Zarul Husin, Siti Elizad cakap pasal poligami


Zarul Hussin dan Siti Elizad bergandingan bersama dalam drama Syurga Yang Kedua.

Barangkali ada yang melihat isu poligami dalam rumah tangga merupakan satu perkara yang cukup sensitif. Bahkan, situasi itu bukanlah sesuatu yang asing. Dalam kalangan artis juga, kita sering mendengar kisah pelakon dan penyanyi yang hidup berkongsi kasih.

Zakrul Husin pada sidang akhbar drama 'Syurga yang Kedua' di sini hari ini.

Apa yang pasti masing-masing mempunyai pandangan mereka tersendiri mengenai hal tersebut. Begitu juga dengan apa yang dirasakan pelakon Zarul Husin dan Siti Elizad yang percaya bahawa konsep hidup bermadu itu terpulang kepada hak individu.

Menariknya, biarpun mereka bukanlah dalam situasi tersebut, menerusi drama Syurga Yang Kedua, Zarul dan Elizad digandingkan bersama sebagai teraju utama yang memaparkan kisah kehidupan mereka berdepan dengan dilema untuk hidup berpoligami.

Minggu ini, Sensasi Bintang berkesempatan menemu bual Zarul dan Elizad untuk berkongsi cerita mengenai naskhah terbaharu itu dan pandangan peribadi mereka mengenai isu poligami.


Boleh kongsikan serba sedikit mengenai naskhah terbaharu berjudul Syurga Yang Kedua?

ZARUL: Ia merupakan naskhah pertama saya digandingkan bersama Elizad dan Fasha Sandha sebagai teraju utama. Drama tersebut merupakan sebuah naskhah yang diadaptasi daripada sebuah sinetron Indonesia. Drama ini menggambarkan dilema seorang lelaki yang terpaksa hidup berpoligami dek tekanan daripada ahli keluarga sendiri.

ELIZAD: Ia merupakan sebuah drama bersiri yang agak panjang iaitu sebanyak 70 episod. Drama ini bukan sahaja memaparkan konflik yang berlaku dalam perkahwinan, erti pengorbanan kesetiaan dan menekankan makna sebuah persahabatan itu. Biarpun, dalam cerita ini saya terpaksa hidup bermadu, tetapi saya cuba tonjolkan sisi positif yang perlu seseorang wanita itu lalui apabila berdepan situasi tersebut.

Kalian mungkin berdepan situasi hidup berpoligami itu hanya di hadapan kamera, bagaimana pula pandangan peribadi kalian sendiri mengenai hal tersebut?

ZARUL: Alamak (ketawa). Pada saya, benda ini memang agak sensitif untuk dibicarakan secara umum. Kalau ditanya sama ada mahu hidup berpoligami atau tidak, itu semua terpulang kepada individu itu sendiri. Masing-masing ada cara penerimaan mereka tersendiri.

ELIZAD: Saya pun tak pernah merasai situasi itu. Kalau tanya secara peribadi, sebagai wanita rasanya tiada siapa yang mahukan hidup bermadu. Apapun, saya melihat itu semua sebagai takdir. Kalau itu yang sudah tertulis untuk kita lalui, siapa kita untuk melawan takdirNya.

Mungkin kalian boleh kongsikan apakah konflik yang tercetus sehingga membawa kepada kisah hidup berpoligami dalam naskhah ini?

ZARUL: Dalam cerita ini, saya memegang watak sebagai suami kepada Elizad. Jadi, sepanjang perkahwinan, kami belum lagi dikurniakan zuriat. Atas desakan ibu yang mahukan cucu itulah kemudian membawa kepada kehidupan berpoligami.

ELIZAD: Perkara itu mungkin nampak klise, tetapi itulah realitinya yang sering berlaku dalam masyarakat kita. Setiap apa yang berlaku itu mungkin ada alasan di sebaliknya. Mungkin ada yang mengukur kehadiran cahaya mata itu sebagai tanda kebahagiaan dalam rumah tangga semata-mata.

Kalian masing-masing sudah berumah tangga. Daripada sudut kaca mata kalian sendiri, adakah kalian melihat situasi tidak dikurniakan cahaya mata sebagai alasan kukuh untuk berpoligami?

ZARUL: Saya tidak rasa begitu. Pada saya, soal anak ini merupakan rezeki. Tidak patutlah ia dijadikan sebagai alasan tidak bahagia dalam perkahwinan. Lagipun, sekarang ini kalau kita lihat, banyak lagi cara atau kaedah lain dalam perubatan yang boleh dilakukan. Antaranya termasuklah kaedah persenyawaan in-vitro (IVF) yang sering kita dengar.

ELIZAD: Jika dikurniakan anak dalam kehidupan rumah tangga itu, memang besarlah nikmatnya. Siapa yang kahwin tidak mahu cahaya mata. Bagaimanapun, sekali pun tidak ada cahaya mata, pada saya, kalau kita pandai jaga suami pun, InsyaAllah suami tak mungkin nak cari lain. Tidak ada anak itu bukan alasannya. Kalau diri sendiri pun nampak tak terurus, memang mungkin suami jadikan itu sebagai alasan untuk cari lain. Suami saya sendiri tidak pernah bangkitkan hal tersebut dengan saya. Lagipun, katanya, dia sudah ada dua anak (hasil perkahwinan terdahulu).

Apakah babak paling sukar untuk dibawakan dalam naskhah ini?

ZARUL: Babak ketika saya sampai di wad hospital melihat isteri sudah berada dalam keadaan koma. Di situ saya perlu bermain dengan emosi untuk jadikan babak itu sebak dan sedih.

ELIZAD: Situasi apabila perlu berdepan dengan suami dan pura-pura semuanya okey, walaupun hakikatnya dalam hati menangis. Nak tunjuk yang kita sedih, tapi bukan pada riak wajah.

Mungkin kalian ada perkembangan lain yang ingin dikongsikan bersama peminat?

ZARUL: Saya akan ada pengumuman khas. Apapun, itu semua kena tunggu awal tahun depan. Cumanya, sekarang ini saya sasarkan diri saya untuk berlakon filem pula, mungkin tahun depan.

ELIZAD: Saya pun rancang untuk keluar dengan lagu-lagu yang boleh dijadikan sebagai runut bunyi bagi drama-drama lakonan saya selepas ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post