
Ruhainies seorang yang komited terhadap kerjaya dan banyak menghabiskan masa di set pengambara dan di rumah bersama keluarga.
Melancong Saya seorang yang gemar melancong mengelilingi dunia tetapi yang penting mesti bersama keluarga. Antara negara yang pernah saya kunjungi ialah England, Perancis, Korea dan Australia. Aktiviti Lasak Saya seorang yang sukakan aktiviti lasak dan mencabar. Antara aktiviti lasak yang saya gemari ialah paintball dan snorkeling. Pengemas Saya suka mengemas rumah dan tidak boleh lihat keadaan bersepah walaupun sedikit.
Kucing Saya suka bela kucing. Di rumah saya ada tiga ekor kucing dan salah seekornaya adalah kesayangan saya iaitu Prada. Kuat makan Saya seorang yang suka makan. Ada ketikanya saya sanggup keluar memandu jauh semata-mata mahu mencari tempat makan.
Julai lalu genap dua tahun pemilik nama Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas atau lebih dikenali dengan nama pentasnya sebagai Ruhainies mewarnai dunia hiburan tanah air. Namun, dalam tempoh tersebut, sudah cukup gadis berwajah putih kemerah-merahan itu menakluki hati para peminat dengan bakat lakonannya. Malah, bukan itu sahaja, kisah peribadinya juga acap kali menjadi perhatian dan figura ini tidak pernah terlepas daripada diajukan soalan tentang cinta.
Pelakon drama Menantu Ting Tong yang berusia 25 tahun itu seakan kalis dan mengerti apabila ditebak soalan sebegitu. Masakan tidak, usai sahaja dia tampil menjelaskan kedudukan sebenar tentang hubungannya dengan pelakon tinggi lampai, Azrel Ismail yang hanya sebagai teman rapat pada awal tahun ini, timbul pula desas-desus dia berkawan rapat dengan seorang jejaka. Malah, dia dikatakan bermesraan dengan jejaka itu seperti sedang dilamun cinta dalam satu majlis perkahwinan selebriti tanah air baru-baru ini.
Lebih menguatkan andaian dan menjadi teka-teki, beberapa pasang mata dikatakan ternampak adegan suap menyuap antara pasangan sama cantik sama padan itu pada majlis gilang gemilang tersebut.
Bagaimanapun, ketika diajukan soalan adakah lelaki tersebut pemilik hatinya, pelakon yang mula dikenali menerusi drama Hello Mr Perfect ketika ditemui pada sesi fotografi di Petaling Jaya baru-baru ini hanya tertawa kecil dan menafikan dia sedang menjalin hubungan dengan lelaki berkenaan.
“Buat masa ini, saya memang tidak mempunyai hubungan istimewa dengan dia atau mana-mana lelaki, tetapi sudah setahun berkawan rapat.
“Saya sebenarnya lebih selesa berkawan dengan hanya seorang lelaki tetapi apabila sering dilihat bersama-sama dengan orang sama, ada yang akan fikir saya menjalin hubungan cinta. Kalau saya berkawan dengan ramai lelaki, orang akan melabel saya sebagai playgirl pula,” ujarnya sambil tertawa manja.
Diminta mengulas adegan tersebut, gadis yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang itu kelihatan tenang ketika melontarkan jawapan satu persatu.
“Saya sudah terbiasa begitu mungkin kerana diajar oleh keluarga, malah saya seorang yang manja dan mungkin kerana itulah saya menganggap adegan suap menyuap itu perkara biasa.
“Di set pengambaran juga, ada kru termasuk pengarah pernah menyuap saya. Jadi, ia adalah perkara biasa dan bukanlah kemesraan tetapi lebih kepada teman rapat,” ujarnya yang turut memberitahu tiada sebarang perancangan dan tidak menetapkan had umur untuk menamatkan zaman bujangnya.
Pertemuan dengan gadis yang membintangi drama Cinta Lemon Madu bersama Riena Diana dan Aidil Aziz menerusi slot Lestary di TV3 yang akan mula disiarkan pada awal tahun hadapan itu turut diselitkan dengan soalan mengenai dirinya yang dikatakan lebih selesa berkawan dengan rakan artis lelaki berbanding artis wanita.
“Semua itu hanyalah salah faham, kerana orang memang jarang melihat saya keluar bersama artis wanita sedangkan saya mempunyai beberapa rakan artis wanita termasuk Mawar Rashid.
“Bagaimanapun, kami kurang meluangkan masa bersama kerana dia sibuk menguruskan urusan perkahwinannya baru-baru ini dan masing-masing ada komitmen tersendiri.
“Lagipun, saya seorang yang mementingkan keluarga serta fokus terhadap kerjaya dan amat jarang lepak semberono. Masa saya banyak dihabiskan di lokasi pengambaran dan rumah sahaja,"jelasnya yang turut merancang akan bercuti bersama keluarga di Itali pada awal tahun hadapan.