Prinsip dan motivasi Misha Omar, Dayang Nurfaizah, Tomok


Tiga figura ini memegang portfolio seni yang bukan calang-calang latar belakangnya. Masing-masing sudah lali dengan pasang surut dunia hiburan. Glamor dan popular bukanlah kayu ukur karier mereka, justeru tidak hairan apabila Dayang Nurfaizah, Tomok dan Misha Omar menyifatkan sambutan Syawal mereka sama seperti orang lain.

KATA orang, kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Perumpamaan yang satu ini mungkin boleh menyimpulkan situasi realiti sepak terajang yang dilalui dalam kehidupan artis.

Hakikatnya, bukan mudah untuk menjadi bintang yang sinarnya terus gemilang. Puas dicemuh, puas dihenyak namun, berbekalkan kunci kesabaran imbuhan yang diperoleh pastinya lumayan apabila kehadiran dalam industri mampu diterima khalayak biarpun melebihi tempoh satu dasawarsa.

Dibingkaikan dalam satu wawancara khas sempena Aidilfitri di Hotel Parkroyal, Kuala Lumpur baru-baru ini, terpancar sinar kemesraan antara tiga figura yang berjaya mencipta jenama tersendiri iaitu Misha Omar, Dayang Nurfaizah dan Tomok.

Biarpun nama masing-masing disimbahi dek kerlipan populariti yang tidak pernah padam, namun perkara itu tidak sekali pun membuatkan mereka mendongak ke langit.

Kunci

Bagi Misha, pendakian seninya selama 15 tahun bukanlah satu tempoh yang mudah. Seperti anak seni lain, dia juga pernah mengalami tamparan hebat kecaman khalayak.

“Sejujurnya ia bukan waktu yang senang untuk dilalui. Adakalanya, saya akan terdiam dan bermuhasabah diri dengan segala kritikan peminat. Pernah juga saya berada dalam dilema, bersalah terhadap diri sendiri apabila lagu tidak diterima dan penampilan disalah erti oleh khalayak. Begitu pun, sebagai manusia biasa saya tidak boleh memuaskan hati semua pihak,” tuturnya memulakan bicara.

Mengakui seorang anak seni perlu mempunyai jiwa yang kental, tambah Misha lagi, dia juga memerlukan pujian peminat dan kritikan daripada pembenci (haters) bagi mengukuhkan profil seni.

“Saya banyak belajar melalui pengalaman dan menjadi matang sendiri apabila mengambil kira pendapat yang merangkumi pujian dan kritikan khalayak.

“Apa yang penting, kuncinya adalah kesabaran dan sokongan peminat serta keluarga. Tidak dinafikan, perkara itulah yang menjadikan saya orang yang kuat dalam industri ini,” tuturnya.

Tampil berseri dalam balutan busana klasik rekaan Salikin Sidek, sengaja kemudian pelantun Terimaku Seadanya itu ditanya tentang sambutan Aidilfitri pada tahun ini.

Mendakap Syawal dengan penuh rasa istimewa, kehadiran ahli baharu si comel Muhammad Idris Ezzwa yang kini berusia sembilan bulan dan Muhammad Adam Emir, 11, serta Humaira Lateefa, 5, menambah lagi keceriaan dalam keluarga Misha.

“Aidilfitri tahun ini lebih meriah kerana bertambah lagi seorang ahli baharu dalam keluarga saya. Jika tahun lalu, Idris masih dalam kandungan, tetapi tahun ini saya sudah mempunyai tiga orang anak. Kemeriahannya lebih tertumpu kepada mereka.

“Persiapan juga lebih kepada anak-anak. Saya dan suami cukup sepasang baju baharu kerana masih banyak baju raya tahun lepas yang masih elok untuk dipakai,” kongsinya tersenyum.

Mengamalkan rukun toleransi yang sama seperti pasangan berkahwin lain, Misha atau nama lengkapnya Samihah @ Aisah Omar memberitahu tahun ini giliran dia beraya di rumah keluarga mertua di Seremban.

“Mujur tahun ini suami saya, Firos dapat bercuti. Pun begitu, dalam masa sama perlu bersedia jika terdapat sebarang panggilan yang memerlukan dia bekerja.

“Tiada beza sebenarnya menyambut raya di rumah keluarga sendiri atau mertua. Kemeriahannya tetap sama malah, saya juga begitu menggemari begedil dan lontong yang dimasak oleh ibu mertua setiap kali raya tiba,” ujarnya yang tidak pulang ke Kelantan kerana terikat dengan waktu persekolahan anak.

Eksperimen

Membawa kembali perbualan soal keutuhan perjalanan seni, pelantun lagu Lelaki Teragung, Dayang Nurfaizah pula mempunyai pandangan yang berbeza. Kekal relevan sebagai penyanyi balada wanita kesayangan ramai, ujar Dayang, dia sentiasa cuba memberikan hasil yang terbaik untuk peminatnya.

“Benar, jika boleh saya mahu mengelakkan sebarang kontroversi dan gosip. Pun begitu setiap orang mempunyai cara tersendiri.

“Sejak dari dahulu, saya selalu mengkaji bagaimana mahu membuatkan khalayak suka dengan cara dan muzik yang saya perjuangkan.

“Justeru, untuk album berjudul Dayang Nurfaizah yang dilancarkan baru-baru ini, saya sengaja menghasilkan dalam genre balada sepenuhnya. Hal ini adalah kerana itu genre yang diinginkan peminat, jadi saya hadiahkan buat mereka,” terangnya mengukir senyuman.

Terus rancak berbicara, Dayang berkongsi mengenai sambutan Syawal pada tahun ini. Sama seperti Misha, Dayang turut mengamalkan sikap bersederhana dalam berbelanja.

“Soal baju raya sebenarnya saya bukanlah seorang yang cerewet. Cukup sekadar satu atau dua pasang sahaja kerana masih banyak baju raya tahun lalu yang elok untuk dipakai.

“Bagaimanapun, setiap kali hari raya tiba saya seronok membeli-belah pakaian raya untuk anak-anak saudara. Perasaan teruja apabila melihat mereka gembira dengan pakaian yang saya belikan itu,” kata Dayang yang mempunyai seramai empat orang anak saudara.

Tambah penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu lagi, dia juga tidak sabar menantikan detik pagi Syawal ketika semua ahli keluarga berkumpul untuk sesi bersalam-salaman dan mengabadikan gambar keluarga.

“Seperti biasa tahun ini saya menyambut hari raya di Kuching, Sarawak. Saya juga begitu teruja apabila selepas selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri kami semua akan berkumpul untuk bersalam-salaman.

“Ketika itu kami semua akan melepaskan rindu bergurau senda selepas sekian lama tidak berjumpa sambil menikmati juadah raya seperti ayam masak merah istimewa masakan ibu saya. Kemudian, kami semua akan berkunjung ke rumah saudara-mara yang lain,” ceritanya tertawa.

Tulang belakang

Sementara itu, bagi penyanyi yang memulakan kerjaya seawal tahun 1999, Tomok pula menyifatkan peminat sebagai tulang belakang dalam kerjaya seni dirinya.

Melalui revolusi daripada penyanyi secara berkumpulan bersama Newboyz sehingga bergelar solo, tanpa berselindung Tomok mengakui berbangga dengan pencapaian dirinya yang masih diperlukan peminat.

“Alhamdulillah, sehingga sekarang peminat masih lagi bertanya dan mahukan saya dalam industri ini. Sejujurnya, saya harus berbangga dengan pencapaian diri.

“Tanpa peminat, kerjaya saya tidak akan ke mana-mana. Selain keluarga, peminat adalah tulang belakang dalam kerjaya saya. Mereka tidak pernah jemu menyokong kerjaya saya sejak dari dahulu hingga sekarang,” ujarnya.

Beralih perbualan ke kisah sambutan raya, sebagai bapa kepada dua putera comel, Arrianshah Akid, 5, dan Andrashah Iman, 2, Tomok memberitahu, keutamaan raya didahulukan kepada anak-anaknya.

“Seperti tahun-tahun sebelum ini, saya dan isteri, Rahayu Abbas masih mengekalkan kesederhanaan. Dapat melihat anak-anak membesar di depan mata dan menyambut hari raya bersama sudah cukup bermakna buat saya.

“Pun begitu, setiap kali hari raya tiba, anak-anak saya yang lebih teruja. Kedua-duanya semakin besar dan sudah faham maksud berhari raya terutamanya apabila berjumpa saudara yang lain,” cerita Tomok.

Menyambut Syawal di sekitar Kuala Lumpur sahaja, Tomok kemudian diusik soal pembikinan lagu raya baharu. Tidak mempunyai sebarang perancangan, lelaki itu bersyukur kerana lagu Balik Kampung yang pernah dinyanyikan bersama kumpulan Newboyz suatu ketika dahulu masih menjadi pilihan pendengar.

“Setiap kali raya, kami tidak mempunyai masalah untuk balik ke rumah siapa terlebih dulu. Hal ini adalah kerana kedua-dua keluarga menetap di sekitar Keramat dan Cheras sahaja.

“Memang saya tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menghasilkan lagu raya kerana agak sukar untuk mendapat sambutan jika lagu raya baharu dihasilkan sekarang,” ujarnya seraya menggulung bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post