Mawar Rashid Saya mahu realisasikan impian di hari bahagia


Bahang majlis resepsi perkahwinan pelakon jelita, Mawar Rashid, 22, dan pasangannya, Raden Ahmad Faizal Yaakob atau lebih dikenali sebagai Raf Yaakob, 32, masih lagi terasa biarpun hampir seminggu berlalu.

Manakan tidak, pemilik nama Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid itu kelihatan anggun persis bidadari apabila mengenakan persalinan indah rekaan Putra Aziz daripada Cosry hingga memukau kira-kira 600 tetamu yang hadir.

Tidak cukup dengan itu, majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Kuala Lumpur itu turut dimeriahkan lagi dengan aksi Mawar menari bersama dua gadis jelita hingga tular di laman sosial.

Akibat daripada aksi menari yang tular tersebut, resepsi perkahwinan gadis yang lahir menerusi program realiti televisyen Dewi Remaja itu menjadi bualan hangat peminat industri tanah air hingga ada yang memberi kritikan hebat kerana berpendapat Mawar sebagai wanita yang kini bergelar isteri tidak sepatutnya menari di dalam dewan yang dihadiri ratusan tetamu itu.

Bagaimanapun, pasangan yang selamat diijabkabulkan pada 9 November lalu berkenaan tidak cepat melatah, malah dia punya alasan tersendiri bagi menangkis kritikan hebat yang diterima.

“Saya tidak melihat aksi menari pada majlis resepsi saya tempoh hari adalah salah kerana kami hanya ingin meraikan hari bahagia. Lagipun, setiap langkah tarian yang saya persembahkan itu tidak keterlaluan.

“Bagaimanapun, saya faham tidak semua orang boleh menerima apa yang kita lakukan tetapi yang paling penting keluarga kami, rakan-rakan dan tetamu yang hadir berasa gembira. Itu sudah cukup bagi Mawar,” ujarnya yang turut memberitahu dirinya sudah lama memasang impian untuk menari di majlis resepsi sendiri.


Menurut pelakon drama Isteriku Mem Besar itu, sepanjang berkecimpung dalam industri hiburan, dia amat memahami lumrah kehidupan sebagai seorang selebriti yang sentiasa menjadi perhatian oleh netizen.

“Namun, Mawar sentiasa bersikap terbuka dan bersedia dengan komen yang diberikan termasuk yang negatif. Saya juga melatih diri untuk menerima setiap komen yang diberikan itu serta sentiasa mencuba memperbetulkan diri,” katanya ketika dihubungi Sensasi Bintang baru-baru ini.

Sementara itu, Raf menganggap tarian yang dipersembahkan oleh isteri tercinta pada malam resepsi berkenaan sekadar suka-suka dan menganggap ia salah satu hiburan buat tetamu yang hadir.

“Saya tiada masalah dan bersifat terbuka dengan persembahan Mawar dan bagi saya ia bukanlah sesuatu yang melampaui batas, malah tidak mempunyai unsur lucah atau berpakaian menjolok mata.

“Jadi, terpulang kepada hati masing-masing untuk membuat penilaian yang baik ataupun buruk terhadap kami, namun yang penting kita tahu apa yang kita buat dan itu sudah memadai,” ujarnya tegas.

Post a Comment

Previous Post Next Post