Sisi baharu Faye Kusairi


Dia sedar, dahulu cukup mudah untuknya memuntahkan aksara kata tanpa memikirkan natijah yang kemudian memalit mukanya sendiri.

Namun itu dahulu, sebaliknya tutur kata pelakon berusia 30 tahun itu kini berbuah isi kematangan. Dia tidak lagi melenting saat dirinya ditujah.

Ironinya, sisi baharu yang ditonjol Faye itu bukan kerana mencari berita, tetapi lebih kepada meraih ketenangan selepas melalui episod getir dirinya dan suami, Azmi Hatta dikecam ketika itu.

“Saya minta maaf dengan ketelanjuran kata-kata ketika itu. Saya sedar ada media yang terasa akibat kata-kata yang dikeluarkan selepas mereka membuat liputan sidang akhbar akuan bersumpah Azmi Hatta yang diadakan di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Oktober tahun lalu.

“Apa yang berlaku banyak memberi pengajaran kepada saya. Jangan cepat melatah, sebaliknya jika ada perkara yang menyakitkan hati segeralah menarik nafas dan berfikir sedalam-dalamnya sebelum mengeluarkan kata-kata yang boleh menyakitkan hati orang lain,” lirih Faye kepada Sensasi Bintang.

Pada masa sama, ada hela nafas lega yang dilepaskannya apabila menerima permohonan maaf daripada netizen yang pernah mengecamnya.

“Alhamdulillah, saya juga bersyukur kerana selepas berkahwin ramai yang menghantar mesej melalui Instagram untuk memohon maaf dengan kata-kata yang mereka lontarkan kepada saya sebelum ini,” ujarnya yang mengaku bahagia melewati alam rumah tangga bersama Azmi yang kini memasuki usia lima bulan.


Selepas lima bulan berumah tangga, Faye sudah bersedia untuk bergelar ibu.

Anak

Bukan dia sengaja teriak bahagia, sekurang-kurangnya fasa yang dilalui dikongsi bersama tatkala diminta. Lima bulan berkahwin, pelakon dengan nama penuh Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi itu masih menikmati kemanisan bercinta.

Bagaimanapun itu tidak bermakna dia merancang benih pelengkap bahagia yang mahu membesar di dalam rahimnya. Hakikatnya, dia bersedia untuk bergelar ibu dalam masa terdekat.

“Saya enjoy kehidupan berkahwin, namun kalau ada rezeki anak dalam masa terdekat saya tidak akan menolak. Saya tahu ia (anak) adalah salah satu penambah rezeki dalam hubungan suami isteri,” luahnya yang kini turut berjinak-jinak dalam penulisan skrip.

Tika ini, selain sibuk mempromosikan filem terbaharu lakonannya, Tombiruo: Penunggu Rimba yang bakal menjengah pawagam mulai 12 Oktober ini, Faye juga sedang sibuk mempersiapkan diri menjadi penulis skrip di bawah tunjuk ajar suaminya.

Ketika seharusnya Faye sudah berlari di pentas lakonan, namun dia memilih untuk mencorak karier seninya dengan beralih ke bidang penulisan skrip.

“Saya suka berlakon dan tidak akan meninggalkan dunia lakonan. Cuma, bidang penulisan skrip ini adalah sesuatu yang bagus untuk dicuba.

“Sejak bulan Ramadan lalu, Azmi sudah mula mengajar saya menulis skrip drama dan telefilem. Alhamdulillah ada beberapa buah cerita dalam pembikinan kami,” jelasnya yang menganggap Azmi seorang guru yang bagus dan mudah untuknya menyerap apa yang diajar.


Tombiruo

Selain kelegaan yang terpancar di wajahnya, ada debar yang bersarang di hatinya. Masakan tidak, filem lakonannya, Tombiruo: Penunggu Rimba bakal ditayangkan tak lama lagi.

Menerusi filem yang diadaptasi daripada karya novelis terkenal Ramlee Awang Murshid itu, Faye membawa watak Salina, isteri kepada Amiruddin, lakonan Farid Kamil.

“Saya bersyukur sangat apabila terpilih berlakon dalam filem itu di samping nama-nama besar seperti Zul Ariffin, Farid, Nabila Huda, Faizal Hussein, Datuk M. Nasir dan Hasnul Rahmat. Bahkan watak Salina menuntut saya menjadi anak kepada M. Nasir dan juga isteri kepada Farid,” ujarnya turut teruja pemilihannya dalam filem itu atas persetujuan penulis novel, Ramli.

Walaupun watak Salina sekejap, namun kata Faye, ia merupakan penggerak kepada jalan cerita yang mana Amiruddin memburu Ejim (Zul), kerana ingin menuntut bela atas kematian Salina.

“Banyak bergandingan dengan Farid, memang perasaan itu agak gementar. Pada mulanya saya fikir dia seorang pelakon senior yang garang, rupa-rupanya tidak. Bahkan dia banyak membantu saya ketika sesi latihan lakonan,” ujarnya yang turut bersyukur kerana mendapat sesi latihan lakonan di bawah Fatimah Abu Bakar selama dua bulan.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post