Siulan merdu Aidilfitri Wany Hasrita


RISAU - Popular mendadak hanya dengan satu single berjudul Menahan Rindu, Wany risau untuk mengekalkan momentum yang baik selaras dengan populariti yang dinikmatinya.

Aidilfitri buat pendatang baharu bernama Wany Hasrita yang mencetuskan fenomena drastik menerusi dendangan lagu popular Menahan Rindu hanya bersifat sederhana sahaja. Tiada terkurang, tiada terlebih.

Dalam satu sesi fotografi istimewa Lebaran bersama Kosmo! baru-baru ini, Wany atau nama sebenarnya, Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 25, berkata, dia meraikan Aidilfitri di Bagan Datuk, Perak (sebelah ibu) dan Batu Pahat, Johor (sebelah bapa).

Walaupun ibu dan bapanya menitikkan noktah sebagai suami isteri melalui penceraian ketika dirinya berusia 12 tahun, Wany yang merupakan anak tunggal dalam keluarga memahami kehendak kedua-dua orang tuanya itu. Pun begitu, sedikit tidak pernah tergelincir kasih sayang daripada dan kepada dua insan tersayang tersebut.

“Kalau pulang beraya di Bagan Datuk memang meriah. Walaupun opah sudah tiada lagi, rumah itu sudah menjadi rumah induk buat keluarga besar kami. Bayangkan rumah induk itu akan didiami lebih kurang 40 orang. Memang meriah,” ujar Wany yang mendedahkan gemar mencari busana raya bersama ibu, Norita Jaafar pada saat akhir.

Tunggal

Sedar dirinya barangkali tidak begitu bertuah kerana ibu bapanya sudah berpisah dan dirinya memegang status ‘anak tunggal’, Wany bagaimanapun tidak merasakan kekurangan dalam hidup.

“Alhamdulillah, ibu bapa saya walaupun telah berpisah, mereka tetap mempunyai hubungan baik dan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab kepada saya. Saya tinggal bersama ibu, namun bapa saya selalu menjenguk kerana dia tinggal berdekatan dengan rumah kami.

“Saya anak tunggal tetapi selalu berhubung dengan orang sekeliling yang mengisi kehidupan saya dengan gelak tawa, kasih sayang, gurauan manja dan sebagainya. Mereka adalah keluarga, kawan dan peminat,” terang Wany sambil tersenyum.

Tambah Wany, bapanya, Hasbullah sendiri tidak pernah menghalang minatnya untuk menyanyi, malah terkejut apabila lagu Menahan Rindu membuatkan anaknya menjadi terkenal.

“Setiap hari bapa saya pesan supaya sentiasa menjaga maruah diri dan keluarga walau apa pun yang dilakukan. Walaupun tinggal berasingan, dia sentiasa mengambil berat tentang saya,” ulas Wany yang merupakan pelajar Sains Perubatan di Universiti Sains dan Pengurusan (MSU), Kuala Lumpur.

Popular

Diajak bersembang mengenai sambutan hari raya di kampung halaman, Wany sebetulnya tidak tahu apa yang harus dijangka oleh orang-orang kampung apabila dia sudah bergelar artis popular.

“Saya pun tidak pasti sama ada saya popular sekarang. Orang-orang kampung tidak kenal saya rasanya.

“Setahun sekali saya balik kampung. Orang pun tidak tahu kampung saya di mana. Bagaimanapun, saya bersedia sahaja andai orang-orang kampung ingin beraya sama ada di Bagan Datuk atau Batu Pahat,” katanya.

Melanjutkan bicara, Wany baru sahaja berpindah ke kediaman baharu dari Semenyih ke Cheras. Justeru apabila disoal sama ada dia akan mengadakan rumah terbuka buat para peminatnya, wanita itu mengaku tidak mempunyai perancangan mengenai hal tersebut.

“Saya dan ibu baru sahaja berpindah. Kalau mahu buat rumah terbuka pun rasa tidak sesuai kerana kami duduk di rumah jenis apartmen sekarang. Kalau ada rezeki lebih, apa salahnya, cuma keadaan dan masa mungkin tidak mengizinkan,” terang Wany.

Bercerita tentang juadah kegemaran pada hari raya, Wany dengan laju menuturkan dua jenama popular Aidilfitri iaitu kuah kacang dan rendang tok.

Katanya: “Dulu masa arwah opah masih ada, dia adalah orang yang memang akan menyediakan dua masakan itu untuk keluarga besar kami di Bagan Datuk. Kalau sedang menyediakannya, dia tidak suka orang lain kacau atau tolong. Dia akan masak sendiri.

“Apabila dia sudah tiada, memang tiada siapa boleh gantikan rasa masakan tersebut. Memang saya rindukan masakan dia dan tiada orang boleh menggantikan tempat dia dalam hati saya,” dedah Wany yang pernah mengumpul jumlah tertinggi duit raya sebanyak RM500 ketika kecil.

Lagu tradisional

Mengulas tentang perkembangan muzik terbaharu, Wany yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman FMC Music Sdn. Bhd. bakal muncul dengan single terbaharu berjudul Ewah Ewah selepas sambutan hari raya.

Dicipta oleh komposer terkemuka, Pak Ngah, Wany bagaimanapun gementar menanti respons peminat memandangkan lagu tersebut berentak tradisional yang tidak lagi menjadi trend zaman sekarang.

“Adalah menjadi impian besar saya untuk bekerjasama dengan komposer hebat seperti Pak Ngah.

“Sebenarnya, saya risau juga kerana tidak banyak yang mendendangkan lagu tradisional pada masa kini. Bagaimanapun, sebagai peminat tegar lagu tradisional, saya ingin mencuba memberi kelainan kepada peminat. Insya-Allah selepas raya, lagu tersebut yang akan dipromosikan sebagai single kedua,” katanya.

Wany turut mendedahkan akan muncul dengan dua buah lagu berentak balada. Hal itu dilakukan kerana dia tidak mahu menjadi terkenal dengan hanya sebuah produk sebelum ‘hilang ditelan bumi’.

Justeru, mempunyai kesinambungan produk sebagai kelangsungan karier adalah suatu tindakan yang perlu dilakukan.

“Sebenarnya, saya risau memikirkan apa respons peminat selepas Menahan Rindu. Cuak pun ada sebab saya tidak mahu bergelar sebagai one hit wonder. Sebab itu walau banyak tawaran yang diterima termasuk tawaran berlakon, saya terpaksa menolaknya kerana ingin fokus satu perkara dalam satu masa,” tutur Wany yang mengakui ada menerima tawaran berlakon sebagai heroin untuk sebuah produksi drama.

Post a Comment

Previous Post Next Post