Debaran anak perempuan Lufya Omar


Kata Lufya, dia dan suaminya belum memikirkan untuk membuka akaun Instagram buat anak sulung mereka nanti.

Bakal melalui pengalaman melahirkan cahaya mata sulung yang dijangka lahir pada bulan November depan pastinya memberikan seribu satu debaran dalam diri pelakon Lufya Omar dan suami, Che Muhammad Hafiz Che Baharum.

Pun begitu dalam debaran, pasangan yang bernikah pada 26 November tahun lalu itu mengakui tetap teruja lebih-lebih lagi setelah doktor mengesahkan mereka bakal menimang cahaya mata perempuan.

Ditemui pada majlis sempena menyambut kelahiran bayi sulung mereka di Challis Damansara baru-baru ini, pemilik nama Lutfyah Sheikh Omar ceria berkongsi perihal kehamilannya yang kini berusia lapan bulan.

“Alhamdulillah, walaupun semakin sarat, namun saya masih mampu bergerak aktif sehingga kadang-kadang perlu mengingatkan diri agar perlu mengurangkan kerja sedikit.

“Anak saya juga begitu, jika dahulu dia aktif pada waktu tertentu tetapi apabila semakin dekat waktu bersalin, dari siang ke malam dia aktif bergerak,” katanya mesra membuka bicara.

Rancak bercerita tentang majlis pada petang itu, Lufya yang memakai gaun putih bercorak lukisan yang menggambarkan keinginannya untuk memiliki keluarga bahagia tergelak seketika.

Tema pada majlis itu bersempena dengan kelahiran bayi perempuan mereka. Kongsi Lufya, pada awalnya dia mengimpikan cahaya mata lelaki, bagaimanapun setelah disahkan doktor tentang kandungannya perempuan, suaminya pula yang terlebih teruja.

“Majlis ini sengaja diadakan atas dasar kenangan untuk anak dan menandakan kami suami isteri teruja menanti kelahiran bayi ini. Perasaan saya sekarang jadi lebih tenang, tambahan pula ramai yang mendoakan kesejahteraan saya dan bayi yang bakal dilahirkan nanti.

“Apabila disahkan bayi perempuan, suami antara orang yang paling teruja. Memang sejak sebelum hamil lagi dia begitu sukakan budak-budak dan mahukan cahaya mata perempuan. Buat masa ini semua persiapan sudah siap dilakukan, cuma belum kemas barang yang perlu dibawa ke hospital nanti,” terangnya mesra.

Dugaan terjatuh

Berkongsi pengalaman sepanjang kehamilan, pelakon drama rantaian Umairah itu mengakui sangat menitikberatkan pengambilan makanan sunah.

Kesan daripada pemakanan itu, dia memanjatkan penuh rasa kesyukuran apabila kandungannya masih dalam keadaan baik biarpun diduga dengan kejadian terjatuh dari pentas setinggi satu meter selepas menjadi juri jemputan dalam program Da’i pada pertengahan bulan September lalu.

“Sepanjang kehamilan memang saya banyak mengamalkan makanan sunah, terutamanya madu. Ramai yang pelik kerana saya masih bertenaga biarpun perut semakin membesar.

“Pemakanan seperti ini penting dan sangat membantu, terutamanya selepas kejadian terjatuh tempoh hari. Mujur Allah menyelamatkan saya dan kandungan daripada sebarang perkara yang tidak diingini,” ujarnya.

Seperti bakal ibu yang lain, Lufya juga tidak ketinggalan ditebak soal pembukaan akaun Instagram untuk anaknya nanti. Melihat perkara itu sebagai bukan satu keperluan wajib, Lufya dan suami mengakui belum memikirkan soal itu lagi.

“Barangkali sebab ramai sangat orang buka akaun Instagram untuk anak mereka tetapi buat masa ini saya dan suami tidak terfikir membukanya untuk anak kami. Saya lebih selesa berkongsi perkembangan anak menerusi akaun Instagram sendiri.

“Saya juga tidak kisah andai masyarakat mengkritik cara membesarkan anak nanti. Sebagai ibu bapa, pastinya kami berikan yang terbaik untuk anak tetapi pada masa sama tetap mengambil positif setiap kritikan yang diberi sebagai teguran untuk kebaikan,” terangnya lantas menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post