiranya dia tidak menyambung pelajaran sekalipun, dia masih boleh menguruskan bisnes bapanya.

“Kawan-kawan memang ada yang kata kalau saya tidak sambung belajar pun saya boleh bekerja dengan bapa saya. Bagaimanapun, saya bukanlah jenis orang yang sebegitu.

“Saya tidak suka bergantung kepada ibu bapa. Sebolehnya, saya mahu cuba hidup berdikari sendiri. Saya tidak selesa apabila orang mengatakan saya ini bergantung kepada keluarga,” kongsinya.

Kata Sarah, adakalanya terbit rasa letih apabila bekerja pada usia yang muda. Bagaimanapun, perkara itu memberikan satu pengalaman yang cukup bermakna.

“Memang seronok pegang duit di usia yang muda. Cuma, apabila menceburkan diri dalam dunia nyanyian, saya juga berniat mahu kumpul duit untuk kegunaan di masa depan terutamanya apabila ingin digunakan untuk menyambung pengajian nanti,” kata pelantun lagu Nyawa & Raga itu yang mana video lagunya sudah mencecah lebih tiga juta tontonan di YouTube.

Jelas Sarah lagi, urusan kewangan dirinya juga masih diuruskan oleh bapanya. Katanya, setiap perbelanjaan harian dikawal selia bapanya bagi memastikan dirinya membelanjakan mengikut keperluan sahaja.

“Memang setiap kali dapat duit hasil nyanyian, saya akan bahagi dua. Sebahagian untuk kegunaan diri, sebahagian lagi akan disimpan untuk pelaburan di akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Tabung Haji.

“Ayah kerap nasihatkan saya. Bahkan, dia yang kirakan berapa keperluan yang perlu saya gunakan seperti duit tol dan minyak. Itu sahaja yang perlu saya belanja dalam sebulan.

Maklumlah, orang muda macam saya selagi ada duit di tangan, selagi itu mahu belanja,” ceritanya yang kini turut bergelar pelakon dan membintangi drama bersiri berjudul #SisCuba.

Bercakap mengenai bidang lakonan yang baharu dicubanya itu, kata Sarah, dia sekadar mahu merasai pengalaman beraksi di hadapan kamera sahaja.

“Saya bukan minat berlakon, cuma saya fikir tidak salah sekiranya saya mencubanya. Ternyata, berlakon itu lebih memenatkan kerana komitmen masa yang banyak. Bagaimanapun, dalam percubaan sulung saya itu, ia drama pendek bagi lima episod sahaja.

“Selepas ini jika ada tawaran berlakon lagi, mungkin saya perlu fikirkan sebaik-baiknya.

“Saya tidak mahu terkejar-kejar dengan jadual yang padat antara nyanyian dan lakonan,” katanya yang berhasrat untuk berduet dengan penyanyi yang menjadi idolanya, Dayang Nurfaizah jika diberi keizinan satu hari nanti.

Post a Comment

Previous Post Next Post