Selagi belum sah berpunya, memang tidak dapat dinafikan soal hati antara yang acap kali diajukan kepada pelakon drama bersiri popular Abang Bomba I Love You ini, Amira Othman. Bahkan, hingga ke hari ini, ada yang masih tertanya-tanya mengenai kisah cinta anak seni berusia 25 tahun ini.
Bukan tidak pernah terkait dengan kisah gosip cinta, cuma bagi Amira itu semua dianggapnya sebagai usikan manja dan boleh dikatakan sudah menjadi kelaziman sebagai orang yang bertapak dalam industri hiburan.
Apa yang pasti, anak kelahiran Johor Bahru, Johor ini tidak pernah cepat melatah dengan gosip-gosip cinta yang adakalanya membuatkan dia melepaskan gelak besar sahaja kerana tahu kebenarannya.
“Buat masa sekarang memang belum ada sesiapa pun yang bertandang di hati. Itulah kadang-kadang apabila orang cuba kaitkan saya dengan mana-mana individu, rasa hairan juga.
“Adakalanya saya terfikir macam mana mereka boleh terfikir sehingga ke situ (wujud hubungan cinta). Walhal hanyalah sekadar kawan-kawan sahaja,” luah pelantun lagu hit Hati-Hati itu ketika ditemui Sensasi Bintang dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.
Elak orang industri
Bagi pemilik nama sebenar Nadia Amira Othman ini, dia tidak pernah menolak soal jodoh. Jika sudah tiba masanya, katanya, tiada alasan untuk dia mengenepikan takdir yang sudah ditentukan oleh-Nya. Cuma, buat masa ini, dia belum mahu memikirkan soal cinta.
Sungguhpun begitu, pelakon drama Red Velvet ini memberitahu, dia juga sudah mempunyai perancangan sendiri mengenai soal masa depannya untuk membina kehidupan berumah tangga suatu hari nanti.
Biarpun bergelumang dalam industri hiburan, kata Amira, seboleh-bolehnya dia mahukan jejaka yang bukan dalam lapangan sama.
“Kalau boleh saya nak elakkan orang yang sama dalam industri ini. Bagaimanapun, kalau sudah tertulis jodoh yang itu (orang seni), kena terima jugalah. Orang kata, yang kita tak mahulah itu nanti yang kita dapat,” seloroh kakak kepada penyanyi Irfan Haris ini.
Barangkali ada yang melihat pasangan dalam satu lapangan lebih mudah kerana saling memahami ragam kerja masing-masing, namun tidak pada kaca mata Amira.
Ini kerana, pelantun lagu Jaga-Jaga itu mempunyai alasan tersendiri. Tidak segan mengakui dirinya kuat cemburu, Amira meletakkan faktor tersebut sebagai penyebab utama dia enggan pasangan hidup dalam radar yang sama.
“Bukan apa, kalau nak tahu saya ini memang seorang yang kuat cemburu. Jadi, atas sebab itulah kalau boleh biarlah teman hidup itu bukan pelakon atau penyanyi.
“Bimbang pula saya asyik cemburu sahaja nanti. Maklumlah orang perempuan memang lumrahnya ada perasaan sebegitu, beremosi sedikit,” kongsi pengacara program Nasi Lemak Kopi O itu.
Biarpun begitu, kata Amira, dia meletakkan sasaran untuk mendirikan rumah tangga pada usianya mencecah 27 tahun.
“Kuat cemburu ini pun susah sebenarnya. Mungkin tahun depan sudah boleh mula bimbang kalau belum ada calon lagi,” selorohnya yang meletakkan tempoh sekitar dua tahun lagi untuk mengakhiri zaman bujangnya.
Katanya lagi, apabila sudah tiba masanya, barangkali dia akan terus melangsungkan majlis pernikahan sahaja.
“Orang kata tempoh bertunang itulah yang banyak dugaan. Ibu bapa saya pun kata kalau boleh nikah sahaja terus lebih senang,” katanya yang tidak mahu terburu-buru apabila menyentuh soal hati.
Mimpi indah
Lagipun kata Amira, ketika ini ada banyak lagi perkara lain yang perlu diberikan perhatian terlebih dahulu. Lebih-lebih lagi apabila menyentuh perihal kerjaya seninya yang boleh dikira sedang berada di puncak. Semestinya impiannya untuk mengejar cita-citanya menjadi fokus utamanya saat ini.
Selepas meletakkan dunia lakonan pada tahun ini sebagai laluan utama dalam cabang seni yang diterokainya, Amira mahu kembali tampil dengan naskhah baharu selepas sekian lama lagu Hati-Hati dan Jaga-Jaga mendapat tempat di hati pendengar.
“Buat masa ini, saya berhenti sekejap berlakon kerana mahu memberikan fokus kepada nyanyian semula. Bimbang juga kalau orang ingat saya sudah tidak mahu menyanyi.
“Bagaimanapun, jika ada watak bersesuaian, Insya-Allah saya akan pertimbangkan,” katanya yang bakal muncul dengan single terbaharu berjudul Mimpi Indah.
Menurut Amira, lagu tersebut masih lagi berkait kisah cinta. Biarpun lagu cinta sudah terlalu klise, tetapi Mimpi Indah merupakan buah tangan yang cukup istimewa. Mana tidaknya, lagu tersebut dihasilkan oleh teman baiknya sendiri yang juga komposer dan penyanyi Hael Husaini.
“Lagu itu mengisahkan mengenai kisah seorang wanita yang teringat kepada seorang lelaki ini. Malangnya, dalam dunia nyata, dia tidak dapat memilikinya, jadi berharap semua itu akan bertukar menjadi mimpi indah. Kiranya hanya kenanglah dia dalam mimpi,” kongsinya yang turut menampilkan pelakon kacak, Idris Khan dalam klip muzik video lagu tersebut.
Ditanya kriteria pemilihan Idris Khan sebagai penampilan utama dalam naskhah terbaharunya itu, kata Amira jejaka tersebut bersesuaian dengan karakter lelaki yang menepati jalan cerita lagu itu sendiri.
“Memang mahu cari lelaki yang berjambang. Nampak lebih maskulin. Kalau pilih lelaki yang muka jambu, takut orang ingat saya ini kakak dia pula,” seloroh penyanyi lulusan jurusan muzik daripada Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor ini.
Amira akui dia selesa bekerja dengan Hael yang juga teman seperjuangannya ketika mereka bersama-sama berkongsi pentas di program realiti Akademi Fantasia 2013. Katanya, Hael cukup memahami dan tahu titik kekuatan vokal dirinya.
“Memang saya yang minta lagu itu daripada Hael. Kali pertama dengar saya memang sudah suka sebelum kami melakukan proses rakaman pada September lalu.
“Jadi, kedatangan tahun baharu nanti ini merupakan tempoh yang sibuk juga buat saya untuk mempromosikan single tersebut nanti. Harapnya lagu itu boleh diterima baik seperti lagu Hati-Hati sebelum ini,” kongsinya yang memberitahu akan mengadakan sesi bertemu peminat di Singapura bulan depan.