Adam Shahz, Fatin Afeefa tidak tolak rujuk kembali


FATIN mengaku menyesal bercerai dengan Adam.

Pasangan pelakon Adam Shahz, 35, dan Fatin Afeefa, 22, yang sah bercerai pada 30 Mei lalu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Shah Alam, Selangor memberitahu mereka tidak menolak untuk merujuk jika masih mempunyai jodoh.

Meskipun masih berkawan baik, pasangan yang mempunyai dua orang anak iaitu Adam Aisy Arrian, 4, dan Ivy Herra Sophia, 2, mendakwa tidak akan kembali rujuk dalam masa terdekat.

Hal ini kerana kedua-dua mereka memerlukan masa untuk memperbaiki diri masing-masing dalam tempoh idah sebelum mengambil langkah seterusnya sama ada mahu kembali bersama atau terus berpisah.

Adam bagaimanapun menegaskan orang ketiga bukan punca kemusnahan rumah tangga yang dibina selama empat tahun itu. Sebaliknya mengakui sikap bekas isterinya yang percaya pada hasutan orang luar menjadi punca perpisahan mereka.

KOSMO!: Mengapakah baru sekarang Adam mendedahkan perceraian kepada umum?

Adam Shahz: Kami sah bercerai pada 30 Mei lalu dan memang tidak dihebohkan kerana waktu itu masih dalam tempoh idah. Pada fikiran saya lebih baik diam kerana mungkin kami boleh rujuk kembali. Namun, timbul terlalu banyak spekulasi, jadi untuk menggelakkan fitnah inilah masa terbaik untuk saya mengumumkan perpisahan kami.

Bagaimanakah hubungan kalian selepas bercerai?

Alhamdulillah, kami masih berkawan baik dan berhubung seperti biasa. Kami berkahwin atas dasar cinta, tidak mungkin kami akan bergaduh dan berperang apabila bercerai. Tambahan, kami sepakat untuk menjaga anak-anak bersama dan tidak mahu mereka terkesan dengan perpisahan ini. Cuma hubungan baik itu kami tidak muat naik di laman sosial masing-masing, jadi orang tidak tahu.

Mungkinkah kalian akan rujuk?

Sebenarnya saya tidak anggap perceraian kami sebagai satu perpisahan, sebaliknya ia merupakan satu tempoh masa untuk memperbaiki hubungan dan diri masing-masing. Jika Allah kata jodoh kami masih kuat, saya tidak menolak untuk rujuk dengan bekas isteri.


ADAM bersedia untuk rujuk dengan jandanya, Fatin.

Adakah anda masih sayangkan bekas isteri?

Walaupun perceraian ini berlaku disebabkan bekas isteri yang termakan hasutan orang luar, jauh di sudut hati saya sangat sayangkan dia. Ini kerana, pada waktu saya susah dan senang, dia sentiasa ada bersama. Memang amat kecewa kerana apa yang berlaku (perceraian) amat memberi kesan kepada saya.

Bagaimanakah dengan kerjaya seni anda?

Sejujurnya, selama tiga bulan saya berehat daripada dunia lakonan selepas bercerai. Dalam tempoh itu, saya mencari jawapan dalam diri sendiri dan masa yang sama enggan menyusahkan orang lain kerana masalah peribadi. Saya bimbang jika terus bekerja ia akan memberi kesan kepada mutu lakonan. Tambahan ketika itu saya banyak menerima tawaran watak komedi sedangkan jiwa cukup serabut dengan masalah. Alhamdulillah tawaran lakonan tidak pernah putus dan saya akan kembali ke set penggambaran pada minggu depan.

Post a Comment

Previous Post Next Post