Kata Fikry, perubahan ketara yang dilaluinya semenjak dikenali ramai adalah pertambahan jumlah pengikut dalam laman Instagram. Dia kini memiliki pengikut melebihi angka 220,000 orang berbanding hanya 500 sebelum ini.
Perjalanan masih jauh
Benarlah kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Memilih untuk menyertai program Lawak Solo membuatkan Fikry yang pada ketika itu masih bergelar pelajar tahun kedua jurusan Pengiklanan di Fakulti Komunikasi dan Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor terpaksa menangguhkan sesi pembelajaran.
Hal ini kerana, memang menjadi syarat bagi sesebuah institusi pengajian tinggi untuk tidak membenarkan pelajarnya terikat dengan kerjaya sampingan.
“Saya bukan berhenti terus, cuma tangguhkan buat sementara sebab mahu fokus kepada Lawak Solo. Bagi saya, tidak timbul masalah jika saya ambil keputusan sebegini sebab saya masih boleh menyambung pengajian pada bila-bila masa.
“Insya-Allah, saya tidak akan biarkan pengajian terkubur begitu sahaja. Walaupun sekarang sibuk dengan kerjaya, tetapi saya akan cuba juga mencari masa untuk menyambung kuliah selepas ini,” ujarnya yang akan menjalani penggambaran drama Syurga Bukan Percuma untuk saluran Astro Oasis (106) tidak lama lagi.
Biarpun menerima pujian yang tinggi daripada peminat tentang tahap lakonannya, namun Fikry percaya itu semua hanyalah permulaan kepada landasan karier yang baru dibinanya.
“Kalau tengok di Instagram misalnya, memang ramai yang puji cakap lakonan saya bagus dan nampak semula jadi.
“Tapi sebenarnya, saya pernah ditegur oleh peminat ketika berada di luar yang mengatakan lakonan saya ‘kayu’. Itu tandanya tidak semua orang mempunyai pandangan yang sama terhadap diri kita,” ujarnya menutup bicara.
BERBEKALKAN tubuh tinggi lampai dan kulit hitam manis, itu antara daya tarikan yang ada pada diri pelawak, pengacara dan pelakon Fikry Ibrahim.
Maka tidak hairanlah andai kehadirannya dalam industri pantas disedari ramai pihak terutama para peminat yang menyifatkan lelaki kelahiran Perlis namun dibesarkan di Jitra, Kedah itu seorang yang mempunyai pesona tersendiri.
Lahir daripada program Lawak Solo pada tahun lalu sebagai salam pengenalannya dalam industri, kelopak kariernya semakin mekar mengembang apabila diberi tawaran menjadi pengacara dalam program Gema Gegar Vaganza (GGV) pada April lalu.
Satu persatu peluang terbuka. Pelawak sudah, mengacara juga sudah. Kehadirannya dalam industri kemudian membuka mata pengarah Michael Ang apabila Fikry dilamar menjadi pelakon dalam drama Hero Seorang Cinderella (HSC) yang tamat siarannya pada hujung Jun lalu.
Bertemu dalam satu sesi fotografi yang diatur di Studio Utusan baru-baru ini, Kosmo! menyingkap perjalanan karier jejaka berusia 23 tahun itu yang pernah melalui detik sukar sebelum mengecap nikmat populariti pada hari ini.
Mimpi
Selepas Lawak Solo berakhir pada Disember tahun lalu, anak sulung daripada empat beradik itu pernah menganggur selama tiga bulan gara-gara tidak menerima sebarang tawaran kerja. Situasi itu membuatkan dia hampir putus asa untuk meneruskan cita-citanya dalam industri.
Apa yang ada dalam hatinya ketika itu adalah perancangan untuk menyambung kembali pengajian. Namun, pada ketika dia hampir berputus asa, jodohnya dalam industri masih kuat apabila terlebih dulu dilamar menjadi pengacara dalam program travelog Jalan Jalan Makan Angin (JJMA) untuk siaran TV3.
“Semua ini rezeki. Dahulu saya terpaksa menganggur selama tiga bulan, tapi sekarang tiga kerja sekali gus saya dapat. Pun begitu, dalam ketiga-tiga bidang yang diceburi ini pun saya terpaksa berhempas pulas juga. Tidak ada kerja yang mudah di dunia ini.
“Pada fasa awal pembabitan dalam program GGV dan drama HSC, saya memerlukan tempoh yang lama untuk mencari momentum. Berkat banyak bertanya dan belajar dengan orang sekeliling, perlahan-lahan diri saya diterima,” tutur pemilik nama lengkap Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim itu mesra membuka perbualan.
Cerita Fikry, dia pernah terfikir bahawa dunianya hanya akan berputar dalam lingkungan pentas lawak sahaja. Sama sekali dia tidak menyangka kitaran hidupnya akan berubah secara mendadak seperti apa yang dikecapinya hari ini.
“Dahulu, saya tidak pernah memandang jauh ke hadapan. Apa yang saya nampak hanyalah dunia pelawak dan sasaran untuk beraksi di atas pentas Maharaja Lawak Mega (MLM).
“Pernah juga terfikir untuk mencuba dunia lakonan walaupun sekadar suka-suka tetapi tidak sangka pula ini yang saya dapat selepas dikenali sebagai pelakon,” getusnya sambil ketawa.
SAMBUNG BELAJAR. Meskipun kini di ambang populariti, namun Fikry tetap berazam untuk menyambung tempoh pengajiannya yang masih berbaki setahun demi segulung ijazah.
Pengacara
Biarpun masih baru dalam industri, namun jejaka berdarah kacukan Pakistan (sebelah ibu) itu tidak kekok dalam mengatur butir bicara saat diwawancara. Sesekali dia melontarkan jenaka bagi menceriakan suasana.
“Kalau ditanya antara dua dunia sama ada lakonan mahupun pengacaraan, saya suka kedua-duanya sebab masing-masing ada kelebihan. Dalam dunia pengacaraan, saya boleh jadi diri sendiri. Kalau untuk lakonan pula, ia memberi peluang kepada saya mencuba bermacam-macam watak mengikut tuntutan cerita.
“Ada banyak beza antara program rakaman dengan siaran langsung. Kelebihan kepada program rakaman sebab kalau kita buat salah banyak kali pun, ia tiada masalah,” ujarnya yang lebih suka mengendali program siaran secara langsung kerana dari situ dia mampu mengatasi kelemahan diri dengan cabaran yang sedia ada.
Banyak membuat kajian dan mempelajari ilmu pengacaraan menerusi laman carian YouTube, sebagai pendatang baharu yang kosong ilmu di dada, Fikry sedar dia perlu untuk banyak bertanya daripada orang sekeliling terutama mereka yang lebih senior.
Akuinya, antara orang yang banyak memberi tunjuk ajar dan ilmu kepadanya dalam bidang lawak dan pengacaraan adalah personaliti serta pelawak Hilmy Ashley dan Nabil Ahmad.
“Tidak kira dalam bidang pengacaraan atau lakonan, saya tiada asas dalam kedua-dua bidang ini. Saya datang dengan ilmu yang kosong dan hanya bergantung kepada kajian yang dibuat sendiri.
“Seperti contoh, saya pernah berasa putus asa sewaktu minggu pertama ketika terlibat dalam HSC. Namun, selepas mendapat tunjuk ajar daripada rakan-rakan pelakon lain di set, perlahan-lahan saya menterjemahkan ilmu itu dalam lakonan.
“Satu hal yang saya belajar sejak masuk ke dalam industri adalah ia perlu mengambil masa yang lama untuk menguasai sesuatu kerja dengan baik. Apa yang penting, perlu sentiasa menghormati semua orang dan jangan malu untuk belajar,” tuturnya bersungguh.