Percaturan Nabila Razali


BIARPUN langkahnya di dalam industri seni bermula di pentas nyanyian, namun nama Nabila Razali mula menjadi perhatian ramai selepas membintangi drama Hikayat Cinta Si Pematah Hati beberapa bulan lalu.

Namun bagi empunya diri, dia sebenarnya mahu peminat dan masyarakat melihat karier lakonannya bergerak seiring dengan karier nyanyian.

Dan di kesempatan itu, Nabila mengambil langkah untuk melancarkan single ketiganya tidak lama lagi.

Menurut bintang berusia 25 tahun ini, single berjudul Pematah Hati ini merupakan kesinambungan dari lagu Cemburu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong.

"Saya masih lagi mengekalkan Hael dan Ezra selaku komposer untuk lagu ketiga ini kerana mereka tahu apa yang sesuai untuk saya.

"Buat masa ini semuanya telah selesai termasuk muzik video dan saya berharap ia akan dilancarkan secepat mungkin," ujarnya.

Tambah Nabila, yang mula mencipta nama menerusi program realiti Akademi Fantasia (AF) biarpun vokalnya sebelum ini pernah dikritik hebat, namun ia tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk terus menyanyi.

"Saya sedar ada yang mengutuk saya, memang down sikit pada mulanya tapi saya tak jadikan itu sebagai pematah semangat.

"Daripada kritikan itu, saya ambil inisiatif untuk memasuki kelas vokal dan lepas lagu Cemburu dikeluarkan, ramai yang memberi komen positif," jelasnya.

Berkongsi perkembangan lakonannya, Nabila berkata, setakat ini dia tidak menerima tawaran berlakon, namun andai ada tawaran yang datang, dia sedia untuk mempertimbangkannya.

"Sama seperti vokal, saya sedar juga lakonan saya turut dikritik, jadi saya ada merancang untuk mengambil kelas lakonan.

"Macam berlakon pun saya lebih cenderung membawakan watak protagonis kerana ia juga ada cabaran tersendiri.

"Saya juga teringin nak berlakon di samping Remy Ishak, kalau ada rezekilah," katanya sambil ketawa kecil.

Post a Comment

Previous Post Next Post