Hattan, Raya macam kenduri


MERIAH - Seorang yang pentingkan nilai kekeluargaan, Hattan juga tidak betah dengan kesunyian. Sebab itu, selain isteri dan anak, kediamannya di Shah Alam, Selangor kini turut dihuni oleh adik bongsunya, Shamsul Amar (tiada dalam gambar) bersama isteri, Siti Hani Nur Zara atau Hanny serta anak sulung mereka, Daraa Khadijah, berusia setahun setengah.

Seperti lirik lagu Warna Warni Aidilfitri, begitulah suasana sambutan Hari Raya Aidifitri yang masih disambut meriah sehingga kini.

Masih di bawah redup langit Syawal yang berbahagia, penyanyi terkenal, Datuk Hattan berkongsi kegembiraan Lebaran tahun ini yang masuk kali kelima disambutnya lengkap sebagai sebuah keluarga.

Sebelum kembali menyatu dengan isterinya, Arianie pada 15 Ramadan 2013, sembilan tahun lamanya Hattan beraya sebagai bapa tunggal bersama anak tunggalnya, Adam Ieman, 19.

Lebih empat tahun bergulir, pernikahan semula dengan bekas Ketua Pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) itu ternyata menjadi jodoh sejati buat pelantun lagu raya popular, Selamat Datang Sayang tersebut.

“Sejak Ariani hadir semula ke dalam hidup kami sekeluarga, dialah suri pelengkap hidup saya dan Adam. Biarpun hari raya tetap disambut dan saya tidak pernah beraya tanpa balik kampung, hari raya menjadi sempurna sejak Arianie kembali di sisi,” jelas Hattan, 52.

Sebagaimana tradisi yang sudah menjadi amalan Hattan sekeluarga, raya tahun ini didahului dengan sambutan bersama seisi keluarga di Sri Menanti, Negeri Sembilan.

“Saya fikir raya ialah masa untuk bertemu bukan sahaja dengan seluruh sanak saudara, bahkan orang kampung yang lama tidak bersua. Kadangkala sengaja saya pusing kampung dengan harapan boleh bertemu muka dengan orang dikenali.

“Sebab itu, setiap kali raya saya tidak pernah ‘tuang’ balik kampung. Seronoknya lain macam. Sebab itu juga, biasanya saya akan pasang khemah depan rumah bagi menjamu sesiapa sahaja yang datang. Rasa macam kenduri pula. Penat memang penat tetapi seronok itu penting.

“Saya fikir, raya juga masa untuk bersedekah. Masa muda dahulu, banyak perkara tidak sempat dilakukan kerana tuntutan kerja di sana sini. Setidak-tidaknya, dengan cara begini saya dapat kembalikan zaman kanak-kanak dahulu.

“Dahulu, betapa seronoknya kita apabila dapat duit raya. Sekarang, tiba giliran saya pula memberi keseronokan yang sama kepada kanak-kanak yang datang ke rumah semasa raya,” jelasnya panjang lebar.

Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Memburu Rindu itu lagi, disebabkan keadaan ibunya, Hajah Hindun Mohd. Sani, 74, sudah tidak sekuat seperti dahulu, Hattan bersama adik-beradiknya tidak mahu menyusahkan ibu mereka dalam soal juadah raya.

“Emak sudah tua, biarlah dia rehat. Jadi, urusan juadah semuanya diserahkan kepada pihak katering. Lemang dan ketupat pun ditempah,” jelas Hattan ketika ditemui dalam fotografi di Shah Alam, beberapa hari sebelum tiba 1 Syawal.

Lantaran mementingkan keluarga juga, Hattan dengan rela hati mengajak adik bongsunya, Shamsul Akmar sekeluarga tinggal bersama dengannya sejak selebih setahun lalu.

“Anak saya (Adam) sudah besar. Apabila dia keluar belajar atau habiskan masa dengan hal sendiri, saya macam terkontang-kanting. Mujur ada si kecik ini (anak Shamsul Akmar). Sekarang dialah pengarang jantung saya. Manjanya bukan kepalang,” jelas Hattan sambil meriba Daraa Khatijah yang berusia setahun setengah itu.

Arianie bahagia

Bercerita tentang lokasi raya, Arianie, 46, pula dengan rela hati akan menghormati apa sahaja destinasi raya pilihan ‘bos besar’ iaitu Hattan. Dia tidak kisah jika setiap tahun pulang beraya di Sri Menanti terlebih dahulu asalkan dapat membahagiakan hati keluarga.

“Lagipun raya di Sri Menanti seronok. Saya menjadi teruja setiap kali pulang ke Sri Menanti kerana peluang merasai suasana raya di kampung. Emak saya masih ada, cuma dia akan beraya di rumah adik-beradik saya yang lain dahulu sebelum kami semua berkumpul di Pulau Pinang semasa menziarahi keluarga di sana.

“Satu perkara yang menarik, rumah kami di Sri Menanti akan dipenuhi anak-anak yatim semasa raya, mungkin sebab Hattan begitu dikenali di kampungnya,” jelas Ariani yang merasai sedikit kekurangan pada Aidilfitri tahun ini apabila tidak semua adik-beradik Hattan pulang beraya di Sri Menanti kerana giliran balik ke rumah keluarga mertua masing-masing.

Menanyakan Arianie tentang sambutan hari raya paling menyedihkan yang pernah dirasanya, wanita ramah itu sempat bercanda. Tentulah peristiwa tersebut berlaku ketika dia masih bergelar ibu tunggal.

“Saya ingat lagi, ia berlaku pada tahun 2010. Waktu itu, Adam beraya dengan ayahnya. Saya pula dapat cuti panjang tetapi tidak tahu hendak ke mana. Akhirnya, saya menginap di sebuah hotel di Pulau Pinang untuk ‘tumpang’ beraya dengan keluarga kakak saya,” cerita Arianie.

Bergelar bapa kepada anak lelaki yang sedang menginjak dewasa, Hattan bangga kerana hasil didikan sejak kecil Adam juga tidak sabar untuk balik kampung setiap kali tibanya raya.

“Saya cuba didik anak dan anak-anak saudara supaya jangan melupakan tradisi raya. Setiap kali raya, saya masih meneruskan amalan memasang pelita bermula dari Malam Tujuh Likur. Musim raya juga, sayalah orang paling sibuk, tukang beli daging di pasar,” katanya sambil dipersetujui oleh anaknya, Adam.

Seperti bapanya, walaupun tinggal dan membesar di bandar tetapi lantaran kerap balik kampung, Adam sendiri mempunyai sahabat karib dan rapat dengan sepupu di kampung.

Beralih ke arah adik ipar Hattan, Hanny yang turut serta dalam fotografi ini, ibu kepada seorang anak itu tumpang bahagia kerana menjadi sebahagian daripada keluarga penyanyi berkenaan.

Secara tidak langsung kesepian selepas pemergian ibunya, Allahyarham Julie Dahlan pada April tahun lepas terubat apabila dikelilingi adik-beradik yang lain.

“Selepas ibu meninggal dunia, kami memang tinggal di sini. Pada masa sama, saya kini mahu meneruskan semula legasi ibu menerusi JD Production. Raya tahun ini, drama terbitan saya, Cinta Bae Kicap disiarkan menerusi Astro pada hari raya keempat,” jelasnya yang tidak ditemani suami kerana tuntutan tugasan.

Post a Comment

Previous Post Next Post