
Bekas personaliti TV, Aidid Marcello, 38, berkongsi pengorbanan yang dibuat isterinya, Norzie Pak Wan Chek, 43, sepanjang 22 hari dia sakit dan perlu berehat selepas menjalani pembedahan pada bahagian lutut kirinya pada akhir Jun lalu.
Menurut Aidid menerusi akaun Instagram miliknya, selain perlu menjaga dirinya, Norzie juga masih bekerja dan perlu menjadi penyampai berita Nightline dan tiba di rumah pada jam 1 pagi.
"Daripada hari saya sakit 22 hari lepas, sampailah sekarang, saya tahu dia ni (Norzie) penat sangat dengan kena jaga saya dan dia dah kena baca #nightline news lagi, kadang-kadang sampai rumah jam 1 pagi.
"Ya ALLAH, Kau berilah kekuatan semangat, kesihatan berpanjangan, dijauhkan daripada sebarang penyakit-penyakit merbahaya, diberkati rezeki dan lindungilah serta kasihanilah dia seperti mana setiap saat dia mengasihani aku dan keluarganya.
"Jom sampaikan doa ini kepada isteri, ibu dan sesiapa sahaja yang kita tahu tahap pengorbanannya hebat bagi membantu kita, amin. Saya doakan untuk semua juga," tulisnya.
Aidid dipercayai mengalami kecederaan serius itu sehingga menyebabkan bahagian ligamen anterior cruciate (ACL) pada lututnya putus ketika bermain bola.