Elizabeth Tan, Josiah Lim fokus industri hiburan Melayu




Jika ingin dihitung, tidak ramai pelakon kaum Cina yang benar-benar terlibat dalam pasaran industri hiburan tempatan Melayu. Bagaimanapun, kehadiran mereka dalam dunia drama dan muzik Melayu sebenarnya memberi kelebihan kepada si empunya diri untuk lebih cepat dikenali.

Mana tidaknya, mereka boleh dikatakan berada dalam kelompok yang kecil. Jumlahnya bukan beratus seperti artis Melayu yang sering bertandang dan pergi. Maka, tidak hairanlah setiap kali mereka tampil memperkenalkan diri, nama mereka lebih mudah untuk dikenali.

Begitu juga yang dirasakan dua pelakon drama Senafas Rindu, Elizabeth Tan dan Josiah Lim. Bagi kedua-dua mereka, penglibatan dalam industri hiburan Melayu dilihat sebagai satu peluang yang cukup berharga. Ini kerana tidak semua mampu diterima baik.

Pakai tudung

Bagi wanita yang lebih mesra dengan sapaan Lizzy itu, katanya, dia mengakui sewaktu di awal pembabitannya berkecimpung dalam bidang seni suara, dia berdepan dengan cabaran bahasa.

Bagaimanapun, hal itu tidak dianggap sebagai satu halangan besar buatnya, sebaliknya ia menjadi satu peluang untuk dirinya mempelajari dan menguasai bahasa Melayu dengan lebih baik.

“Secara peribadi, saya rasa agak sukar untuk berada dalam industri hiburan Melayu pada awalnya kerana kekangan bahasa. Maklumlah, saya ini berkomunikasi dalam bahasa Inggeris di rumah bersama keluarga. Jadi, bahasa Melayu saya kurang fasih.

“Selepas enam tahun, kini barulah saya merasakan penguasaan bahasa Melayu saya jadi lebih baik. Baru tahun lepas saya mula rasa selesa sedikit. Ambil masa yang lama nak sesuaikan diri berkomunikasi dalam bahasa Melayu, terutamanya apabila berdepan dengan media,” katanya kepada Sensasi Bintang ketika ditemui sewaktu menghadiri sesi fotografi baru-baru ini.

Menurut pelakon berusia 26 tahun itu, bukan tidak mahu mencuba nasib dalam industri hiburan Cina, tetapi, dia tidak mempunyai kemahiran bertutur, membaca dan menulis dalam Mandarin.

Justeru, atas sebab itu jugalah dia mengambil peluang untuk mengembangkan bakat yang ada dalam pasaran hiburan Melayu.

Menariknya, kongsi Lizzy, pembabitannya dalam industri Melayu juga secara tidak langsung memberi satu pengalaman baharu apabila berpeluang menggayakan hijab dalam drama Senafas Rindu yang sedang ditayangkan di Astro Ria.

Katanya, pengalaman itu merupakan sesuatu yang cukup istimewa dalam perkembangan kariernya apabila melakonkan watak seorang mualaf.

“Bukan sahaja kali pertama saya membawakan watak wanita bertudung, bahkan itu juga merupakan cubaan pertama saya menggayakan tudung di kepala. Mulanya, memang nampak janggal kerana ada sanggul yang tampak tinggi pada bahagian kepala, tetapi kemudian okey sahaja.

“Saya jarang dapat peluang begini, jadi mengapa tidak saya cuba terimanya. Lagipun, sepanjang berlakon dengan bertudung, saya rasa selesa sahaja,” katanya yang memegang watak sebagai Vivianna.

Jelas Lizzy lagi, dalam drama itu dia memegang watak sebagai pelajar Cina yang menuntut satu kolej dengan Fariz lakonan Syafiq Kyle.

“Dalam cerita itu nanti kami kena tangkap basah, sebelum saya perlu berkahwin dengannya.

“Cumanya, dalam cerita itu, saya banyak bermain dengan emosi apabila perlu menangis. Saya pula susah nak menangis. Jadi, saya terpaksa bayangkan pengurus saya, Athira jika dia tiada. Saya tidak boleh kehilangan dia, terlalu sayang,” katanya yang teruja melihat dirinya tampil dengan imej bertudung.

Melayu lebih mudah

Bagi Josiah Lim pula, dia mengakui terlebih dulu meneroka bidang seni dalam industri hiburan Cina, kira-kira empat tahun lalu. Pada masa itu, dia menyertai program realiti The Ultimate Actor anjuran siaran televisyen 8TV.

“Di awal pembabitan, bapa saya pernah tidak bersetuju apabila saya menyatakan hasrat untuk berkecimpung dalam dunia lakonan. Ini kerana dia mahu saya menguruskan bisnes yang dijalankannya.

“Hanya ibu saya yang menyokong. Lama kelamaan barulah bapa saya okey apabila melihat perkembangan positif saya dalam bidang ini. Sebenarnya, saya pernah tiga tahun menguruskan bisnes bapa saya,” jelasnya.

Bagaimanapun, sejak dua tahun lalu, pelakon berusia 28 tahun itu memberitahu, dia membuat keputusan untuk bergiat aktif untuk menembusi pasaran drama Melayu termasuklah antaranya drama Isteri Untuk Diiktiraf dan Kerana Anisa.

Menurut Josiah, walaupun dia berbangsa Cina, sebaliknya, dia berdepan kesukaran apabila berlakon dalam drama Mandarin. Ini kerana, dia mendedahkan bahawa dirinya bukanlah seorang yang boleh membaca dan menulis bahasa Mandarin.

“Saya hanya pandai bercakap sahaja. Jadi, apabila saya menerima skrip, saya perlu tukarkan skrip itu kepada ejaan bahasa untuk mengetahui apa yang dimaksudkan.

“Berbanding dalam naskhah Melayu, saya boleh membaca dengan baik. Nak hafal skrip pun senang dalam bahasa Melayu. Jadi, ia lebih mudah buat saya kerana tidak perlu menukarkan tulisan Mandarin terlebih dulu. Bukan itu sahaja, sewaktu di sekolah pun saya pernah belajar Jawi,” kongsi anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu.

Jelasnya lagi, sepanjang penglibatannya dalam drama Melayu, dia juga pernah memegang watak sebagai lelaki mualaf dalam telemovie berjudul Petunjuk.

“Saya juga berasa seronok apabila diberi peluang sedemikian untuk memegang watak sebagai seorang mualaf,” luahnya yang memegang watak sebagai Patrick dalam drama Senafas Rindu yang merupakan kawan kepada watak lakonan Syafiq Kyle.

Dalam pada itu, kedua-dua pelakon itu memberitahu kedatangan sambutan Tahun Baru Cina kali ini juga diharapkan memberikan seribu makna dan kegembiraan buat seluruh keluarga.

“Bapa saya ada 12 beradik, ibu saya sembilan beradik. Setiap kali raya, saya akan berkunjung ke rumah ibu bapa saudara saya. Kami siap mempunyai jadual kunjungan dan baju raya yang sedondon untuk keluarga Tan,” kongsi Lizzy.

Post a Comment

Previous Post Next Post