Hannah Delisha jayakan babak berkemban


Berbekal fizikal seperti anak patung dan memiliki suara manja, imej Hannah Delisha, 21, si pelarut watak berjaya memancing jiwa penonton.

Hakikatnya, Hannah juga si pelontar suara. Dia bukan pelakon yang suka-suka cuba menyanyi tetapi seni itulah yang diterokainya dahulu sebelum rezeki kedua pada bidang lakonan menerjah masuk dalam kamus hidupnya.

Bakat nyanyiannya juga bukan biasa-biasa apabila darah seni ibunya yang merupakan penyanyi Singapura era 80-an, Noor Ashikin mengalir deras dalam diri Hannah.

Namun, khalayak mudah sahaja ‘membahasanya’ berangan dengan keinginan menghasilkan single terbaharu Esok Masih Ada usai meraih populariti menerusi drama Mencintaimu Mr. Photographer.

“Ramai yang tidak tahu, sebenarnya saya bermula dengan menyanyi. Tiga tahun lalu, saya bersama seorang rakan menubuhkan kumpulan Delisha dan menghasilkan lagu berjudul Rentak di bawah naungan syarikat rakaman, Alibi Music.

“Bagaimanapun, setahun kemudian, rakan saya itu mengambil keputusan untuk sambung belajar dan saya meneruskan kehidupan sebagai penyanyi solo dengan single Anugerah,” ujarnya yang kemudiannya disunting penerbit Singapura untuk berlakon di sana menerusi drama Farhana.

Selepas percubaannya dalam drama Farhana, tawaran demi tawaran berlakon diterima pelakon berasal dari Singapura itu tanpa putus sehingga membuatkan karier nyanyiannya sepi tidak berpenghujung.

Namanya dalam bidang lakonan mula memuncak selepas dia berlakon dalam drama Astro Ria, Mencintaimu Mr. Photographer di samping Syafiq Kyle.


Dikecam

Maka, karier nyanyian yang ditidurkan sebelum ini dibangunkan Hannah dengan single terbaharu Esok Masih Ada.

Ironinya selepas kemunculan single tersebut di YouTube pada Oktober lalu, dia dikecam netizen yang tidak membuat homework tentang dirinya.

“Saya tidak salahkan mereka dan sekadar mendiamkan diri apabila dikecam. Mujur, ada peminat yang membela dan memberitahu karier asal saya bukan lakonan sebaliknya dalam bidang nyanyian,” ujarnya tersenyum manis.

Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Hannah Adlina Blackburne Birch itu menganggap kecaman yang diraihnya termasuk peminat yang obses mahu dirinya bercinta dengan Syafiq terkandung mesej positif di dalamnya yang mana khalayak mula memutarkan frekuensi perhatian terhadap dirinya.

“Memang ada yang tidak boleh terima apabila dapat tahu kami tidak bercinta. Mujur juga ada peminat yang faham kami berlakon sahaja.

“Saya cuma berlakon untuk menjayakan watak tersebut supaya terlihat sempurna di mata. Selebihnya saya cuma hormat Syafiq sebagai kawan,” ujarnya yang turut mengaku solo dan tiada niat untuk bercinta buat masa ini.

Menjadi anak tunggal kepada bapanya yang berdarah Inggeris dan ibu yang berasal dari Singapura, menjadikan Hannah juga seorang yang introvert dan tidak selesa menjaja kisah peribadi kepada umum.

Namun, dia juga sedar sebagai figura umum waima orang biasa sekalipun khalayak akan cuba menyelak bab demi bab kehidupannya.

Berkemban
Maka, dia juga sudah bersedia andai dikecam berkemban dalam filem terbaharunya yang sekali lagi menggandingkan dirinya dengan Syafiq iaitu Langsuir.

“Pada saya, ada dua babak yang agak seksi iaitu babak berkemban ketika mandi dan juga babak Syafiq menyiram air ke atas diri saya.

“Namun begitu, sebelum babak tersebut dilakukan saya ada menyuarakan pendirian agar pakaian kemban yang tersarung tidak menampakkan lurah dada dan juga paha. Sementara babak Syafiq menyiram air pula, ketika itu saya memakai baju.

“Tetapi saya sudah bersedia andai babak tersebut mengundang perdebatan kerana berkemban atau tidak pastinya ada mata hati mereka yang tidak bersetuju,” luahnya yang membawa watak Suri, hantu langsuir jelita dalam filem arahan Osman Ali itu.

Pertama kali menggalas tanggungjawab sebagai heroin filem, ada gusar dan teruja saling berganti dalam diri Artis Paling Popular Singapura di Anugerah Planet Muzik ke-16 (2017) itu.

“Alhamdulillah, kerana abang Osman memberi kepercayaan kepada saya untuk menggalaskan watak Suri. Bekerja di bawah abang Osman sangat menyeronokkan kerana dia seorang pengarah yang profesional dan terbuka pada idea pelakonnya. Sebelum memulakan penggambaran, saya dan pelakon lain turut menjalani sesi latihan lakonan dengan aktres berkaliber, Ellie Suriaty, selama sebulan,” jelasnya mengenai filem terbitan syarikat Guam TeamWork Sdn. Bhd. dengan kerjasama produksi milik Osman sendiri iaitu Nuansa Films.

Menjalani penggambaran di Gua Langsuir dan sekitar Langkawi selama sebulan, banyak cabaran dan pengalaman ngeri yang dihadapinya.

“Ada satu insiden yang mana ketika itu pukul 2 pagi. Kebetulan ketika itu menunggu giliran untuk menjayakan babak saya. Maka, saya berjalan-jalan di pergigian air laut. Tidak semena-menanya saya berasakan ada sesuatu menjalar di kaki memasuki kain batik. Saya dapati ular laut berwarna hitam. Akibat terperanjat, saya menendang kaki sehingga menyebabkan ular itu tercampak. Namun, ia cuba untuk mendekati saya. Mujur, ada kru yang bantu membuang ular tersebut menggunakan kayu,” kongsinya yang turut memberitahu, terdapat beberapa kejadian mistik termasuk seorang kru ternampak entiti berupa lembaga di belakang Hannah ketika pelakon itu menjayakan babak sebagai langsuir.

Post a Comment

Previous Post Next Post