Zehra Zambri nikah 14 Oktober


Zehra dan bakal suami, Nurhariz.

Pengalaman putus tunang pada tahun 2015 telah menjadikan penyanyi dan penyampai program RTM, Selamat Pagi Malaysia (SPM), Zehra Zambri tidak mengambil serius akan percubaan mana-mana lelaki untuk mendekatinya kerana kecewa yang masih berbekas.

Namun begitu, siapa sangka perkenalan tidak sampai setahun wanita itu dengan seorang guru awal tahun ini bakal bertemu pengakhiran gembira apabila akan disatukan sebagai suami isteri pada tanggal 14 Oktober ini.

Kata penyanyi yang terkenal dengan lagu Semalakama itu, dia diperkenalkan dengan bakal suami, Wan Muhammad Nurhariz Hariri Wan Mohd. Effendi pada awal Februari dan terus dirisik keluarga lelaki itu pada 8 April lalu.

Mengakui semua peristiwa penting ini berlaku dengan agak pantas, Zehra, 30, berkata, dia menganggap itu semua takdir Tuhan dan berasa gembira kerana doanya untuk diperisterikan dikabulkan dalam tempoh yang tidak lama.

KOSMO!: Boleh kongsikan bagaimana Zehra mengenali bakal suami?

ZEHRA: Saya diperkenalkan dengan Nurhariz menerusi rakan di RTM yang merupakan kawan satu universiti bakal suami. Dia merupakan seorang guru sekolah di Bangsar dan baru sahaja tamat pengajian pada peringkat sarjana.

Pada mulanya, saya bersetuju untuk berkenalan sekadar untuk menambah kawan dan tidak terfikir untuk menjalin apa-apa hubungan serius.

Berbeza dengannya, selepas dua minggu kami mengenali antara satu sama lain, dia terus meluahkan hasrat untuk memperisterikan saya dan mahu berjumpa dengan keluarga.

Apakah yang membuatkan pintu hati anda terbuka untuk menerimanya walaupun berkenalan tidak lama?

Secara jujurnya, dia tidak memiliki kriteria lelaki idaman kerana saya menyukai lelaki lebih berusia, sedangkan dia berumur dua tahun lebih muda daripada saya iaitu 28 tahun. Namun seperti yang telah berlaku, saya pernah bertunang dengan orang lebih tua tetapi ia tidak bertahan lama.

Barangkali ini caranya untuk Allah memberitahu saya bahawa matang bukan hanya pada usia tetapi pada sikap seseorang. Nurhariz membuktikan dia bersungguh mahukan hubungan kami ke fasa serius dan tidak menanti lama apabila membawa keluarganya bertemu famili saya untuk menyatakan hasratnya. Saya dapat melihat keikhlasannya daripada tindakan itu.

Bagaimana pula dengan penerimaan keluarga?

Pada mulanya mereka agak risau kerana kami kenal tidak lama dan tiba-tiba terus merancang untuk bernikah. Selain itu, ibu bapa juga bimbang bakal suami tidak boleh bertoleransi dengan jadual kerja saya sebagai pembaca berita dan pengacara yang tidak menentu. Saya faham perasaan mereka tetapi selepas dijelaskan bahawa Nurhariz sedia maklum tentang perjalanan karier saya, barulah mereka yakin dengan keputusan ini.

Sebagai seorang yang pernah mengalami peristiwa putus tunang, apa perkara utama yang anda belajar bagi hubungan baharu ini?

Pertama sekali saya tidak bertunang untuk kali kedua. Kemudian, saya lebih banyak menjadi diri sendiri berbanding cuba memuaskan hati pasangan dengan bertukar menjadi karakter yang dibuat-buat. Alhamdulillah, bakal suami seorang yang santai, boleh dibawa bergurau dan berbincang serta mampu menerima saya seadanya.

Adakah anda sudah memilih destinasi bulan madu?

Insya-Allah, kami berdua merancang ke Mekah pada penghujung tahun ini untuk menunaikan umrah. Namun begitu, selepas majlis bertandang di Kota Bharu pada 18 Oktober, mungkin kami akan singgah ke Thailand kerana alang-alang sudah berada di Kelantan, jadi ambil sahaja peluang yang ada. Lagipun, saya bercuti sehingga 24 Oktober ini, maka ia suatu masa sesuai untuk bercuti sebentar.

Menyentuh sedikit soal kerjaya baharu sebagai pengacara dan pembaca berita, adakah ini akan menjadi karier baharu anda selepas penyanyi?

Saya tidak nafikan selepas menyertai Ikon Siarawan tahun lalu, ia banyak membuka ruang serta peluang bagi saya meneroka dunia baharu selain hiburan. Saya gembira dan seronok menerokai dunia penyiaran buat masa sekarang, jadi selagi ada rezeki dalam bidang ini, saya akan menikmatinya selama yang diizinkan.

Anda sudah tidak mahu kembali ke dunia nyanyian?

Tipulah jika tidak rindu tetapi buat masa sekarang, saya masih tidak mendapat lagu yang cukup kuat untuk membuat kemunculan semula, ditambah dengan pasaran muzik yang tidak menentu sekarang.

Saya masih lagi menerima undangan nyanyian di majlis-majlis rasmi dan perkahwinan, cuma untuk kembali ke pentas besar, sekarang masih belum waktu yang sesuai.

Post a Comment

Previous Post Next Post