Nazia Mustafar kerugian RM50,000


SUDAH dua kali berhadapan dengan kejadian kediamannya dirompak pembantu rumah, Nazia bagaimanapun mengaku tidak mempunyai pilihan lain memandangkan dia sibuk bekerja.

Pelakon Nazia Mustafar menarik perhatian masyarakat apabila berita dia kerugian hampir RM50,000 selepas dirompak oleh pembantu rumahnya tular di internet. Antara barang yang hilang adalah barangan kemas, jam tangan dan wang tunai.

Nazia, 42, yang sebelum ini dikenali sebagai Nadia Mustafar menjelaskan, kejadian tersebut berlaku ketika dia dan keluarganya sedang bercuti di Selatan Thailand selama lima hari bermula 26 Jun lalu.

Nazia atau nama sebenarnya, Siti Naziyah Sheikh Mustafar hanya mengetahui kediamannya dirompak selepas dimaklumkan oleh jiran mengenai kelakuan mencurigakan pembantu rumah gantian yang baru bekerja dengannya selama seminggu.

Ironinya, enam tahun lalu pelakon filem Man Laksa itu juga pernah mengalami kejadian sama dan kerugian beratus ribu ringgit. Selain kisah dirompak, pelakon itu juga sempat berkongsi kisah menukar nama komersialnya daripada Nadia kepada Nazia.

Kosmo!: Boleh Nazia ceritakan bagaimanakah kejadian rompakan itu berlaku?

Nazia: Sebenarnya pembantu rumah asal saya telah melarikan diri. Oleh sebab itu, ajen menghantar pembantu rumah gantian seminggu sebelum raya sementara menanti pembantu rumah tetap. Malangnya, pembantu rumah gantian ini telah merompak kediaman saya ketika kami sekeluarga sedang bercuti di Selatan Thailand selama lima hari bermula 26 Jun. Saya hanya mengetahui berita rompakan itu selepas dimaklumkan oleh jiran mengenai kelakuan mencurigakan pembantu rumah tersebut.

Apakah tindakan yang diambil oleh anda?

Sebaik sahaja tiba di Malaysia pada Sabtu lalu, saya terus membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Shah Alam, Selangor. Kes ini sedang disiasat oleh pihak polis. Selain itu, selepas saya mendedahkan kejadian ini dalam Instagram, banyak maklumat baharu yang diterima. Antaranya, pembantu rumah itu memiliki nama berbeza dan pernah melakukan rompakan di kediaman majikan terdahulunya di Johor Bahru, Johor. Apa yang pasti rompakan ini dilakukan secara berkumpulan.

Adakah anda serik untuk menggunakan khidmat pembantu rumah selepas ini?

Memang saya serik kerana tidak pernah bertuah dengan pembantu rumah. Selain dirompak, semua pembantu rumah tidak bertahan lama dan melarikan diri. Namun, disebabkan jadual kerja yang padat saya masih memerlukan khidmat pembantu rumah untuk menjaga anak-anak dan mengemas rumah sambil dipantau oleh ibu saya. Selepas ini saya akan lebih berhati-hati dan mengetatkan sistem keselamatan dengan memasang sistem televisyen litar tertutup (CCTV).

Apakah nasihat anda kepada orang ramai selepas dirompak oleh pembantu rumah buat kali kedua?

Saya berharap semua orang lebih berhati-hati dalam memilih pembantu rumah. Contohnya, pembantu rumah yang merompak kediaman saya memasuki Malaysia menggunakan saluran betul. Namun, itu tidak bermakna dia akan menjalankan kerja dengan jujur. Apapun saya menyifatkan apa yang berlaku sebagai takdir dan ada hikmah di sebaliknya.

Sejak bilakah anda menggunakan nama Nazia sebagai nama komersial, bukan lagi Nadia?

Sudah dua tahun saya menggunakan nama Nazia menggantikan nama komersial Nadia Mustafar. Sebenarnya nama asal saya ialah Siti Naziyah Sheikh Mustafar. Saya memang menyimpan niat mahu menggunakan nama asal sebagai nama komersial apabila usia mencecah angka 40 tahun. Naziyah ditukar ejaannya kepada Nazia. Harap selepas ini tiada orang yang keliru tentang penggunaan nama saya.

Bagaimanakah perkembangan kerjaya seni anda?

Alhamdulillah, kerjaya seni masih berjalan seperti biasa antaranya saya terbabit dengan drama Pergilah Air Mata untuk tayangan Aidilfitri. Selebihnya, saya harus bersikap selektif kerana mempunyai komitmen terhadap syarikat produksi sendiri dan tanggungjawab sebagai ibu kepada empat orang anak.

Post a Comment

Previous Post Next Post