Kejutan memori Yuna


Yuna bijak berkomunikasi dan berjaya mengubat kerinduan peminat meskipun keadaan kesihatannya sedikit terganggu.

Bertempat di APW, Bangsar, berlangsung satu persembahan eksklusif yang diberi nama Yuna’s Secret Show Sabtu lalu. Konsert yang ditaja sepenuhnya oleh aplikasi permintaan pengangkutan, Uber dengan kerjasama jenama barang kemas, Pandora dan jenama pengeluar kad mata ganjaran, BonusLink itu dihadiri kira-kira 300 penonton bertuah.

Mereka bertuah kerana berpeluang untuk menyaksikan persembahan penyanyi kebanggaan Malaysia yang kini berpangkalan di Amerika Syarikat, Yuna. Bukan itu sahaja, kebanyakan mereka yang hadir menaiki Uber dengan dikejutkan kod rahsia aplikasi permintaan pengangkutan tersebut.

Menggayakan busana berona keemasan rekaan rakan baiknya, Hatta Dolmat, penonton bersorak riuh saat Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara’ai, 30, melangkah masuk ke pintu APW dengan senyuman yang tidak pernah lekang di bibir.

“Terima kasih kerana hadir pada malam ini. Saya berasa sangat beruntung kerana dapat pulang ke Malaysia dan bertemu dengan anda semua. Sebenarnya, saya tidak berapa sihat pada malam ini tapi untuk anda semua, saya tetap ingin melakukan persembahan,” ujar Yuna.

Riuh

Tirai persembahan dibuka dengan laungan lagu berjudul Falling yang dipetik daripada album Noctural. Yuna sempat berseloroh usai menyanyi lagu tersebut.

“Maafkan saya kalau ada bunyi sengau-sengau sedikit,” katanya yang disambut dengan keriuhan penonton.

Persembahan diteruskan dengan nyanyian lagu Best Love sebelum Yuna membuai penonton dengan persembahan lagu Lullabies. Apabila intro lagu tersebut berkumandang, penonton seperti terkena panahan histeria kerana lagu tersebut adalah single yang memperkenalkan namanya di pentas antarabangsa.

“Walaupun persembahan ini berskala kecil, saya berasa sangat teruja kerana dapat membuat persembahan secara dekat dengan anda semua. Sejujurnya, saya rindu untuk melakukan persembahan di sini (Malaysia),” ujar Yuna.

Berikutnya, Yuna menyanyikan lagu Lights Camera yang disambut meriah dengan nyanyian bersama oleh penonton yang hadir. Nuansa persembahan terus mekar apabila wanita kelahiran Alor Setar, Kedah itu mendendangkan lagu berbahasa Melayu, Terukir Di Bintang.

Sebelum menyanyikan lagu selanjutnya berjudul Pulang, Yuna meminta maaf. Katanya: “Saya minta maaf sangat-sangat kerana pasangan saya dalam lagu ini iaitu SonaOne tidak dapat hadir. Saya ada menjemputnya namun jadual dia sudah bertindih dengan perkara lain. Oleh itu, saya akan cuba untuk rap bahagian SonaOne.”

Lagu Used To Love terus merancakkan suasana persembahan pada malam itu sebelum lokasi konsert bergema dengan laungan lagu Crush yang telah melambungkan nama Yuna di pentas antarabangsa.


Sekian lama melebarkan jenama sebagai penyanyi di Amerika Syarikat, kemampuan vokal Yuna semakin menyerlah dan matang.

Sokongan

Usai mendendangkan lagu duet dengan penyanyi popular AS, Usher itu, wanita tersebut memberi bayangan terhadap satu berita gembira. “Buat sesiapa yang belum mendapatkan album Chapters, sila berbuat demikian kerana tahun depan sudah ada album baharu,” katanya.

Suhu persembahan terus meningkat apabila lagu yang memperkenalkan nama Yuna dalam arus perdana dunia seni tempatan berjudul Dan Sebenarnya berkumandang. Nostalgik, saat Yuna melantunkan vokalnya terkenang bagaimana kerjayanya bermula 10 tahun lalu dengan fesyen tudung bawal dan magis petikan gitar menerusi laman Myspace. Persembahan kemudian digulung cermat dengan lagu Decorate.

Lebih bermakna, dalam magis yang dihadirkan Yuna pada persembahan tersebut, nampak juga wajah-wajah kesayangannya yang memberikan sokongan seperti ibunya, Fawzia Anum serta teman istimewanya, Adam Sinclair.

Barangkali ada segelintir peminat yang menginginkan Yuna melaksanakan konsert berskala besar, namun persembahan yang diadakan tempoh hari sudah cukup untuk mengubat kerinduan peminat di Malaysia.

Post a Comment

Previous Post Next Post