Perjuangan Zainal Abidin di pentas antarabangsa


Zainal bersama isterinya, Angelina akan berada di Itali sehingga hujung Julai ini.

Figura bernama Datuk Zainal Abidin yang berada dalam gelanggang seni negara lebih tiga dekad cukup sinonim dalam memperjuangkan kesedaran terhadap alam sekitar melalui hasil karya muzik.

Bahkan, usaha murni yang tidak pernah mengenal erti jemu itu bukan sahaja dipandang di tanah air sendiri, namun lebih membanggakan ia turut membuka mata masyarakat di peringkat antarabangsa.

Mendapat tawaran untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi bersama barisan artis terkemuka dunia dalam sebuah Konsert Music For Mercy yang bertempat di Roman Forum, Rome, Itali pada hari ini, ia boleh diumpamakan sebagai pengiktirafan terhadap perjuangan Zainal atau nama lengkapnya, Zainal Abidin Mohamed.

“Pada mulanya, saya menerima panggilan telefon daripada pihak penganjur yang menyatakan tentang penganjuran konsert ini sekitar bulan Februari lalu. Mereka turut menerangkan tentang tujuan konsert yang pertama kali dianjurkan itu adalah untuk mewujudkan kesedaran dan keharmonian antara bangsa dan agama.

“Mereka menyifatkan muzik boleh menyatupadukan keadaan semasa. Jadi, setelah mengkaji tentangnya selama tiga minggu, saya menerima tawaran ini,” ujar beliau yang ditemui di kediamannya di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Dalam konsert yang berlangsung selama dua jam itu, Zainal bakal berkongsi pentas dengan penyanyi tersohor dunia iaitu Andrea Bocelli, David Foster, Carly Paoli, Elaine Paige, Kinan Azmeh, Giovanni Caccamo, Federico Paciotti dan kumpulan The Tenors.

Bercerita soal pemilihan dirinya yang akan menyampaikan lagu ‘berhantu’ berjudul Hijau dalam konsert tersebut, bekas vokalis kumpulan Headwind itu memberitahu, beliau dipilih berdasarkan latar belakangnya antara artis-artis dari seluruh Asia.

“Konsert tersebut diiringi oleh 80 pemuzik orkestra dari Roma United Orchestra yang diketuai oleh Gianluca Marciano. Saya akan menyanyikan dua buah lagu iaitu Hijau dan sebuah lagu berbahasa Inggeris berjudul Goodbye Rome bersama David Foster.

“Saya juga diberitahu, mereka membuat pemilihan daripada barisan artis seluruh Asia dan akhirnya saya yang dipilih berdasarkan pengalaman latar belakang perjuangan yang banyak membantu membawa kesedaran dari segi kemanusiaan dan alam sekitar,” kongsi Zainal yang berangkat ke Itali bersama isterinya, Datin Angelina Asmawi sehingga hujung bulan ini.

Pengiktirafan

Tidak keterlaluan andai dikatakan, Zainal antara penyanyi Malaysia yang bertuah apabila diundang peringkat antarabangsa. Bukan sahaja terpilih di antara ratusan penyanyi seluruh Asia, malah figura berusia 57 tahun ini bertuah kerana dapat membuat persembahan di pentas utama yang usianya melebih 1,000 tahun.

Menyifatkan tawaran tersebut sebagai pengiktirafan terhadap kerjaya dan perjuangannya, sambil tersenyum beliau berkata: “Alhamdulillah, perjuangan saya selama ini mendapat perhatian bukan sahaja untuk pencinta muzik tanah air tetapi turut dihargai oleh masyarakat daripada negara luar.”

“Apabila ke sana, secara tidak langsung saya akan membawa nama negara, jadi selain bernyanyi saya juga membawa objektif utama iaitu menonjolkan adab, akhlak dan percakapan yang baik sebagai seorang lelaki muslim dan rakyat Malaysia.”

Bercerita soal perkembangan seninya yang lain, Zainal yang sedang giat dengan kempen Tenaga Lestari Gaya Hidup Hijau bersama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) akan menyambung lagi kempen tersebut ke peringkat yang lebih besar.

“Selama dua tahun kempen ini diadakan, ia mendapat maklum balas positif daripada ramai pihak. Jadi, kami sedang merangka kepada kementerian sebuah lagi program iaitu Karnival Gaya Hidup Sihat.

“Melalui program ini, kami akan mengadakan jelajah ke sekolah dan universiti untuk meningkatkan lagi kesedaran pelajar terhadap alam sekitar,” ujarnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post