Ariff Abdullah Pengalaman dipeluk pelajar perempuan


Susuk tubuh comel yang dimiliki dengan pose bersahaja di depan lensa kamera, Muhammad Ariff Abdullah pantas mengembalikan ingatan terhadap watak Buntat yang membuatkan banyak hati tertawan menerusi drama 7 Hari Mencintaiku.

Ariff Abdullah mula dikenali selepas melakonkan watak Buntat dalam drama popular, 7 Hari Mencintaiku.
Malah, babak Buntat meninggal dalam drama itu cukup mencipta melankolik di hati penonton.

Populariti daripada drama yang turut dibintangi Shukri Yahaya dan Siti Saleha itu tidak pernah bersisa, bahkan masih mewangi dalam taman hidup Ariff yang sehingga kini masih digelar Buntat biarpun dia seharusnya menyarung nama Jibam, watak yang disandangnya sekarang untuk filem Jibam.

Hakikatnya, filem yang sedang ditayangkan sejak 7 Disember lalu itu merupakan naskhah lakonan pertama Ariff sebelum dia melakonkan watak Buntat dalam drama 7 Hari Mencintaiku.

“Saya bersyukur juga filem ini keluar selepas drama itu. Sebabnya, penonton sudah mengenali saya menerusi watak Buntat dan barangkali mereka mahu melihat saya dalam karakter Jibam pula,” ujar pelakon berusia 13 tahun itu yang membawakan watak kanak-kanak lembam, sentiasa dibuli penduduk kampung, tetapi mempunyai kuasa untuk menyembuhkan penyakit.

Menemu bual Ariff, penulis dapati, tutur katanya sedikit tertahan-tahan. Dia yang mengalami masalah disleksia itu sedaya upaya mencari kosa kata yang sesuai untuk diucap, namun siapa sangka kanak-kanak itu mempunyai daya ingatan yang cukup kuat untuk menghafal skrip.


“Alhamdulillah, tidak sangka pula Allah kabulkan permintaan saya untuk jadi pelakon. Sebelum ini, setiap kali menonton televisyen, saya selalu berkata-kata di dalam hati bila pula giliran saya jadi pelakon. Tiba-tiba, ada rakan ayah yang cadangkan saya untuk uji bakat watak Jibam.

“Selepas berjaya dapat watak itu. Mereka memberi saya novel Jibam untuk saya baca dan fahamkan dulu jalan ceritanya. Kemudian baru mereka beri skrip untuk dihafal dan sediakan kelas lakonan,” kongsinya mengenai filem daripada adaptasi novel Jibam hasil tulisan kartunis Ujang yang popular sekitar tahun 1990-an itu.


Biarpun perlu mengulangi babak banyak kali sehingga menuntutnya berada di set penggambaran sehingga ke subuh, Ariff bersyukur kerana kru produksi dan pelakon lain seperti Mia Ahmad, Fadlan Hazim, Syafie Naswip dan Isma Daniel banyak bersabar dan membantunya.

“Walaupun banyak kali kena ulang babak atas kesilapan saya, semuanya masih okey. Itu yang membuatkan saya seronok untuk berlakon lagi,” katanya yang turut menjadi bintang undangan untuk telefilem Papa Nak Menantu yang akan disiarkan tidak lama lagi.

Biarpun terpaksa berulang-alik dari kampung halamannya di Jitra, Kedah ke Kuala Lumpur untuk berlakon, namun Ariff bulat hati dan bersyukur ibunya, Rosdiana Mastura, sentiasa berada di sisinya untuk menguruskan semuanya.

Namun, langit tidak selalunya cerah. Ariff dan ibunya juga berdepan dengan individu yang memberikan tawaran lakonan, tetapi berhasrat untuk membayar kanak-kanak itu pada kadar yang tidak berbaloi.

“Soal bayaran memang menjadi sedikit masalah untuk menguruskan karier seni Ariff. Bukan apa, kami duduk di Jitra dan perlu ke Kuala Lumpur untuk berlakon, sudah tentu soal bayaran yang diterima harus diambil kira. Kalau berbaloi kami akan terima. Ini kerana, sebelum ini ada produksi yang menawarkan Ariff dengan bayaran yang sedikit tetapi dia perlu menjayakan berpuluh-puluh babak. Kasihan dia,” ujar Rosdiana yang berada di sisi Ariff.

Selain soal bayaran, Ariff juga berkongsi mengenai impak yang diraih selepas popular. Dia mengaku pernah dipeluk pelajar perempuan tingkatan 5 selepas terkenal dengan watak Buntat.

“Terkejut juga apabila ke sekolah tiba-tiba ada yang datang memeluk saya. Mungkin kesan selepas membawa watak Buntat,” ujarnya sambil tertawa.

Post a Comment

Previous Post Next Post