Sufian turut berkongsi berita gembira itu dengan memuat naik sekeping foto dirinya bersama sekuntum bunga ros sebagai tanda penghargaan kepada pengikut yang selama ini memberi sokongan kepadanya.
Penyanyi Sufian Suhaimi mencatat rekod baharu apabila akaun Instagram miliknya kini sudah mencecah seramai 1 juta pengikut.
Sufian, 32, turut berkongsi berita gembira itu dengan memuat naik sekeping foto dirinya bersama sekuntum bunga ros sebagai tanda penghargaan kepada pengikut yang selama ini memberi sokongan kepadanya.
“1M followers appreciation post (Posting penghargaan 1 juta pengikut),” tulisnya di Instagram.
Pelantun lagu Di Matamu itu turut berharap agar platform media sosial itu dapat menjadi pengikat silaturahim antara dirinya dan peminat dengan lebih baik.
“Selamat datang kepada pengikut baharu.
“Semoga kita dapat merapatkan ukhuwah dan sentiasa menggunakan perkataan yang baik-baik di ruangan komen,” katanya.
Peningkatan jumlah pengikut Sufian dipercayai ekoran kemenangannya merangkul Persembahan Terbaik menerusi lagu Di Matamu pada Anugerah Juara Lagu 33 yang berlangsung baru-baru ini.
Bahkan, video rakaman persembahannya pada malam itu juga mencatatkan lebih 5.3 juta tontonan dalam tempoh lima hari sahaja selepas dimuat naik di YouTube.
Sekali gus, rekod itu mengalahkan rekod lagu Haram nyanyian Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah yang merupakan juara pada malam itu apabila hanya sekadar mencatatkan 1.3 juta tontonan di YouTube.
Persembahan Sufian pada malam itu mencetuskan kontroversi apabila konsep dia dikatakan mengetengahkan rekaan pelamin mirip bekas tunangnya, pelakon Elfira Loy.
Bagaimanapun, Sufian menafikan penceritaan yang disampaikan menerusi persembahannya pada malam itu mempunyai kaitan dengan kisah bekas tunangnya.