Pakho Chau dan Stephanie Chu 10 tahun semai cinta


Bercinta selama 10 tahun dan akhirnya berkahwin November tahun lalu membuatkan pelakon dan penyanyi Pakho Chau, 33, kini gembira kerana mereka matang bersama.

Berkahwin dengan pereka fesyen, Stephanie Chu, Pakho akui hubu­ngan cinta yang dipertahankan lebih 10 tahun membuatkan mereka lebih memahami antara satu sama lain.

Katanya, tidak menafikan dalam tempoh itu terlalu banyak dugaan yang mereka hadapi tetapi tidak pernah berhadapan isu besar dalam hubungan.

“Saya gembira kerana sepanjang tempoh bercinta, kami jarang bergaduh besar. Walaupun dalam keadaan sakit hati, kami memilih untuk duduk dan berbincang mencari penyelesaian dan bukan­nya mencari salah masing-masing.

“Kami bercinta ketika usia 20 tahun. Kami dewasa dan matang bersama-sama. Kami belajar untuk mengawal emosi agar dapat mempertahankan hubungan. Banyak perkara mengajar kami lebih berfikiran positif sepanjang tempoh bercinta.

“Salah faham itu tidak dapat dielakkan, namun kadangkala ia sebenarnya hadir untuk membantu kami saling kenal dengan lebih baik serta mengukuh­kan hubungan,” katanya.

Penyanyi Cantopop itu bukan hanya boleh bermain piano malah bermain gitar dengan baik serta berkebolehan mencipta lagu.

Mula belajar piano pada usia lima tahun, Pakho bangga memiliki 12 album dan turut mengukuhkan namanya sebagai pelakon.

Pakho akui sikapnya yang tidak suka memperbesarkan sesuatu isu membuatkan dirinya sukar melakonkan babak bergaduh dengan pasa­ngannya sama ada dalam filem mahupun drama televisyen.

Muncul dengan filem 77 Heartbreaks yang ditayangkan bulan lalu, Pakho terpaksa berlatih melakonkan babak itu sebelum memulakan peng­gambaran. Sesi latihan itu menyebabkan dia sakit tekak.

“Saya dan gandingan dalam filem itu sama-sama bukan jenis orang yang suka bergaduh hingga meninggikan nada suara. Namun, dalam filem itu kami terpaksa lakukan.

“Saya dan Charlene Choi ambil keputusan untuk berlatih babak itu sebelum penggambaran. Kami lakukannya beberapa kali sampailah masing-masing puas hati dengan cara kami sampaikan bahagian itu.

“Akhirnya saya dan Charlene sakit tekak kerana berkali-kali berlatih dan menjerit sebagaimana tuntutan skrip. Saya dan dia sama-sama makan lozeng untuk mengurangkan sakit tekak,” katanya.

Kata Pakho, melepaskan kemarahan tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya akan membuatkan isu berkenaan menjadi lebih besar dan sukar untuk ditamat­kan.

Sementara itu dalam menjaga hati isteri, sejak bercinta lagi Pakho akan memaklumkan terlebih dulu kepada Stephanie sekiranya tawaran yang diberikan membabitkan babak intim. Dia akan meletakkan kepentingan isterinya terlebih dulu berbanding dirinya.

Katanya, hubu­ngan yang sihat adalah yang penuh dengan rasa saling menghormati serta memahami kerjaya antara satu sama lain. Dia bertuah kerana mempu­nyai seorang isteri yang hormat dan faham jadual kariernya.

“Impian setiap lelaki diberikan teman wanita mahupun isteri yang memahami kerjayanya. Saya bertuah kerana Stephanie adalah wanita yang bukan hanya menghormati tetapi juga memahami karier saya.

“Apabila diberikan kepercayaan seperti itu, saya tidak boleh sia-siakan keyakinan itu. Mana-mana babak yang mungkin membuatkan dia terasa hati, saya akan maklumkan terlebih dulu kepadanya.

“Kami selalu berbincang mengenai perkara itu dan saya lega kerana dia faham bahawa ia hanyalah sebahagian daripada kerja dan tidak terbawa-bawa ke luar lokasi,” katanya.

Dalam pada itu, Pakho bakal muncul dalam filem terbaru, The Sinking City: Capsule Odyssey berganding dengan Shiga Lin, Andrew Lam, Louis Cheung dan Joyce Cheng.

Ia mengisahkan beberapa individu yang berusaha keras cuba menjalani kehidupan di Hong Kong. Satu bilik seminar dibahagikan menjadi beberapa bilik untuk mereka tinggal. Masing-masing cuba menerima cara hidup di Hong Kong.

Walaupun pada mulanya mereka mengalami kesukaran, hubungan persahabatan yang terjalin membuatkan mereka kuat.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post