Aiman Tino yang dimasukkan ke hospital semalam.
Bapa penyanyi Aiman Tino iaitu Yusry Iskhak memberitahu anaknya itu mengalami radang usus dan sehingga kini masih menerima rawatan di pusat perubatan swasta di Rawang sejak petang semalam.
Menurut Yusry, 49, keadaan Aiman bagaimanapun stabil dan doktor bertugas sudah melakukan pemeriksaan lanjut dengan memasukkan kamera ke dalam abdomennya untuk mengetahui lebih terperinci tentang apa yang dialaminya.
“Sekarang tunggu keputusan daripada makmal. Petang nanti, Aiman akan membuat imbasan ultrasound untuk mengesan secara lebih terperinci radang yang dihadapinya di bahagian usus.
“Sebelum ini, dia memang ada menunjukkan simptom sukar membuang air besar (sembelit). Kemudian, dia demam panas dan tekaknya pula bengkak,” ujar Yusry ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambah Yusry lagi, Aiman memerlukan rehat yang secukupnya dan akan hanya dibenarkan keluar dari hospital barangkali esok atau lusa.
“Minta doakan keadaan dia terus pulih seperti sedia kala. Dia sedang ‘mamai’ sekarang kerana banyak makan ubat. Apapun, doktor kata tiada apa yang perlu dirisaukan namun pemeriksaan lanjut perlu dilakukan agar perkara yang tidak diingini tidak terjadi,” katanya lagi.
Terdahulu, Pelantun lagu Ku Rela Dibenci itu dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Rawang selepas mengalami sakit dalam perut selain tekak bengkak kira-kira pukul 3 petang semalam.