Kematangan Lebaran Bunkface


Album - Bunkface dalam perancangan melahirkan album baharu yang dijangka dilancarkan awal tahun depan. Mereka juga akan mula merakam lagu di studio sendiri, Rock Studio yang terletak di USJ, Subang Jaya.

Kenangan menyambut Hari Raya Aidilfitri pertama kali bersama anak pastinya akan menjadi memori terindah buat mana-mana pasangan yang mendirikan rumah tangga.

Hal ini kerana kemeriahan raya kebiasaannya lebih banyak tertumpu kepada kanak-kanak polos yang gembira bertemu sanak saudara ketika berkumpul di kampung setahun sekali.

Situasi itu turut dirasakan oleh kumpulan Bunkface yang dianggotai oleh Shamsul Annuar Mohd. Baharom (Sam), Muhammad Farouk Jaafar (Youk) dan Ahmad Farhan Hashim yang menikmati Syawal paling menggembirakan untuk tahun ini.

Bermula dengan Sam yang menimang cahaya mata pertama pada September tahun lalu, keterujaan untuk beraya pertama kali bersama anaknya, Maleeq, 10 bulan, sama seperti perasaannya ketika menanti raya sewaktu kecil.

Sam yang juga vokalis Bunkface berkata, persiapan raya untuk tahun ini semuanya dilebihkan untuk Maleeq dan dia tidak sabar untuk membawa bayinya pulang ke kampung bertemu ahli keluarga yang lain.

“Untuk julung-julung kalinya tahun ini, saya dan isteri, Aida Azira Hussin telah menempah baju untuk menyambut raya kerana mahu memakai pakaian sedondon dengan anak.

“Sebelum ini, kami lebih selesa membeli baju yang telah siap dijahit kerana faktor kesibukan kerja, namun demi anak, tahun ini kami curi juga masa untuk pergi menempah baju raya dengan tukang jahit,” katanya ketika hadir pada Majlis Berbuka Puasa Universal Music di Hotel Concorde, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain itu, lelaki berusia 29 tahun ini juga menceritakan tentang kehidupannya kini mengalami perubahan yang ketara sejak bergelar bapa terutama dari segi pengurusan masa dan kematangan fikiran.

Meskipun perubahan itu berlaku secara drastik dengan kelahiran Maleeq, Sam melihat ia sebagai suatu perkara yang positif, malah menjadikan dia seorang individu lebih bertanggungjawab dan sabar.

Silaturahim

Perkara sama turut disokong oleh Youk yang juga baru sahaja bergelar bapa lewat dua bulan selepas kelahiran anak Sam dengan mengatakan, zuriat adalah kurniaan terindah yang pernah dimiliki dalam hidupnya.

Katanya, jika dahulu kehidupan mereka hanyalah kerja, kini semuanya berubah sejak berkahwin dan mempunyai anak, namun itu tidak pernah menjejaskan hubungan mereka secara profesional.

Masing-masing sudah bersama selama lebih 10 tahun dan saling menjadi saksi perubahan sahabat daripada seorang remaja kepada suami serta bapa orang.

“Saya rasa keakraban yang terjalin dalam kumpulan Bunkface adalah sesuatu yang istimewa kerana kami berkawan sejak remaja dan bila dilihat semula waktu-waktu dahulu, ternyata persahabatan itu lebih kukuh seiring dengan usia yang bertambah.

“Jika 10 tahun dulu kami beraya bujang bersama, 10 tahun kemudian kami masih tetap beraya bersama dengan ditemani keluarga masing-masing. Itu pada saya sesuatu pencapaian yang membanggakan bagi sebuah kumpulan,” katanya yang hanya beraya di ibu kota bersama isteri, Aliaa Rosli dan anak, Umar.

Tambah pemain gitar bass Bunkface ini lagi, dia juga bersyukur kerana kerjayanya sebagai anak seni mempunyai jadual waktu bekerja yang fleksibel dan memberikannya lebih waktu untuk melihat pembesaran anaknya bagi setahun yang pertama.

“Kadang-kadang saya tidak percaya Umar itu anak saya kerana ia seperti melihat sebahagian diri saya di dalam versi yang jauh lebih suci dan memerlukan saya untuk membimbingnya.

“Kehadiran anak banyak mengingatkan saya untuk bekerja lebih keras bagi mencari rezeki buat keluarga dan membuatkan saya lebih bersemangat dalam menjalani kehidupan seharian,” katanya teruja.

Cari protege

Mengalih sedikit perbualan kepada perancangan terbaharu kumpulan ini, pemain gitar utama, Paan berkata, mereka kini dalam peringkat untuk mencari protege bagi bernaung di bawah mereka.

Apabila ditanya apakah yang mendorong Bunkface terbuka pintu hati untuk mencari anak didik, dia berkata, sudah tiba masanya segala ilmu dan pengalaman yang pernah dilalui oleh mereka dikongsi dengan mereka yang mempunyai potensi untuk membina kerjaya dalam industri.

Hasil 11 tahun berkecimpung dalam dunia muzik, Bunkface merasakan ia sesuatu yang amat rugi jika tiada kumpulan pelapis untuk dijadikan protege pada masa hadapan.

“Kami mahu mencari mereka yang mempunyai bakat serta potensi tetapi tidak tahu bagaimana hendak membina tapak sebagai seorang anak seni.

“Bunkface tidak mencari klon sendiri dan terbuka kepada mana-mana individu yang berasakan mereka layak kerana apa yang kami pentingkan kualiti suara yang dimiliki,” jelasnya lagi.

Selain daripada itu, Bunkface juga sedang dalam proses merakam semula lagu lama mereka bertajuk Kembali tetapi dengan gubahan melodi yang berbeza.

Kata Paan, mereka memilih untuk merakam semula Kembali kerana yakin lagu tersebut memiliki kekuatan dari segi liriknya, namun ketika dilancarkan beberapa tahun lalu, ia tidak mendapat sambutan mungkin kerana melodinya yang tidak sesuai.

Post a Comment

Previous Post Next Post